GLASGOW - Seramai 6,500 atlet dari 71 negara meratapi tragedi pesawat
penerbangan Malaysia (MAS) MH17 sebaik pembawa bendera kontinjen
Malaysia, Fatehah Mustafa membawa Jalur Gemilang separuh tiang dan
anggota-anggota memakai lilitan lengan hitam di tangan kiri pada majlis
pembukaan Sukan Komanwel 2014 di Celtic Park awal pagi semalam.
Kejadian menyayatkan hati itu menarik perhatian serius dari seluruh
dunia yang mana upacara bertafakur selama seminit dilakukan bagi
memberikan penghormatan kepada mangsa-mangsa nahas MH17.
Tujuh atlet negara iaitu Ju Pha Som Net (lumba basikal), Surizan
Awang Noh dan Fatin Syafiqah Mohd. Sukri (hoki wanita), Nur Fidrah Noh
dan Fairoz Abd. Jabal (boling padang) dan Farizal Ismail (ragbi) serta
dua pegawai - pengurus pasukan ragbi, Mohamad Fahmy Abdul Jalil dan
Pegawai Media Malaysia, Fahmi Omar berpakaian seragam kru kabin MAS.
Manakala anggota kontinjen lain berpakaian baru iaitu Wira Malaysia,
baju kurung dan selendang bagi atlet wanita dan baju Melayu berserta
samping bagi atlet lelaki yang direka pereka fesyen terkenal Malaysia,
Melinda Looi.
Untuk edisi kali ini, kontinjen negara diwakili seramai 269 orang
atlet dan pegawai yang mana seramai 179 orang atlet, 135 daripadanya
adalah atlet elit, lima atlet pelapis, 30 atlet luar program MSN dan
sembilan atlet paralimpik.
Kontinjen Malaysia hanya akan menyertai 14 daripada 17 jenis sukan
yang merangkumi 130 acara iaitu 67 acara lelaki, 55 acara wanita serta
lapan acara sukan paralimpik.
Acara sukan yang akan disertai Malaysia ialah akuatik (renang dan
terjun), angkat berat, badminton, berbasikal, boling padang, gimnastik
(artistik dan berirama), hoki, judo, menembak, olahraga, ping-pong,
ragbi, skuasy dan tinju.
Kejohanan selama 11 hari itu akan mempertandingkan 17 acara sukan
membabitkan lebih 6,000 atlet dari 71 negara sekali gus menjadikan acara
sukan terbesar yang pernah dianjurkan Scotland.
Scotland sebelum ini menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1970 dan 1986 di Edinburgh. Kosmo
No comments:
Post a Comment