Jom Buat Duit

Thursday 3 May 2012

Dafi lebih bebas

 DAFI mengakui namanya kini masih kurang dikenali di Indonesia berbanding di Malaysia

POPULARITI penyanyi dan pelakon, Dafi di Malaysia tidak perlu dipertikaikan lag. Di mana sahaja kakinya melangkah pasti ada sahaja mata yang memandang atau peminat yang ingin bergambar dengan dirinya. Apa sahaja yang dilakukannya, baik atau buruk turut menjadi perhatian pihak media.

Bagaimanapun situasi itu cukup berbeza apabila Dafi kini menetap di Jakarta, Indonesia selepas menandatangani kontrak selama setahun sejak 13 Januari lalu sebagai artis naungan Trans Corp yang memiliki stesen televisyen, Trans TV.

Undangan persembahan pentas serta aktiviti seninya di sana tidak begitu sibuk berbanding seperti ketika berada di Malaysia.

Ini kerana Dafi kini memberi fokus kepada tugasan sebagai hos program tentang sisi kehidupan dan gaya hidup selebriti, Selebrita Siang bersiaran pada pukul 12 tengah hari, setiap hari Isnin hingga Rabu di Trans 7.

Dafi atau nama sebenarnya Ghadaffi Ismail Sabri, yang ditemui pada majlis minggu setiausaha yang bertemakan Bollywood Night With Dafi di Tropicana Golf & Country Resort Petaling Jaya, baru-baru ini memberitahu, dia bersyukur dengan rezeki dan peluang yang diperolehi kerana bukan mudah untuknya membina kerjaya di Indonesia.
"Saya akui di Indonesia saya tidak popular dan masih ramai orang yang belum mengenali siapa saya. Saya memang ada peminat di Malaysia tetapi di Indonesia saya masih artis yang baru membina tapak.
"Mungkin menerusi Selebrita Siang, lebih ramai orang akan mengenali saya seterusnya membuka pintu rezeki lebih luas buat saya," ujarnya.

Menceritakan pengalamannya sepanjang menetap di Jakarta, kata Dafi, dia lebih bebas berbanding di Malaysia.

Bebas bukan bermaksud melakukan aktiviti liar tetapi, disebabkan masih ramai orang yang tidak mengenalinya.
"Di Jakarta, saya tidak ada kereta, jadi saya harus menggunakan teksi sebagai kenderaan rasmi saya untuk ke mana-mana sahaja. Sebenarnya seronok juga dapat melalui pengalaman berdikari dan melakukan semuanya sendiri.
 WAJAH Dafi disolek rapi sebelum menjalani penggambaran Selebrita Siang.

"Saya bebas berjalan-jalan ke mana sahaja kerana orang tidak kenal siapa saya. Kalau di Malaysia pasti ada peminat yang memandang atau mahu minta bergambar tetapi kalau saya berjalan di pusat beli-belah, ada seorang dua yang menegur, itu sudah cukup baik," tuturnya sambil tertawa.

Sungguhpun bebas ke mana-mana sahaja, aktiviti harian pemuda berusia 23 tahun itu hanya berulang-alik antara lokasi penggambaran program Selebrita Siang, kelas tarian dan di apartmen kediamannya sahaja.
"Saya masih tidak mempunyai ramai kawan di sana. Ada beberapa orang rakan artis yang saya kenal tetapi semua pun sibuk dengan hal masing-masing.

Jadi, kebanyakan masa saya dipenuhi dengan kelas tarian bersama dengan Fahmee iaitu bekas koreografer bintang tersohor Indonesia, Agnes Monica untuk memantapkan persembahan saya kelak.
"Selebihnya, saya hanya di rumah dan gim. Jika keluarga atau kawan-kawan dari Malaysia datang melawat, seronok sedikit kerana saya akan jadi pemandu pelancong mereka," kata Dafi yang gemar membeli-belah di Bandung.

