ALOR SETAR: “Saya paksa arwah ke hospital tetapi dia berkeras tidak mahu pergi kerana sudah mendapatkan rawatan di klinik,” kata Shahrulniza, 35, anak sulung Saad Mansor, 63, yang meninggal dunia selepas dua jam dipatuk ular berbisa di rumahnya di Kampung Alor Gongchar, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai petani dipercayai dipatuk di jari hantu tangan kanan oleh ular berbisa yang tidak diketahui spesiesnya ketika duduk di bangku bawah rumahnya.
Shahrulniza berkata, ketika kejadian itu, hanya ibunya, Che Jam Ismail, 63, dan adiknya, Mat Shahrizal berada di rumah berkenaan.
Katanya, sebaik arwah memaklumkan jari tangan kanannya dipatuk ular, adiknya segera membawanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran rumah mereka.
“Bagaimanapun, klinik berkenaan mengesyorkan arwah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, kerana bimbang kecederaan bertambah serius.
“Namun, arwah berkeras tidak mahu ke hospital, malah menyuruh adik saya pulang ke rumah,” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu apabila menerima panggilan daripada adik bongsu, Shahida yang memaklumkan arwah dipatuk ular berbisa.
“Ibu ada beritahu saya dan selepas kejadian mereka membawa arwah ke klinik untuk menerima rawatan dan pihak klinik ada mengeluarkan surat supaya arwah dirujuk ke hospital, tetapi arwah enggan pergi.
Shahrulniza berkata, arwah yang berasal dari Kampung Lengkuas, di sini, pernah memaklumkan kepada mereka supaya dikebumikan di kampung asalnya itu.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu dan sikapnya sama seperti sebelum ini.
“Selepas ini, kerusi di tempat kejadian ini pasti akan menjadi kenangan untuk kami sekeluarga kerana setiap kali pulang dari sawah, arwah akan berehat di kerusi itu bagi untuk menghilangkan penat,” katanya sebak Jenazah Saad dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Lengkuas, Bukit Pinang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
No comments:
Post a Comment