TEHERAN - Sebuah pesawat awam terhempas sejurus selepas berlepas dari
Lapangan Terbang Mehrabad di sini menyebabkan 39 orang terkorban dan
sembilan orang lagi cedera.
Menurut agensi berita IRNA dan Fars, pesawat berkenaan dalam perjalanan menuju ke bandar Tabas, timur negara ini..
Dalam kejadian pada pukul 9.18 pagi itu, pesawat tersebut jatuh
terhempas di kawasan kejiranan Azadi di sini, berdekatan dengan kawasan
kediaman untuk anggota tentera.
"Semua penumpang pesawat itu dilaporkan terbunuh," kata jurucakap pasukan bomba kepada IRNA.
Timbalan Menteri Pengangkutan Iran, Ahmad Majidi berkata, pesawat
Antonov An-140 milik syarikat Sepahan Airlines itu turut membawa enam
kanak-kanak dan lapan kru.
Pegawai-pegawai berkata, kapal terbang itu melanggar tembok dan pokok-pokok berdekatan dengan pasar.
"Tempat kejadian begitu dahsyat, bahagian belakang kapal terbang berada di tengah-tengah jalan," kata seorang saksi.
"Kita bernasib baik kerana kira-kira 500 meter dari tempat kejadian
itu, terdapat pasar dan orang ramai sedang berada di situ," kata seorang
lagi saksi kepada sebuah stesen televisyen.
Pesawat ringan itu direka untuk kegunaan domestik.
Masalah enjin mungkin menjadi punca nahas.
Seorang lagi saksi berkata, orang ramai melarikan diri semasa pesawat tersebut terhempas.
Menurutnya, dia terdengar dua hingga tiga letupan kuat semasa pesawat tersebut terhempas.
Pada Julai 2009, sebuah pesawat buatan Rusia terhempas sejurus selepas berlepas di Teheran menyebabkan 168 orang terkorban. - Agensi
No comments:
Post a Comment