Jom Buat Duit

Sunday, 13 May 2012

Dayang Nurfaizah sukar cari lagu balada


SUASANA dingin menyelubungi sesi fotografi yang diadakan di persekitaran luncur ais bertempat di Hotel Royale Bintang, Damansara. Ternyata sang penyanyi, Dayang Nurfaizah menggemari suhu beku malah dia tidak sedikit pun menggigil kesejukan.

Ketika ditanya kedinginannya dari dunia seni, bibir Dayang hanya melirik senyum. Tidak mudah panas hati orangnya. Malah dia sedar, khalayak menganggap sebegitu terhadap kemunculannya. Dibelek jadualnya untuk bulan ini, rupanya Dayang berhadapan kesesakan jadual. Perlu menyusun baik-baik agak tak tergelincir.

"Orang nampak perlahan dan steady. Jujurnya, Alhamdulillah jadual penuh dan kadangkala tak menang tangan. Ini kerana saya lebih banyak terlibat dengan persembahan korporat dan peribadi," ujarnya yang sudah menyusun jadual hingga bulan Julai kelak.
Duet Anuar Zain
Paling terdekat, dia bakal beradu suara dengan penyanyi lelaki kegilaan ramai, Anuar Zain di ruangan eksklusif dan mewah, Dewan Philharmonik Petronas (DFP), KLCC.

Konsert istimewa yang dibawakan Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas (KSRP) ini diadakan untuk badan-badan kebajikan, rumah orang tua dan rumah anak yatim terpilih. Antaranya Dana Asy-Syakirin, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas (Puchong) dan Rumah Kasih Harmoni.

Ruang dewan bakal berlagu dendangan suara harmoni Dayang dan Anuar pada Selasa ini pada pukul 8.30 malam. Sedap telinga mendengar apabila semua tiket yang berharga RM500, RM350, RM250 dan RM150 sudah habis terjual. Begitu kuasa kedua penyanyi yang diberi jolokan prince and princess of pop ini terus berbisa.

Berkongsi rasa geruh dan gembira, Dayang mengaku persediaannya terbentuk ekstra. Bukan sahaja kerana rakan duetnya bernama Anuar Zain tetapi faktor duet itu membuatkan dirinya terlebih peduli.
"Jujurnya, saya membuat latihan yang lebih. Kalau solo, senang sedikit tetapi kerana kami akan muncul secara berduet, jadi perlu tahu bahagian masing-masing. Perlu juga tahu lagu yang sesuai diduetkan. Saya sangat-sangat berharap agar semuanya berjalan lancar," ujar Dayang yang pernah berkolaborasi bersama Anuar Zain dalam program Sunday Night Live di Planet Hollywood pada 2004.

"Sebenarnya mahu pilih lagu juga sedikit memeningkan kerana perlu fikir lagu apa yang penonton mahu dengar dan sesuai untuk dinyanyikan. Lagi pun saya sudah pernah ada album live, jadi perlu pamerkan sesuatu yang berlainan," senyumnya yang tidak mahu persembahannya mudah ditebak umum.

DAYANG juga akan berduet bersama Datuk DJ Dave di Istana Budaya dengan membawakan lagu bertajuk Sebenarnya.
 
Bekerja dengan Anuar Zain menyenangkan, itu kata Dayang. Walaupun berdepan cabaran kerana mempunyai range vokal yang berlainan, namun keserasian itu akan dibuktikan di DFP kelak.
"Mungkin orang ingat senang sebab kami pernah berduet tetapi tidak. Bagaimanapun kami sama-sama tahu kelebihan dan kekurangan vokal masing-masing, jadi saling membantu dan menyokong," luah Dayang yang belum mempunyai perancangan untuk muncul dalam sebuah album duet bersama Anuar.

Sukar cari lagu balada
Masih dalam rangka mempromosikan album Sayang dan Cahaya yang dilancarkan pada Jun tahun lalu, dalam masa yang sama, Dayang sedang membuat persiapan untuk mengumpul material baharu untuk dirinya.

"Memang sukar untuk mencari lagu balada yang sedap pada masa sekarang. Saya cari lagu-lagu balada yang ada magis seperti lagu balada tahun 1990-an. Melodi yang sedap itu yang sukar ditemui dan saya masih mencari. Buat saya, tidak kisah siapa komposernya, jika ada yang rasa berminat, boleh e-melkan kepada saya," luahnya yang berkehendakkan sebuah lagu balada yang benar-benar menyentuh jiwa.

"Kalau jumpa sebuah lagu balada pun bagus tetapi saya tidak terlalu mengejar album baharu. Masih dalam proses mencari," katanya yang menamakan lagu-lagu balada nyanyian Whiteny Houston mempunyai melodi yang enak dan segar.
Selain sibuk dengan program nyanyian, kudrat dan jiwanya turut disumbangkan kepada aktiviti yang mahu disebarkan kepada umum.

Sejak tahun 2009, Dayang telah diiktiraf sebagai Selebriti Sokongan 'Red Ribbon' oleh Majlis AIDS Malaysia untuk mencipta kesedaran mengenai transmisi gejala HIV/AIDS dan juga kesedaran mengenai hak orang ramai untuk memartabatkan kehidupan harian mereka, tidak kira siapa.

Jalan anak Sarawak
Merintis kembali jalan seninya di negeri Bumi Kenyalang sempena edaran Kosmo! di tanah kelahirannya, Dayang berkongsi cerita tentang jalan seninya sebagai sebuah perkongsian.
Sarawak kata Dayang, merupakan sebuah negeri yang mempunyai landskap muzik yang tersendiri. Malah penduduk negeri kelahirannya itu mempunyai label rakaman tempatan.
"Jualan album mereka lebih banyak daripada album Dayang sendiri," ujar Dayang yang bangga dengan perkembangan tersebut. Lalu pengaruh muzik yang besar di Sarawak sedikit sebanyak mendorong dirinya bergelar penyanyi.

DAYANG akan muncul bersama Anuar Zain di Dewan Philharmonik Petronas pada 15 Mei ini.


"Dulu, saya mula dengan pertandingan menyanyi sewaktu umur 12 tahun. Jiran saya nama Mak Kiah yang daftarkan nama saya. Saya ni pemalu tetapi atas dorongan, saya masuk dan menang. Itu permulaannya dan usia 15 tahun saya masuk pertandingan nyanyian anjuran RTM untuk mewakili Sarawak ke Kuala Lumpur. Lalu saya bertemu Adnan Abu Hassan yang membantu saya masuk ke dalam industri," kenangnya tentang awal kehidupannya sebagai selebriti.

"Dulu, awal-awal menjadi artis saya ikut jelajah radio Cats FM yang membawa saya menjejak dan mengenali daerah seperti Mukah dan beberapa kawasan pedalaman," senyumnya yang seronok belajar tentang makanan dan budaya yang pelbagai di Sarawak.

"Saya tidak pandai berbahasa Sarawak yang lain kecuali bahasa Melayu Sarawak. Ada beberapa perkataan yang saya faham. Tapi ada juga keinginan untuk membawakan lagu bahasa etnik ini kelak, " ujar Dayang yang lahir di Kuching, Sarawak ini.

"Saya berharap agar saya dapat memperbanyakkan aktiviti di Sarawak. Ingin berbakti untuk negeri sendiri," luahnya mengakhiri perbualan petang Khamis lalu.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters