|
SEMENJAK muncul sebagai pemenang dalam rancangan nyanyian Asia Bagus pada tahun 1993, ia telah membuka lembaran baharu dalam kehidupan Amy Mastura. Selepas kejayaan tersebut, artis kecil molek itu pantas mencipta populariti sebagai anak seni dalam tempoh yang cukup singkat.
Mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya sebagai pramugari Malaysian Airline System Bhd. (MAS) pada tahun 1994, ia dilihat sebagai satu langkah yang tepat apabila Amy berjaya menempatkan diri sebaris dengan penyanyi popular lain ketika itu.
Selain berhasil mengecap kejayaan sebagai penyanyi, artis kelahiran Batu Gajah, Perak itu juga turut mencipta nama dalam bidang lakonan. Berjalan seiring dengan kariernya yang cemerlang, dia turut dipilih sebagai duta atau jurucakap kepada beberapa produk terkenal.
"Saya masih ingat lagi semasa mula-mula menjadi penyanyi, saya tidak yakin bidang seni mampu menjamin masa depan yang lebih cerah. Ketika menghasilkan album sulung dahulu, saya tidak berani letak jawatan sebagai pramugari kerana risau tidak mampu pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian.
"Sekarang saya sangat bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang telah dikecapi selama ini. Bukan mudah untuk bertahan dalam tempoh yang lama memandangkan kini semakin ramai artis baharu yang muncul dan saya anggap ia merupakan cabaran buat diri saya," ujarnya dengan penuh rendah diri ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu jenama Kose di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sudah 19 tahun bergelar artis, isteri kepada Alvin Tham Suffian ini menyatakan minatnya dalam bidang seni tidak pernah pudar. Dia juga sangat terharu dengan sokongan daripada peminat yang tidak pernah putus buatnya.
Ujarnya, biarpun kehidupannya kini bahagia bersama suami serta dua orang anak perempuannya, Adriana, 11, dan Adalia, 7, ia bukanlah penghalang besar buat dirinya untuk meneruskan karier sebagai anak seni.
"Setakat ini saya sudah puas dengan apa yang telah diraih sepanjang bergelar pelakon dan penyanyi, tetapi itu bukan bermakna sudah tiba masanya untuk saya terus melupakan bidang yang telah saya ceburi selama ini.
"Apabila sudah terbabit dalam bidang seni, bagi saya tiada istilah bersara dalam kerjaya ini. Jadi, tidak mustahil kalau saya akan terus bergelar sebagai anak seni sampai bila-bila," ujarnya.
Menurut Amy lagi, dia juga beruntung kerana pembabitannya dalam bidang seni tidak dihalang oleh suami tercinta. Apa yang penting, keluarga harus diutamakan.
"Sebenarnya suami tidak terlalu menyokong, namun dia juga tidak pernah menghalang apa yang saya lakukan sekarang. Walaupun sibuk dengan kerjaya, apa yang penting saya tidak mengabaikan urusan rumah tangga," ujarnya.
Bercerita lebih lanjut tentang kerjaya nyanyian pula, Amy menyatakan dia sudah merancang untuk menghasilkan single baharu dan sedang dalam proses untuk mencari lagu yang sesuai.
Jelasnya, buat masa ini dia lebih selesa untuk menghasilkan single dan tidak mahu terlalu terburu-buru setelah kali terakhir menghasilkan album berjudul Happy pada tahun 2009.
"Walaupun sudah agak lama tidak muncul dengan album baharu, tetapi rezeki sebagai penyanyi tetap ada apabila saya masih lagi mendapat tawaran untuk membuat persembahan dalam majlis-majlis korporat," beritahu Amy.
Mengenai dunia lakonan pula, Amy yang pernah terbabit dalam pementasan teater Siti Di Alam Fantasi pada tahun 2000 memberitahu dia sekadar tampil menerusi drama serta telefilem dan terpaksa menolak berlakon filem memandangkan dia perlu memberi keutamaan terhadap rumah tangga.
Sentiasa senyum
Dengan tubuh kecil molek dan sentiasa bersikap ceria, ramai yang terlupa bahawa Amy kini sudah mencecah usia 41 tahun. Sementelah dia sendiri seperti tidak dimamah usia tua.
Membongkar rahsia tentang dirinya yang kelihatan muda berbanding usianya sekarang, Amy menyatakan dia tidak mengamalkan sebarang petua tertentu untuk kelihatan cantik walau usia sudah melewati angka 40.
"Sebenarnya tiada sebarang rahsia atau petua tertentu yang saya amalkan, sebaliknya apa yang paling penting adalah sentiasa senyum dan cuba elakkan diri untuk berada dalam situasi tertekan.
"Mengenai pemakanan pula saya tidak terlalu berpantang sangat dan turut mengambil makanan yang berat termasuk memakan nasi setiap hari. Kalau malam pula saya hanya akan makan sebelum pukul lapan malam dan selepas waktu itu biasanya saya akan makan biskut atau sandwich jika lapar," ujarnya tentang rutin kecantikan dirinya.
Pulau Okinawa
Ternyata dengan memiliki raut wajah yang cantik juga telah memberi tuah kepadanya apabila dilantik menjadi duta produk kecantikan antarabangsa jenama Kose sejak tahun lalu.
Menariknya, Amy sangat bertuah apabila diumumkan bahawa dia telah menyambung kontrak untuk menjadi duta produk Kose buat tahun kedua berturut-turut dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.
"Saya bersyukur kerana sekali lagi diberi rezeki dan peluang bekerjasama serta melanjutkan kontrak dengan Kose buat kali kedua pada tahun ini. Sepanjang menggunakan produk jenama ini saya dapati ia memang sesuai dengan kulit saya.
"Apa yang menariknya, produk yang dihasilkan oleh Kose ini bukan sahaja sesuai untuk wanita seusia saya, malah ia juga boleh digunakan oleh golongan wanita muda dengan harga sangat berpatutan," jelasnya.
Ditanya tentang program-program yang disertai sepanjang bergelar duta produk tersebut, Amy menjelaskan selain terbabit dengan rangka promosi yang diaturkan, dia telah dibawa ke Pulau Okinawa, Jepun baru-baru ini.
Ujarnya, dia telah ke pulau tersebut pada bulan Februari lalu bersama beberapa orang duta produk Kose dari negara lain seperti Hong Kong dan Thailand untuk menyertai kempen pemuliharaan terumbu karang.
"Sepanjang menjadi pramugari selama lima tahun, saya sudah menjelajah hampir 30 buah negara, tetapi ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke Pulau Okinawa.
"Selama empat hari berada di sana, saya telah berpeluang untuk menyaksikan sendiri langkah-langkah yang dilakukan untuk pemuliharaan terumbu karang serta berkongsi pengalaman dengan duta Kose yang lain," ujarnya penuh teruja.
Selain Kose, Amy juga merupakan jurucakap atau duta kepada beberapa produk terkenal seperti jam tangan Omega, makanan kesihatan Quaker Oats dan peralatan senaman Takashima.
No comments:
Post a Comment