Jom Buat Duit
Monday, 9 April 2012
Shiha, Iqbal kena perbaiki cara makan
PROGRAM Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) yang diterbitkan sejak tahun 2003 di TV3 kini telah masuk musim yang ke-18.
Pengacaranya juga silih berganti. Selepas pengacara paling bijak membangkitkan selera penonton di meja makan iaitu Maria Tengku Sabri, JJCM kemudian diterajui oleh aktres Sabrina Redzuan dan seterusnya Qi Razali.
Selepas Qi mengambil keputusan mengundur diri daripada JJCM untuk memberi fokus kepada bidang lakonan, JJCM musim baharu telah digantikan oleh Shiha Mentor dan juga Iqbal yang lahir daripada program Pilih Kasih.
Baru bersiaran sebanyak lima episod daripada sasaran keseluruhan sebanyak 38 episod, sudah kedengaran maklum balas negatif daripada penonton setia yang beranggapan mereka berdua tidak sesuai untuk menerajui program tersebut. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Intan Suraya yang baru pertama kali menjadi penerbit untuk program tersebut.
Kosmo!: Sejak JJCM musim baharu bersiaran, banyak komen negatif mengenai dua pengacaranya iaitu Shiha dan Iqbal. Siapa sebenarnya yang memilih mereka untuk menerajui program tersebut?
INTAN SURAYA: Saya yang menjalankan uji bakat tetapi yang mempunyai kuasa untuk memilih adalah pihak pengurusan jenama. Apabila mereka memilih Shiha dan Iqbal pasti ada sesuatu yang istimewa pada mereka berdua.
Maknanya, dalam fikiran Intan terdapat orang lain yang sepatutnya berada di posisi pengacara itu?
Sebenarnya tujuan asal kami mengadakan uji bakat adalah untuk mencari pasangan buat Qi. Saya buat uji bakat dengan ramai artis termasuk Yana Samsudin dan Taiyuddin Bakar (Tai). Tai antara pilihan tetapi jadualnya bertindih dengan drama Apa Celop dan kebetulan ketika itu Qi memberitahu mahu mengundur diri daripada JJCM. Sebab itu kami memilih dua pengacara baharu.
Jika rating JJCM musim ke-18 ini menurun, adakah Intan akan menggantikan Shiha dan Iqbal dengan orang lain seperti Tai jika terdapat kelapangan dalam jadualnya?
Untuk menggantikan orang itu bukan keputusan saya. Apa yang saya lihat walaupun penonton memberi maklum balas yang buruk tetapi rating program ini tidak turun langsung. Alhamdulillah, setakat ini rating tidak pernah kurang daripada satu juta penonton, malah angka itu semakin naik sedikit demi sedikit.
Apa tindakan yang diambil Intan selaku penerbit apabila terdapat komen negatif daripada penonton JJCM mengenai dua pengacara baharu itu?
Apa sahaja komen yang mereka berikan saya ambil untuk memperbaiki lagi mutu program. Sebenarnya mengendalikan program yang sudah bermusim-musim dan terkenal, penonton pasti membuat perbandingan. Perkara ini berlaku dalam semua program televisyen. Biarlah mereka bersuara kerana itu hak mereka untuk memberi sebarang komen. Saya terima dan akan memperbaiki sedaya upaya.
Ramai penonton yang tidak senang dengan cara Shiha dan Iqbal mengacarakan JJCM kerana nampak sangat mereka berlakon seolah-olah berselera di depan kamera. Komen?
Apa yang boleh saya buat adalah memperbaiki cara mereka makan supaya mereka nampak benar-benar berselera dan mampu menyakinkan penonton bahawa makanan yang dimakan itu sedap. Bagi saya sendiri, tiada pengacara lain yang mampu membangkitkan selera orang seperti mana yang dilakukan oleh Maria Tengku Sabri, itu sudah kelebihannya. Saya tidak boleh paksa untuk pengacara baharu mengikut cara pengacara sebelum ini.
Maksudnya, Intan akan mengekalkan cara pengacaraan mereka berdua meskipun terdapat komen negatif?
Mereka orang baharu, masih banyak yang perlu diperbaiki. Ada sesetengah orang suka dengan cara mereka dan ada yang tidak suka. Saya juga berusaha untuk mendidik mereka sebaik mungkin. Setakat ini mereka tidak mendatangkan masalah, malah komitmen kerja mereka sangat bagus. Saya harap penonton memberi peluang kepada mereka berdua.
Selepas ini apa perancangan penggambaran untuk memantapkan lagi JJCM?
Perjalanan penggambaran JJCM masih panjang, banyak lagi makanan di Malaysia yang kita tidak tahu. Mungkin selepas Malaysia, kami akan ke Brunei kerana banyak masakan Brunei yang agak menarik, tetapi perancangan itu akan terlaksana jika JJCM mendapat tajaan. Saya harap penonton akan terus memberikan sokongan kepada JJCM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment