NAMA dan reputasi pengarah terkenal, Mamat Khalid tercalar baru-baru ini apabila dia dikatakan masih berhutang dengan kru dan pelakon filem arahannya, Rock Ooo Rimba Bara (Rock 2) yang telah selesai penggambarannya dan kini filem tersebut dalam proses adunan.
Filem Rock 2 yang diterbitkan oleh Grand Brilliance itu sepatutnya dijalankan dengan bajet RM1.2 juta, bagaimanapun, produksi filem itu telah terlebih bajet sebanyak RM131, 292 dan perkara tersebut diakui sendiri oleh Mamat Khalid ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bukan itu sahaja, Mamat Khalid yang cukup terkenal dengan filem pecah panggung, Hantu Kak Limah Balik Rumah itu juga didakwa telah membayar cek tendang kepada salah seorang pelakon filem tersebut. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Mamat berhubung isu ini.
Kosmo!: Filem Rock 2 telah lama selesai penggambarannya dan dikatakan Mamat masih tidak menjelaskan sepenuhnya bayaran kru dan pelakon. Benar atau tidak?
MAMAT: Ya, memang ada baki bayaran yang perlu dijelaskan kepada pelakon dan kru penggambaran Rock 2. Bagaimanapun ada sesetengah kru dan pelakon saya sudah bayar, setengahnya masih belum habis bayar kerana dalam produksi. Semua kru dan pelakon dibayar secara berperingkat.
Filem ini diterbitkan oleh pihak Grand Brilliance, kenapa Mamat sebagai pengarah yang perlu melunaskan semua bayaran itu?
Pihak Grand Brilliance telah memberi wang secukupnya seperti yang dijanjikan dan memang salah saya yang menyebabkan produksi terlebih bajet, jadi sudah menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan semua baki bayaran yang masih tertunggak menggunakan wang sendiri. Apa yang ingin katakan, semua kru dan pelakon akan mendapat wang mereka, antara cepat atau lambat sahaja.
Ada pelakon mendakwa, Mamat memberi cek tendang kepadanya. Benarkah begitu?
Saya bukan beri cek tendang, ceritanya bayaran pelakon itu adalah sebanyak RM90,000 lebih. Saya telah jelaskan bayaran kepadanya secara berperingkat dan baki yang tinggal hanyalah RM13,000 sahaja. Saya sudah kata tunggu, tetapi mungkin dia mahu gunakan wang, jadi saya bayar baki bayaran yang diminta menggunakan wang sendiri, hasil daripada kerja lain. Apa yang terjadi, saya tidak tahu yang akaun saya sudah bertukar kerana bukan saya yang uruskan kewangan syarikat. Semuanya berlaku kerana salah faham sahaja. Sekarang saya sudah membayar RM5,000 kepadanya dan bakinya bakal diberi nanti.
Dituduh menipu selepas dikatakan memberi cek tendang. Komen?
Saya banyak buat filem buat apalah saya mahu menipu. Apa yang saya tidak faham, kenapa pelakon itu mahu bising apabila saya melunaskan bayaran sepenuhnya kepada pelakon lain yang bayarannya jauh lebih rendah daripadanya. Sebenarnya, kos bayaran pelakon yang bising itu membuatkan saya terlebih bajet, tetapi sudah saya yang mahukan juga khidmatnya, jadi ia salah saya juga.
Memang saya kecewa dengan sikapnya. Mula-mula dia yang kata skrip baik, jadi saya percaya kepadanya tetapi ketika itu saya tidak tahu yang bayaran untuknya adalah begitu tinggi. Kalau ikutkan saya tidak mahu bising-bising kerana soal bayar lambat atau cepat kerana itu merupakan lumrah buat mereka yang bekerja dalam produksi. Saya tidak tahu pula dia akan perbesarkan hal ini. Pelakon lain ada juga yang tidak mendapat bayaran sepenuhnya dan mereka faham keadaan saya.
Selepas ini adakah Mamat masih akan gunakan khidmatnya dalam filem-filem yang akan datang?
Saya masih akan gunakan khidmatnya kalau perlu kerana saya dan dia bersikap profesional. Selepas apa yang terjadi, tiada dendam atau tiada kata buruk kerana sudah tanggungjawab saya melunaskan bayarannya. Memang hak dia untuk meminta dan hak saya pula untuk menjelaskan perkara sebenarnya. Berfikir pada sudut positif, jika dia tidak bercakap saya pun tidak tahu betapa seriusnya mereka menunggu wang daripada saya.
Reputasi Mamat terjejas disebabkan isu ini, bagaimana pula?
Apabila perkara begini berlaku pada saya ia lumrah. Soal bayar lambat atau tidak bayar, saya rasa ia memang biasa berlaku. Saya sendiri juga pernah tidak dibayar, jadi saya faham apa yang mereka lalui dan saya berjanji akan membayar hak mereka, cuma cepat atau lambat sahaja. Saya harap dengan segala keperitan yang dilalui oleh kru dan pelakon filem Rock 2 akan menambahkan lagi nikmat filem Rock 2.
No comments:
Post a Comment