KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman merakamkan ucapan takziah kepada
keluarga Biduanita Negara Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang meninggal
dunia awal hari ini.
Muhyiddin menyifatkan pemergian Sharifah Aini, atau Kak Pah, sebagai satu kehilangan besar kepada industri hiburan tanah air.
"Sumbangan Allahyarham dalam mengangkat bidang seni negara amat besar
dan tiada duanya, dan pemergiannya adalah suatu kehilangan yang tiada
pengganti.
"Semoga keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan ini.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diletak dalam kalangan
orang-orang yang solihin lagi beriman. Al-Fatihah," katanya dalam satu
kenyataan kepada Bernama hari ini.
Ucapan takziah untuk keluarga Allahyarham turut disampaikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
"Salam takziah buat keluarga Biduanita Negara Kak Pah. Jasa besar dalam
dunia seni tanah air. Al-Fatihah," kata beliau menerusi laman sosial
Twitter.
Sharifah Aini, yang menyambut hari lahir ke-61 pada Rabu lepas,
meninggal dunia pada kira-kira 1.26 pagi di sebuah hospital swasta di
Damansara kerana jangkitan paru-paru.
Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Pakar
Damansara sejak Selasa lalu setelah menghadapi kesukaran untuk
bernafas. - Bernama
No comments:
Post a Comment