Jom Buat Duit

Thursday 10 May 2012

Maya ingin bercinta


Aktres yang popular dengan watak Izzah menerusi filem pecah panggung Ombak Rindu, Maya Karin Roelcke nampaknya semakin sibuk tahun ini selepas memenangi anugerah Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular 2011.

Cukup laris sebagai pelakon dan pernah dikaitkan dengan beberapa artis lelaki popular, namun sehingga kini hati wanita berusia 31 tahun itu masih kosong sejak bercerai dengan bekas suaminya, Steven David Shorthose pada 16 Julai 2010.

Akui Maya yang semakin jelita ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular di Holiday Villa, Subang baru-baru ini, dia ingin kembali bercinta.

Kosmo!: Selepas bercerai setahun lebih, adakah anda sudah bersedia untuk kembali bercinta dengan mana-mana lelaki?
MAYA: Hati saya sudah terbuka untuk kembali bercinta sejak Disember tahun lalu, tetapi setakat ini hati saya masih belum dimiliki oleh mana-mana lelaki.

Maknanya, anda pernah mempunyai teman lelaki sejak Disember tahun lalu?
Belum ada lagi, tetapi saya mengaku yang saya pernah keluar dengan beberapa lelaki. Kami pergi makan malam bersama tetapi hubungan itu tidak pergi lebih jauh.
Apa masalahnya, sedangkan anda merupakan artis terkenal, tentu tidak sukar untuk memiliki mana-mana lelaki yang diingini.

Siapa kata senang untuk mencari lelaki yang benar-benar sesuai. Sebenarnya mungkin kerana kesibukan kerjaya membataskan saya untuk mengenali dengan lebih dekat hati lelaki yang saya minati. Bayangkan kami pergi makan malam, kemudian saya sibuk dengan kerja, dua bulan selepas itu baru saya teringat untuk hubunginya semula. Jadi, agak sukar untuk lelaki menerima jadual kerja saya.

Kriteria lelaki idaman anda?
Saya suka lelaki yang berdikari, suka cabaran, lasak dan falsafah kehidupan yang sama seperti saya. Buat masa ini, saya sangat sibuk, jadi saya tidak mahu terlalu memikirkan soal jodoh.
Jika boleh, anda mahu lelaki itu bekerja dalam bidang yang sama ataupun berlainan?
Kalau boleh saya mahu lelaki yang berlainan bidang dan tidak terlibat langsung dalam industri seni. Sekurang-kurangnya minda saya berkembang kerana kami boleh membincangkan topik yang berlainan.

Ada meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman janda?
Tidak ada sebarang sasaran. Keluarga juga tidak memaksa saya untuk berkahwin segera. Saya tidak terlalu memilih, cukup jika lelaki itu memahami, menyayangi dan ikhlas menerima saya seadanya.

Perkembangan terbaharu anda?
Jadual saya penuh sepanjang tahun ini dan terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan filem. Sebelum puasa, saya akan bergegas untuk penggambaran dua buah filem, salah satu filem itu adalah arahan Osman Ali.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters