Jom Buat Duit

Tuesday 1 May 2012

Diri sebenar Puteri Gambus Bongawan



GILAKAN KAMU pasti menyimpan interpretasi ironi bagi Fauziah Suhaili, 23, atau cukup dikenali dengan jolokan Fauziah Gambus. ‘Kamu’ itu boleh merujuk kepada seseorang individu malah tidak salah juga dikatakan makna itu ditujukan khas buat aliran muzik yang dibawanya sejak berkecimpung dalam arena seni.
Gilakan Kamu sebenarnya judul single terbaharu Fauziah untuk album keduanya yang kini dalam proses pembikinan. Kata Fauziah, lagu yang dia cipta sepenuhnya itu sedikit berbeza daripada lagu-lagunya sebelum ini.

“Kita perlu ikuti citarasa pendengar dan peminat muzik sekarang, ikut resmi ikan di laut, biar air itu masin isinya tetap tidak berubah. Justeru, saya ciptakan lagu berentak pop rock yang disulami petikan gambus ini sekadar mengikut kehendak pendengar dan peminat yang sentiasa mahukan kelainan daripada saya,” ujarnya yang mengakui dia masih bereksperimentasi dalam karya-karyanya.

Lima tahun bermandikan irama tradisional, maklum balas yang kurang enak daripada peminat yang rata-ratanya mahukan kelainan menyebabkan Fauziah mengambil langkah mencuba aliran muzik berbeza.
Sebelum ini, Fauziah pernah muncul bersama album berjudul Fauziah Gambus pada tahun 2007 yang mengandungi sembilan buah lagu. Malangnya, album itu hanya dipasarkan di kepulauan Borneo dan cuma berjaya memasuki pasaran negara Brunei.

Pertemuan dengan pemain gambus wanita kelahiran Bongawan, Sabah di Butik Sinar Sutera, Puchong, Selangor baru-baru ini bagaikan tidak puas, seolah-olah banyak cerita yang ingin dikongsikan bersama Kosmo!.

Jadi lelaki
Nada berseloroh tapi serius, Fauziah menceritakan kembali bagaimana dia boleh ketagih bermain alat muzik dari negara Timur Tengah itu.

FAUZIAH mengaku tidak pandai berfesyen, namun dia akan memastikan setiap pakaian yang dipakai tidak terlalu menjolok mata.
 
“Sejak kecil lagi saya minat bermain gambus tapi datuk saudara saya (Ismail Matusin) melarang keras, katanya gambus hanya untuk budak lelaki!
“Tapi setiap kali dia tidur, saya akan curi-curi mencuba bermain gambus sendirian tanpa bimbingan.
“Sifu saya adalah memori saya melihat datuk bermain gambus, sehinggalah saya meyakinkan diri menyertai pertandingan bermain gambus ketika berusia 13 tahun dengan memakai baju melayu dan menyamar menggunakan nama Fauzi,” singkap Fauziah bersemangat.

Selepas memenangi pertandingan yang hanya disertai oleh peserta lelaki sahaja itu, perspektifnya semakin berkembang. Dia menjadi lebih fokus untuk mendalami keunikan gambus.
Bercerita lebih terperinci mengenai alat muzik yang sering mengalunkan lagu ghazal itu, kata Fauziah, pada mulanya dia berhadapan dengan kesukaran untuk bermain gambus.

“Gambus tidak ada fret seperti gitar, jadi bermain gambus perlukan pendengaran yang tajam. Pemain perlu mencari bunyi dengan memetik talinya. Jika tersalah petik sumbang bunyinya,” tambah Fauziah.
Selain alat muzik gambus, Fauziah juga mampu bermain drum, gitar dan akordian sejak menuntut ilmu dalam diploma seni muzik modul persembahan di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) selama empat tahun.
Mengimpal besi

SELAIN gambus, Fauziah juga cekap bermain instrumen lain seperti akordian dan drum.
 
Pernah memakai baju Melayu dan membawakan lagu ghazal, Fauziah sentiasa manis dengan imej sopan.
Hal itu diakui sendiri oleh Fauziah yang bermula dengan imej wanita Melayu dan seringkali mengenakan kebaya ketika membuat persembahan menyanyi sambil bermain gambus.
“Saya ikut arus pemodenan dan genre muzik yang saya persembahkan, kalau lagu rock saya perlu sesuaikan pakaian saya dengan genre lagu itu.
“Tapi saya akan pastikan pakaian saya tidak terlampau seksi. Saya masih belajar dan perlahan-lahan akan cuba menyesuaikan diri,” kata si gadis yang dahulunya tidak pandai berfesyen apatah lagi berjalan dengan sopan.

Dahulunya, Fauziah seorang gadis yang sederhana. Bukan taksub berfesyen apatah lagi menduga status dirinya yang kini bergelar artis.
“Saya dulu ‘ganas’ orangnya, selalu apabila ada masa terluang saya akan mengikut bapa saya membaiki atap rumah orang atau mencuci kenderaan.
“Kadang-kadang saya akan mengimpal besi dan hasilkan pintu pagar besi untuk rumah jiran-jiran saya di Sabah. Pendek kata, saya bukan gadis yang stereotaip,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.
Malah, dia juga memiliki hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi. Buktinya, Fauziah mempunyai sebuah motosikal Yamaha TZM 150 berwarna putih yang sering dibawanya bersiar-siar mahupun menghadiri kuliah jika terlambat.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters