Jom Buat Duit

Saturday 12 May 2012

Empat ‘polis’ samun RM58,000


KUALA LUMPUR: Berbekalkan lencana polis dan mendakwa pegawai siasatan dari Bukit Aman, empat lelaki tempatan nekad menyamun sebuah pejabat swasta di Menara Haw Par, di sini, jam 4 petang, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian berkenaan, keempat-empat suspek yang bersenjatakan pistol itu melarikan mata wang asing berjumlah AS$11,000 (RM33,000) dan wang tempatan, RM25,000 serta barangan berharga lain di pejabat berkenaan.

Bagi meyakinkan mangsa mereka pegawai polis, kumpulan lelaki itu mengarahkan pengarah syarikat dan semua stafnya menjalani ujian air kencing kerana mendakwa mereka ke pejabat itu atas arahan pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber polis berkata, pengarah syarikat berkenaan dipaksa membuka peti keselamatan sebelum melarikan wang bernilai lebih RM58,000 termasuk mata wang asing. Mereka turut merampas telefon bimbit dan komputer riba milik staf syarikat berkenaan.

“Tidak cukup dengan itu, kumpulan terbabit turut mengugut meletakkan sepeket kecil serbuk putih dipercayai dadah di pejabat berkenaan sekiranya mangsa enggan bekerjasama dengan ‘siasatan’ mereka,” katanya.

Sumber berkata, pengarah syarikat berkenaan yang tertipu dengan penyamaran suspek meminta kebenaran mereka untuk menghubungi peguam syarikat bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, kumpulan suspek naik angin selepas mangsa memaklumkan akan menghubungi peguam dan ketika itu, pengarah syarikat berkenaan baru tersedar mereka penjenayah dan bukan polis.

Katanya, akibat risau penyamaran mereka terbongkar, suspek menolak pengarah syarikat itu ke dalam pantri dan menguncinya dari luar sebelum melarikan diri.
Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters