Jom Buat Duit

Sunday, 8 April 2012

Kotak segi tiga


ANGGOTA Kotak datang lagi untuk kali ketiga ke Kuala Lumpur. Namun kali ini kelihatan janggal. Kotak yang sepatutnya bersegi empat itu kini bertiga. Tampak goyah awalnya namun bukan satu sebab untuk Kotak berdiri tegap tanpa sang penggebuk dram, Posan yang meninggalkan Kotak untuk meneruskan pencariannya.
"Susah awalnya untuk beradaptasi kerana tinggal bertiga. Agak sepi tapi hidup ini perlu diteruskan. Jadi untuk menggantikan Posan, kami mengambil empat orang pemain dram tambahan yang berganti-ganti. Mereka ialah Sinyo, Ikmal Tobing, Sueri Heyho dan Bounty Ramdhan," luah pemain bass, Swasti Sabdastantri yang mesra disapa Chua
"Sukar mencari pengganti Posan kerana kami mahukan pemain dram yang mempunyai sikap yang baik. Kalau pemain dram yang mainannya bagus memang ramai di Indonesia tetapi sikap mereka kurang profesional, itu sukar," akui Tantri tanpa selindung akan sebab kekosongan posisi belakang Kotak.

Album
Gembira dapat kembali ke Malaysia untuk tujuan promosi album dan persembahan yang dibawakan oleh pihak Suria Records, kata-kata yang keluar daripada mulut tiga sahabat ini ialah menu makanan yang mereka inginkan.
"Teh tarik sini sangat sedap, kalau di Indonesia terlalu manis. Juga rindukan roti canai dan nasi lemak," jerit Tantri yang membuahkan kelaparan sewaktu temu ramah yang diadakan di Hotel Royale Bintang, Kuala Lumpur.

Kembali ke kotak asal tujuan ke sini, mereka memulakan bicara. Langkah Chua, Tantri dan Cella ke Kuala Lumpur kali ini adalah untuk mempromosikan album keempat mereka yang diberi judul Energi: Tendangan Dari Langit The Movie. Sebuah album repackage dan juga runut bunyi untuk filem dengan tajuk yang sama arahan Hanung Bramantyo. Sebelum ini mereka sudah hadir dengan album berjudul Kotak (2005), Kotak Kedua (2008) dan Energi (2010).

"Kami bekerjasama dengan produksi filem Tendangan Dari Langit The Movie lakonan Irfan Bachdim dan Kim Kurniawan. Single perdana album ini adalah di runut pertama iaitu Tendangan Dari Langit. Runut pertama hingga keempat ialah lagu-lagu terbaharu yang dihimpun semula dengan sembilan lagu daripada album terdahulu," ujar Tantri tentang album yang dilancarkan pada November lalu di Indonesia. Album ini juga turut memuatkan lagu Terbang, Pelan Pelan Saja, Selalu Cinta dan Cinta Jangan Pergi.
"Awalnya kami memang sedang mempersiapkan lagu-lagu baharu Kotak. Namun, kemudian kami didatangi tawaran daripada pihak SinemArt untuk membuat lagu runut bunyi filem tersebut dan akhirnya lirik diubah untuk bersesuaian dengan filem tersebut," ungkap gitaris bernama Mario Marsella yang akrab dipanggil Cella.

Walaupun sudah menghasilkan tiga buah album yang meriah pujian serta kepercayaan khalayak, namun menghasilkan album runut bunyi berhadapan cabaran tersendiri.
"Ada rasa tanggungjawab besar untuk mengangkat bola sepak tanah air," ucap Tantri atau nama sebenar Tantri Syalindri Ichlasari yang mengaku vokalnya dahulu tidak setebal dan seberat sekarang.
Jadual nan padat dengan tujuan promosi album dan persembahan hingga Julai kelak, Kotak juga dalam rangka mempromosikan single kedua mereka yang berjudul Apa Bisa.
Tidak jauh dengan perkataan repackage, rancangan seterusnya untuk Kotak oleh syarikat rakaman mereka iaitu Warner Music Indonesia ialah mengeluarkan sebuah lagi album repackage berserta tiga buah lagu baharu yang masih belum ditentukan konsepnya.

Impak
Formasi grup yang tinggal bertiga ini sering meninggalkan impak setiap kali mereka melakukan persembahan. Tenaga seiring gelora seni berkobar-kobar di atas pentas membuatkan Kotak dilihat sebagai sebuah grup pelapis yang mempunyai identiti tersendiri.

Chua sering tampil seksi sebagai pemain bass, Tantri dengan kotak vokal yang cukup bertenaga dan rock manakala Cella sering melakukan gimik seperti memakai topeng dan mematahkan gitar di atas pentas. Ini antara yang dibawakan Kotak dan ia melekat dalam minda peminat terutamanya Kerabat Kotak yang dilihat semakin setia dengan mereka.

Demi sebuah cabaran dan percubaan baharu, mereka menerobos pentas Festival Java Jazz yang rata-ratanya dihadiri penyanyi dan pemuzik jazz antarabangsa di Jakarta, Indonesia pada 4 Mac lalu.
"Festival Java Jazz merupakan salah sebuah festival terbesar di Indonesia. Kami menyanyikan 10 buah lagu termasuk Someone Like You nyanyian Adele. Awalnya kami fikir tiada yang akan menonton persembahan Kotak tapi rupanya ada. Malah, sewaktu turun dari pentas, kami didatangi oleh para peminat Malaysia dan kami sangat terharu," ujar Tantri mewakili Kotak yang juga akan terlibat dengan acara Jakarta Blues pada bulan Oktober mendatang.

Impian
Bukan setakat di pentas asing itu mereka menjual bakat dan kudrat, Kotak juga diberi penghargaan bernyanyi di konsert Simple Plan Get Your Heart On! Tour 2012 yang diadakan di Jakarta pada 17 Januari lalu. Malah, Tantri diberi penghormatan menyanyi bersama Simple Plan untuk lagu berjudul Jet Lag.
"Teruja sangat dan sebuah cabaran terbaru kerana diberi peluang berduet dengan Simple Plan," ujar Tantri yang mendapat pujian ahli anggota Simple Plan kerana vokal dan energinya.

Grup dari Jakarta itu sudah mempamerkan kesungguhan mereka bergelar anak seni. Sepanjang tahun 2009 mereka berjaya membawa pulang Piala Anugerah AMi untuk dua kategori rock iaitu Grup Rock Terbaik dan Album Rock Terbaik. Menyusul selepas itu, mereka mendapat penghargaan pada Anugerah Planet Muzik 2009 dengan menjadi Grup Pendatang Baru Terbaik.

Portfolio mereka dibawa cantik dalam sejarah dan perjalanan ke hadapan Kotak.
"Perancangan untuk tahun ini, kami mahu menunaikan umrah bersama-sama. Ini dilakukan sesudah nazar. Sasaran kami lagi adalah untuk mengadakan sebuah showcase di Malaysia dengan penonton yang ramai sambil berkolaborasi dengan para pemuzik di sini," ujar Tantri yang akan muncul bersama Kotak dan bergandingan dengan Bunkface dalam showcase Kotak di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada pukul 4 petang hari ini.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters