Jom Buat Duit

Wednesday, 4 April 2012

Tak mati dek kontroversi - Kaka





PERTAMA kali bersua muka dengan si gadis genit yang memiliki vokal serak-serak basah pada awal pagi Isnin lalu, tidak menyangka dia merupakan pelantun lagu Bawaku Pergi yang menjadi perhatian sejak akhir-akhir ini.

Mana tidaknya, selama ini hanya mendengar suaranya mengalunkan lirik-lirik penuh bermakna lagu itu di corong-corong radio. Mungkin membayangkan dia seorang gadis yang agresif dan barangkali sedikit kasar berpandukan kualiti vokal menerusi lagu itu.

Meleset sama sekali, orangnya manis dan aktif menyimpul bicara. Sesuai dengan usianya yang baru 23 tahun, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff lebih senang dikategorikan seorang gadis yang senang didekati.

Namanya masih muda dalam bidang seni suara tempatan, masih menanti masa untuk bercambah menjadi ranum dan matang seumpama ibu saudaranya yang tidak asing lagi iaitu Ella.
Namun, dia enggan menempel dan dibayangi dengan jenama seorang Ella yang sudah dikenali umum. Kaka lebih senang untuk tidak bercerita mengenai pertalian darahnya dengan Ratu Rock negara itu.

"Kalau boleh saya ingin berdiri atas kaki sendiri, tidak mahu dibandingkan dengan sesiapa sekali gus ingin menjauhi perkara-perkara yang negatif," luahnya ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu bagaimanapun memiliki perspektif sendiri terutama dalam bidang seni suara yang diminatinya sejak kecil lagi.

Malah, dia bagaikan sudah menduga soalan pokok yang bakal diajukan. Tidak melenting diasak pelbagai pertanyaan berhubung isu yang tercetus daripada single sulungnya, Bawaku Pergi.
"Kontroversi itu menguatkan saya! Ia umpama cabaran pertama buat artis baharu seperti saya sekali gus mendorong untuk saya menghasilkan sesuatu yang lebih baik," tegasnya menetapkan pendirian.
Kecoh minggu lalu apabila lagu nyanyiannya bersama Zizan Raja Lawak berjudul Bawaku Pergi ciptaan sepenuhnya Malique Too Phat menjadi rungutan sesetengah pihak dan menyarankan agar lagu itu diharamkan penyiarannya di stesen radio.

Alasan mereka, lagu itu menyampaikan mesej negatif dan mendorong remaja lari dari rumah. Sehubungan itu, pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memberi tempoh seminggu untuk menilai semula dan memberikan kata putus sama ada lagu itu akan diharamkan atau sebaliknya.

Kaka yang melihat perkara itu sebagai satu isu yang tidak sepatutnya menjadi pertikaian menepis dakwaan bahawa kontroversi yang melanda menutup periuk nasinya sebagai penyanyi.
"Ia cuma kontroversi, kalau diperhatikan banyak lagu, filem dan drama dari luar negara yang menyampaikan mesej yang jauh tidak baik tapi tidak pula timbul isu.

"Lagu Bawaku Pergi langsung tidak mempunyai niat untuk mengajak orang ramai lari dari rumah, kebetulan isu remaja lari dari rumah sekarang sedang panas lantas lirik lagu pula dipersalahkan dan menjadi pertikaian," getusnya yang menyarankan pendengar agar melihat lirik lagu Bawaku Pergi dari sudut positif.

Katanya, lirik yang dilihatnya secara seni itu tidak sama sekali mendorong ke arah keburukan sebaliknya ia lebih berkisar untuk mengajak orang ramai mencari resolusi menyelesaikan masalah.
"Lagu itu juga mengisahkan hajat pencipta lagu itu iaitu Malique dan isterinya untuk mengembara ke sebuah tempat yang tidak kesampaian," jelasnya.

Kontroversi untuk populariti
Menceritakan bagaimana boleh tercetus kerjasama antaranya dan Zizan, ujar Kaka dia langsung tidak dimaklumkan bahawa lagu itu sebenarnya dicipta untuk Ella dan dinyanyikan bersama Malique.
"Zizan amat suka dengan melodi lagu itu yang segar dan mesra pendengar jadi dia meminta untuk menyanyikan lagu itu.

"Kemudian dia mencari individu yang sesuai untuk berduet sehinggalah pertemuan kawan atas kawan antara kami yang menjadikan kolaborasi sulung itu terhasil," cerita pencinta irama soul dan RnB itu.
Jelas Kaka lagi, tiada impak negatif berlaku pada karier dan kehidupan peribadinya susulan daripada kontroversi lagu tersebut.

"Insya-Allah karier saya akan terus berjalan dan saya akan cuba berikan yang lebih baik dari semasa ke semasa dan menyumbangkan bakat yang saya ada.
"Buat masa sekarang, Alhamdulillah saya masih disokong oleh peminat dan individu sekeliling dan tiada sebarang perkara buruk terjadi," ujarnya yang enggan melihat khabar angin mahupun forum perbincangan mengenai lagu itu di ruang maya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters