BAGI penggemar lagu-lagu berunsur ketuhanan, nama penyanyi Maher Zain
sudah tentu nama yang bukan asing. Semenjak membuat kemunculan di
Malaysia dua tahun lalu, penyanyi tersebut lantas menjadi pujaan
peminat.
Mula dikenali ramai menerusi lagu-lagu seperti Thank You Allah, The
Rest of My Life dan Insha Allah, kemunculan penyanyi tersebut seperti
mengembalikan semula fenomena irama nasyid yang hampir tenggelam. Malah
lagu-lagunya turut diterima baik seperti lagu-lagu pop.
Menariknya, semasa mengadakan konsert yang berlangsung di Auditorium
Majlis Bandaraya Shah Alam pada Oktober 2010, tiket untuk menyaksikan
konsert tersebut habis dijual, biarpun penyanyi berkenaan baru kali
pertama ke Malaysia.
Kini, penyanyi kelahiran Lebanon yang kemudiannya berhijrah ke Sweden
dan mencipta nama sebagai penyanyi di sana merupakan antara penyanyi
antarabangsa yang paling kerap membuat persembahan di negara ini.
Pada 16 Jun ini, Maher Zain sekali lagi kembali menjejakkan kaki ke
Malaysia untuk menghiburkan para peminatnya sempena konsert Maher Zain -
Forgive Me Live In Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Merdeka,
Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Marctensia dan Awakening serta One Drop Perfumes
selaku penaja bersama, turut membuat kemunculan istimewa pada konsert
tersebut ialah rakannya, Irfan Makki dan Raef.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini, penyanyi
berusia 31 tahun itu memberitahu, dia sudah bersedia untuk menggegarkan
Stadium Merdeka dengan persembahan yang akan memberi kenangan
tersendiri kepada tetamu yang hadir.
"Setakat ini segala persiapan untuk konsert pada 16 Jun berjalan
dengan lancar. Boleh dikatakan saya memang memberi tumpuan terhadap
persiapan yang dilakukan agar peminat berpuas hati dengan persembahan
saya nanti.
"Bagaimanapun, saya tidak boleh menjelaskan lebih terperinci mengenai
bentuk persembahan yang dilakukan. Kalau boleh saya mahu ia menjadi
satu kejutan kepada para peminat yang hadir," ujarnya.
Mengenai lagu-lagu yang akan dinyanyikan semasa konsert tersebut,
Maher menyatakan sebanyak 23 buah lagu yang akan dipersembahkan menerusi
album pertama, Thank You Allah dan album kedua iaitu Forgive Me.
Menurutnya, selain mahu memberikan pelbagai kejutan kepada peminat
yang bakal menyaksikan konsertnya itu, penyanyi tersebut memberi jaminan
terdapat kelainan yang akan ditampilkan berbanding konsert-konsert yang
pernah dilakukan sebelum ini.
MAHER ZAIN kini muncul dengan album
kedua, Forgive Me. Dia akan mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala
Lumpur pada 16 Jun ini sempena mempromosi album tersebut.
"Mengikut perancangan, saya juga bakal mempersembahkan sebuah lagu
yang pernah dipopularkan oleh seorang artis antarabangsa. Jadi, saya
berharap agar para peminat tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan
konsert saya nanti," ujarnya serba ringkas mengenai perancangan tentang
konsert tersebut.
Ketika ditanya tentang kenangan paling manis yang pernah dilalui
sepanjang mengadakan konsert di negara ini, Maher memberitahu terdapat
satu peristiwa yang tidak dapat dilupakannya sehingga sekarang.
"Terlalu banyak kenangan manis yang telah saya lalui, namun yang
paling tidak dapat dilupakan sewaktu saya mengadakan konsert yang
berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam dua tahun lalu.
"Semasa mempersembahkan lagu berjudul Freedom, penonton menggunakan
telefon bimbit mereka untuk memberikan cahaya terang di dalam stadium
dan saya berasa seolah-olah seperti berada di alam lain. Saya anggap itu
merupakan kenangan yang cukup istimewa," jelasnya.
Rumah kedua
Semenjak mencipta nama di Malaysia, Maher Zain sememangnya sudah
selalu menerima undangan pelbagai penganjur untuk membuat persembahan di
beberapa buah negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Sarawak.
Ditanya mengenai perasaannya terhadap undangan yang diterima,
penyanyi tersebut beranggapan ia merupakan rezeki dan sangat berterima
kasih kepada para peminat yang selalu memberikan sokongan terhadap
kerjayanya selama ini.
"Sebenarnya saya sangat terharu dengan sambutan yang diterima setiap
kali berpeluang menghiburkan peminat di negara ini. Tidak keterlaluan
sekiranya saya anggap Malaysia sudah seperti rumah kedua saya.
"Sejujurnya saya juga sangat cintakan Malaysia kerana suasananya yang
aman dan masyarakat pelbagai kaum dapat hidup bersama. Saya menganggap
negara ini boleh menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain,"
luahnya.
Menurutnya, dia juga pernah berbincang dengan isterinya bahawa tidak
mustahil mereka akan terus menetap di Malaysia pada masa akan datang
kerana persekitaran negara ini yang dirasakan sangat sesuai buat mereka.
Tiada diskriminasi
Sebagai seorang muslim yang membesar dan menetap di sebuah negara
yang majoriti penduduknya bukan Islam seperti Sweden, kemungkinan untuk
menjadi mangsa diskriminasi pastinya agak tinggi.
Bagaimanapun, Maher Zain meluahkan rasa syukurnya kerana sehingga
kini dia tidak pernah didiskriminasi oleh mana-mana pihak, malah mampu
melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penyanyi lagu-lagu dakwah dengan
baik.
"Alhamdulillah, setakat ini saya belum pernah mengalami sebarang
perkara yang buruk. Walaupun kehidupan saya di kelilingi masyarakat yang
berbilang agama, tetapi kami saling menghormati dan mereka tidak pernah
menghalang apa yang saya lakukan.
"Sebelum ini, saya pernah tidak pernah mengamalkan ajaran Islam
selama 15 tahun, meskipun saya seorang muslim. Kini, saya sangat
berbangga kerana dilahirkan sebagai seorang Islam," ujarnya.
Ujarnya, memandangkan minatnya yang mendalam terhadap bidang muzik,
Maher bertekad untuk meneruskan usaha-usaha dakwah menerusi nyanyian dan
berharap agar lagu-lagunya dapat terus diterima oleh semua lapisan
masyarakat.