Tolak tawaran
Sudah menjadi adat resam, jika mahu melebarkan sayap ke negara seberang, seseorang artis itu harus fasih berbicara bahasa Indonesia. Begitu juga dengan Dafi apabila diberi kepercayaan mengendalikan program Selebrita Siang, dia perlu menggunakan seratus peratus bahasa Indonesia.
Masih pekat dengan loghat bahasa Melayu, ujar Dafi ada penonton yang mengatakan bahasa Indonesia pertuturannya masih kedengaran seperti bahasa Melayu.
"Apabila mengendalikan program itu saya harus bercakap dalam bahasa Indonesia tetapi bahasa Melayu saya lagi pekat, jadi kedengaran seperti saya bercakap bahasa Melayu. Walaupun begitu, saya akan kekalkan cara pertuturannya saya untuk menjadikan ia sebagai identiti saya di sana.
"Saya ke Indonesia hanyalah untuk kembangkan kerjaya bukannya menjadi rakyat Indonesia. Saya masih kekalkan identiti orang Malaysia, biar ada perbezaan antara saya dan artis lain di sana. Di Indonesia terlalu ramai artis dan persaingan sangat sengit," luahnya.

Bercakap mengenai tawaran lakonan, Dafi juga ada menerima beberapa tawaran sinetron di Indonesia. Dia telah menghadiri sesi uji bakat dan terpilih, tetapi disebabkan pertembungan dengan jadual untuk Selebrita Siang, Dafi terpaksa menolak tawaran tersebut.
"Saya ada menerima tawaran lakonan tetapi terpaksa tolak sebab pertembungan jadual waktu.

Penggambaran sinetron mengambil masa yang sangat lama, sedangkan saya terikat dengan Selebrita Siang dan juga persembahan pentas di Malaysia.
DAFI bergandingan dengan Lala sebagai hos Selebrita Siang.

"Memang saya sekarang tinggal di Jakarta, tetapi kalau ada persembahan pentas di Malaysia, setiap hujung minggu saya akan berulang-alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur. Macam mana pun Malaysia tetap di hati. Saya akan seimbangkan aktiviti di Indonesia dan juga Malaysia," ujarnya.

Cinta nombor satu
Dalam pada itu, Dafi menegaskan, dia mengambil risiko ke Indonesia dengan matlamat utamanya adalah untuk dikenali sebagai penyanyi kerana bidang nyanyian merupakan cinta nombor satunya.
"Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai penyanyi di Indonesia. Kerjaya yang lain termasuk pengacaraan dan lakonan saya buat juga.
"Namun, biarlah kerjaya nyanyian lebih menyerlah berbanding bidang yang lain. Ini kerana tujuan saya ke sana adalah untuk kembangkan kerjaya nyanyian. Bidang lain, hanya sampingan sahaja," jawabnya.

Beritahunya lagi, dia akan memulakan kerjaya nyanyiannya di Indonesia. Pihak Trans Corp telah membikin dua buah lagu yang masih dirahsiakan judulnya.
"Ada dua buah lagu, satu balada dan satu lagu rancak. Semuanya sedang berjalan, mungkin pada hujung tahun ini, saya akan muncul dengan dua buah single baharu di Indonesia. Kesemua lagu itu merupakan hasil nukilan komposer Indonesia seratus peratus," tuturnya.

Sedar bukan mudah untuk menyerlah sebagai penyanyi di Indonesia, Dafi tidak mahu membuang masa dan menggunakan sepenuh masa yang ada untuk berusaha keras agar bakatnya disedari peminat muzik di sana.
"Saya harus bijak membawa diri kerana saya berada di tempat orang. Begitu juga dengan kerjaya, buat masa ini saya tidak boleh terlalu memilih, yang paling penting biar orang di sana sedar akan kehadiran saya terlebih dulu sebelum saya mengambil langkah yang seterusnya," ucapnya penuh yakin.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters