Jom Buat Duit

Sunday 8 April 2012

Transformasi Upin & Upin



PERSEMBAHAN Upin & Ipin The Musical di Istana Budaya bermula 14 April hingga 6 Mei 2012 menjadi satu lagi pencapaian jenama Upin & Ipin yang mulanya diperkenalkan sebagai animasi berdurasi empat minit di kaca televisyen itu. Selepas di Istana Budaya, muzikal berkenaan mahu dibawa ke Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina. 


ANIMASI Upin & Ipin bermula sebagai siri televisyen berdurasi selama empat minit setiap siaran. Ia diperkenalkan menerusi TV9 pada 13 September 2007 dengan tema Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bertujuan untuk mendidik kanak-kanak menunaikan ibadat puasa dan menyambut hari raya.
Siri yang sebenarnya projek sampingan kepada filem animasi Geng... Pengembaraan Bermula itu kemudian melangkah jauh.

Musim pertama Upin & Ipin dipilih sebagai pemenang anugerah Animasi Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2007. Selepas dua musim bertemakan Ramadan dan keislaman, penerbitan Upin & Ipin beralih kepada penceritaan yang bersifat sejagat.
Evolusi pertama itu menumbuhkan sayap baharu membawa Upin & Ipin menjelajah ke dunia penyiaran lebih global dan sehingga hari ini ia telah memasuki musim kelima.

Musim keenam dan ketujuh akan ditayangkan pertengahan tahun ini. Selain di Indonesia dan Singapura, hingga ke hari ini, animasi itu masih ditayangkan di 17 negara Asia menerusi saluran Disney Channel Asia.
Fenomena Upin & Ipin yang boleh difahami kanak-kanak seawal usia dua tahun itu bakal mencetuskan satu lagi tanda aras menerusi pementasan Upin & Ipin The Musical di Istana Budaya mulai Sabtu depan.

Realiti
Ia juga bakal melakar sejarah baharu dengan 30 persembahan tanpa henti dalam tempoh 22 hari dan disifatkan sebagai pementasan paling lama di Istana Budaya setakat ini.
Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md. Razi dan pengarah naskhah Upin & Ipin, Zaifri Hussin menjadi dua jentera penting muzikal tersebut. Merekalah pelaksana serta pengawal kualiti untuk Upin dan Ipin menjadi kanak-kanak sebenar di pentas teater.
Bukan setakat memacak maskot di atas pentas, dunia animasi Upin & Ipin yang sebelum ini bergerak dari layar kaca itu harus melalui transformasi menjadi sebuah lakon fizikal dan muzikal hebat oleh karakter sebenar.

"Itulah cabaran besar kepada muzikal berkenaan.
"Selain skrip, kostum, dialog serta prop, bagi saya pelakonlah yang akan memberi nyawa kepada pementasan berkenaan. Dalam soal itu, kami cuba melakukan apa yang terbaik.
"Memandangkan tempoh pementasan yang panjang, pelakon untuk watak Upin dan Ipin sendiri dipecahkan kepada dua grup iaitu grup A dan grup B," jelas Zaifri.

Tambahnya, draf pertama skrip pernah ditolak oleh Burhanuddin selaku penerbit yang merasakan kerja tangannya tidak keluar daripada kotak Upin & Ipin yang sedia ada.
"Sekali tengok sahaja, Burhanuddin bersama isterinya sudah dapat mengagak keseluruhan skrip berkenaan. Saya diminta untuk hanya memasukkan elemen yang ada dalam keseluruhan cerita Upin & Ipin.
"Elemen yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang dapat menghubungkan minda penonton cilik yang menyaksikan muzikal itu nanti terhadap kisah-kisah yang pernah mereka saksikan dalam versi filem dan siri

Upin & Ipin di televisyen.
"Les' Copaque sangat menitikberatkan soal dialog serta moral dalam muzikal berkenaan. Saya pula mengusulkan pencarian kegembiraan yang hilang sebagai isu utama," cerita Zaifri yang memunculkan watak rama-rama dan puteri dari angkasa, Puteri Cinonit sebagai dua watak penting versi muzikalnya.

Kualiti
Bersetuju dengan plot penceritaan yang mengisahkan kedatangan seorang puteri dari angkasa lepas yang turun ke bumi mencari kegembiraan itu, Burhanuddin bagaimanapun terpaksa sekali lagi memutuskan pelakon watak heroin yang melakonkan watak puteri itu ditukar dengan pelakon lain, 12 hari sebelum pementasan dimulakan.
"Kami terpaksa buat keputusan drastik sebab pelakon mainkan peranan penting dalam sesebuah pementasan.

"Pelakon yang baru dipilih itu beri lebih keyakinan terhadap aspek penghayatan kepada watak heroin muzikal itu. Kita beri sedikit arahan tapi dia sudah menunjukkan tahap yang melegakan kami semua," kata Burhanuddin yang melabur kira-kira RM3 juta untuk Upin & Ipin The Musical yang turut mendapat kerjasama KPJ Healthcare Bhd. sebagai penaja utama.
Burhanuddin dan isterinya yang menulis skrip asal Upin & Ipin sebelum ini telah beberapa kali menolak cadangan skrip Zaifri.

Tidak hanya skrip, aspek lain seperti kostum, koreografi serta lagu-lagu baharu ciptaan Pak Ngah juga ditapis dan harus menepati standard yang dimahukannya.
"Nak buat muzikal bukan kerja main-main sebab saya merancang untuk beri tanda aras baharu kepada Upin & Ipin sendiri. Bagusnya, sebab saya bekerja dengan sebuah produksi yang berpengalaman, mereka boleh beri apa yang saya minta.

"Setakat ini, pihak Espalande dari Singapura sangat berminat untuk membawa muzikal ini ke sana. Untuk pementasan berbahasa Inggeris pada 29 April nanti, ada wakil penganjur dari Filipina yang akan datang melihat muzikal berkenaan. Saya juga ada berbincang dengan wakil penganjur dari Indonesia," katanya yang turut bercadang membawa muzikal itu ke Brunei.

Seronok
Bertemu satu daripada dua team pelakon yang menjayakan watak Upin dan Ipin, Faris Azim Abd. Karim yang memegang watak Upin dan Amir Johar Nadim (Ipin), kedua-duanya sungguh berbakat biarpun baru kali pertama membawa peranan dalam sebuah pementasan besar.

Amir Johan, 11, menganggap lakonan bukan sesuatu yang mengejutkannya memandangkan sebelum ini dia pernah terlibat dalam iklan komersial, pementasan LAT Kampung Boy The Musical, drama bersiri Geng Bas Sekolah serta beberapa buah telemovie.
"Saya memang peminat kartun Upin & Ipin, semua kanak-kanak sukakan watak Upin dan Ipin termasuk adik saya, jadi bila diberi watak Ipin, itu memang sangat menyeronokkan. Bagi saya, cabaran paling besar ialah menghafal dialog dalam bahasa Inggeris," ujar pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 itu.

Berbeza pula dengan Faris Azim, 14, pelajar tingkatan dua itu baru kali pertama kenal apa itu teater menerusi Upin & Ipin The Musical. Dia menyertai sesi uji bakat bukan mengharapkan diterima sebagai pelakon sebaliknya mahu menonjolkan bakat tarian B-boys yang sebati dengan dirinya.
"Tapi bila terpilih sebagai pelakon utama, sudah tentu gembira cuma cepat belajar cara penghayatan karakter. Setakat ini semua okey sebab cikgu yang mengajar lakonan dan tarian semuanya garang," ujar Faris sambil tertawa.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters