Jom Buat Duit

Tuesday, 6 March 2012

‘Susahnya berlakon dengan kura-kura’

pix_middle
pix_topright

TIDAK kejar populariti dan berkarya dengan ikhlas demi memanfaatkan minat serta bakat adalah kata-kata yang sangat ‘klise’ dengan dunia artis. Boleh dikatakan hampir semua berkata demikian seolah-olah mahukan jawapan yang selamat.
Namun hakikat sebenar, populariti adalah sesuatu yang sangat diperlukan dalam kerjaya seorang selebriti sebagai satu ‘survival’ untuk terus bertahan.

Jika tidak popular, masakan orang akan lebih kenal dan bagaimana pula tawaran akan mampu datang berterusan? Paling tidak pun, kenapa Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) masih relevan dengan dunia hiburan?

Hal ini diakui pelakon muda berbakat besar, Aeril Zafrel, bintang utama Cinta Kura Kura (CKK) yang menjengah pawagam 1 Mac lalu.


Dilahirkan dengan nama Suhairil Suhari, 24, pemuda kacak dari Johor ini percaya populariti itu sangat perlu. Malah tanpa rasa segan, dia akui mahu jadi insan popular.

“Saya percaya apabila orang kenal kita dan bakat kita, maka tawaran kerja akan lebih banyak kita dapat. Dengan ini, barulah kita akan mampu menjadi lebih ‘versatile’.

“Apabila ada nama, secara tidak langsung perkembangan seni kita akan diikuti masyarakat. Contohnya, sekarang saya muncul dengan filem Cinta Kura Kura. Saya sedar filem ini bermutu dan menghiburkan, tapi timbul pula kebimbangan penonton tidak ke panggung apabila mereka tidak mengenali diri saya.

“Mungkin juga itu mainan perasaan saya sendiri tapi rasanya tidak salah kalau saya cuba menjadi sama popular macam pelakon lain dalam filem itu seperti Tiz Zaqyah, Fizz Fairuz serta Zizan Razak, Farah Fauzana dan Usop Wilcha (yang meminjamkan suara mereka).

“Bagi saya elemen komersial sangat perlu untuk memancing penonton datang ke pawagam.

“Inilah yang cuba saya maksudkan. Kalau kita lebih dikenali, ia tentu akan dapat membantu filem menarik lebih ramai penonton ke panggung kerana kalau biasa-biasa saja, mereka pun boleh menonton di kaca TV di rumah,” katanya.

Semakin berkeyakinan melontarkan pendapat seiring kedewasaan, diam tak diam, sudah empat tahun Aeril mengembara sebagai anak wayang. Sepanjang tempoh itu, dia mengkaji bahawa populariti cukup berpengaruh dalam membantu kerjaya artis.

Namun Aeril sedar, populariti saja tidak cukup untuk membina kerjaya yang mantap. Baginya, bakat perlu mengatasi segala-galanya kerana populariti boleh datang dan pergi.

Bercerita lanjut mengenai CKK, Aeril yang menyentuh emosi peminat menerusi telefilem, Pelarian di slot Cerekarama, baru-baru ini, membawakan watak sebagai Adam.

Berpasangan dengan Tiz Zaqyah, CKK terbitan KRU Studios diarahkan Nizam Zakaria.

Terharu dilayan dengan baik oleh setiap yang terbabit dalam pembikinan filem itu terutama Tiz, CKK menuntut Aeril banyak bermain imaginasi.

“Ada beza perwatakan saya sebagai Roy dalam filem Aku Tak Bodoh yang ditayangkan tahun lalu. Cinta Kura Kura memerlukan saya banyak berkhayal kononnya saya memegang kura-kura. Saya kena berdialog dengan ‘kura-kura CGI’ itu dan menganggap ia wujud.

“Jadi saya perlu bayangkan bagaimana kura-kura itu membalas percakapan saya hanya berpandukan dialog yang diberi. Nampak macam mudah tapi ia sebenarnya sukar, apatah lagi perlu nampak selamba.

“Untuk itu, persediaan awal dilakukan bagi menghayati watak sebagai Adam. Saya membeli patung kura-kura dan berlatih di rumah. Saya juga membuat sedikit kajian mengenai perwatakan kura-kura di Internet.

“Nak dijadikan cerita, ketika penggambaran untuk satu babak, saya perlu menggoncang badan Nico. Perbuatan saya itu menyebabkan kura-kura berkenaan membuang air ke atas tubuh saya.

“Sejak tragedi itu, saya hanya memegangnya tanpa menggerakkan badannya lagi,” kata jejaka berbintang Sagitarius kelahiran pada 2 Disember 1988 ini.

Adam, pada dasarnya seorang lelaki lurus yang pemalu namun kreatif. Dia mula rapat dengan jiran barunya, Nani namun tidak disukai oleh Nico, binatang peliharaan Nani.

Pada masa sama, Nico ada calon kegemarannya sendiri iaitu Fadzly, seorang pengurus kedai haiwan untuk berpasangan dengan Nani. Walau bagaimanapun, Fadzly mempunyai motif jahat untuk mendekati Nani bertujuan untuk menculik Nico dan dijual ke sebuah restoran sebagai makanan eksotik.

Berbual mengenai rencana kerjayanya pada 2012 ini, Aeril yang merupakan anak keempat daripada lima beradik berharap tahun ini menjadi tahun cemerlang buat dirinya. Selain CKK, ada tiga lagi filem lakonannya menanti tayangan iaitu 7 Petala Cinta, Budak Pailang dan Hanya Aku Cinta Kau Seorang (Hacks).

“Kalau tiada aral, watak yang saya bawakan dalam filem itu akan masuk pawagam tahun ini. Saya sendiri tak percaya jumlah pembabitan saya semakin meningkat, alhamdulillah.

“Pun begitu, saya tidak mahu angka jadi batu ukuran. Apa yang saya harapkan, lakonan saya dikritik demi kebaikan saya sendiri,” kata anak yatim piatu ini.

Pernah dihimpit kontroversi sedikit masa lalu, pemilik wajah kacak dengan sepasang mata redup ini melahirkan rasa terharu dengan pencalonannya menerusi kategori Artis Baru Lelaki Popular dalam ABPBH2011.

Menerusi kategori berkenaan, Aeril akan bersaing dengan bintang muda cukup berbakat besar dan menjadi perhatian seperti Awi rafael, Beto Kusyairi, Hazama dan Johan Arif As’Ari.

“Melihat senarai nama yang dicalonkan, memang saya tidak harapkan kemenangan. Mungkin apa yang saya katakan ini dianggap ‘klise’ namun inilah sebenar-benar hakikatnya.

“Tercalon sebagai Top 5 satu pencapaian yang besar buat saya. Maklumlah, anugerah ini sangat berprestij dan mengimbau sejarah penganjurannya, sejak dulu hanya mereka yang betul-betul ada nama akan menang.

“Sebenarnya, saya masih terasa kerdil dalam bidang yang besar ini,” katanya.



Trivia Aeril Zafrel

  • Bahagian wajah atau tubuh anda yang paling disukai:
    Mungkin bibir
  • Tabiat buruk:
    Mengigit kuku
  • Perkataan yang sering diucapkan:
    Astaghfirullahalazim...
  • Ciri wanita pilihan:
    Yang comel
  • Perkara yang membuatkan anda mudah menangis:
    Apabila potong bawang
  • Artis Pujaan:
    Anne Hathaway
  • Jenis bacaan yang anda gemari:
    Novel tulisan Hamka
  • Nyatakan siapa anda secara ringkas:
    Pemalu, happy-go-lucky
  • No comments:

    Post a Comment

    Klik Untuk Saya k... :)

    free counters