ISTANBUL - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam
bersiap sedia untuk membawa Turki ke era baharu apabila beliau memenangi
pilihan raya Presiden.
Erdogan berkhidmat sebagai Perdana Menteri sejak tahun 2003 sebelum
ini berusaha untuk memodenkan Turki dan meningkatkan pengaruhnya di
pentas antarabangsa.
Beliau dipercayai akan menjadi Presiden Turki untuk tempoh dua penggal sehingga tahun 2024.
Pilihan raya kelmarin merupakan pilihan raya Presiden pertama yang diadakan dengan penglibatan para pengundi.
Sebelum ini, pemilihan Presiden Turki dibuat oleh anggota-anggota Parlimen.
Beliau menang selesa dengan menewaskan pencabarnya, Ekmeleddin
Ihsanoglu, 70, yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam
untuk mengelakkan pertandingan pusingan kedua pilihan raya tersebut
diadakan.
Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 28 Ogos ini bagi menggantikan rakannya, Abdullah Gul.
Perhatian rakyat kini tertumpu kepada siapa yang akan menjadi Perdana
Menteri, sekali gus menerajui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP)
bertanding pada pilihan raya umum pada 2015.
Pada pilihan raya Presiden kelmarin Erdogan memenangi sebanyak 51.74
peratus undi, diikuti 38.46 peratus oleh Ihsanoglu manakala pencabar
ketiga, Selahattin Demirtas, 41, mendapat undi sebanyak 9.80 peratus.
Keputusan rasmi pilihan raya itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Peratus pengundi keluar mengundi pada pilihan raya itu adalah tinggi iaitu sebanyak 73.68 peratus.
Menurut perlembagaan, Erdogan perlu meletakkan jawatannya dalam Parti
AKP selepas beliau diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya
tersebut.
Parti AKP dijangka mengadakan perbincangan peringkat tertinggi untuk memilih ketua dan Perdana Menteri baharu.
Antara calon berpotensi jawatan Perdana Menteri itu adalah Menteri Luar, Ahmet Davutoglu. - Agensi
No comments:
Post a Comment