Jom Buat Duit
Monday, 16 April 2012
Maggie jelmaan anak Presiden Amerika
MAGGIE GRACE cukup sinonim dengan karakter seorang anak perempuan yang dilanda stres. Aktres yang pernah membintangi siri popular Lost itu sebelum ini cukup menonjol dalam watak lakonannya untuk filem Taken (2008), yang mana dia juga akan kembali muncul untuk sekuelnya, Taken 2 yang bakal menjengah pawagam menjelang bulan September tahun ini.
Menerusi filem terbaharunya, Lockout yang bakal ditayangkan di pawagam Malaysia menjelang 19 April ini, Maggie melakonkan watak Emilie Warnout iaitu anak Presiden Amerika Syarikat.
"Saya sememangnya mempunyai sejarah yang panjang dalam melakonkan karakter seorang anak perempuan yang bermasalah," akui pelakon watak Irina dalam filem pecah panggung, The Twilight Saga: Breaking Dawn - Part 1 dan sekuelnya, The Twiligt Saga: Breaking Dawn - Part 2 yang kini dalam proses posproduksi.
Menurut Maggie, 28, sewaktu pertama kali membaca skrip filem yang berlatarkan dunia pada tahun 2047 itu, dia terus sahaja berasa teruja untuk membintanginya.
Lockout yang diarahkan oleh Luc Besson itu menampilkan aktor Guy Pierce untuk karakter hero bernama Snow, iaitu bekas ejen perisikan CIA yang difitnah sebagai dalang konspirasi gelap bagi menghancurkan kerajaan Amerika Syarikat tetapi diberi pengampunan dengan syarat dia perlu menyelamatkan Emilie yang dijadikan tebusan di penjara sebuah stesen angkasa.
Katanya: "Lockout mengingatkan saya kepada filem-filem yang saya gemar tontoni satu ketika dahulu yang mana ia tidak terlalu serius tetapi turut terselit unsur humor. Saya benar-benar teruja membaca skrip Lockout, malah ternanti-nanti tarikh bermulanya penggambarannya."
Menyentuh mengenai persediaan yang dilakukan untuk melakonkan karakter lakonannya itu, akui Maggie dia sememangnya tidak mengkaji tentang kehidupan sebenar anak-anak Presiden Amerika Syarikat.
"Namun saya begitu mengagumi cara Chelsea Clinton (anak perempuan bekas Presiden Amerika Syarikat ke-42, Bill Clinton) atau Laura Bush (anak perempuan bekas Presiden Amerika Syarikat ke-43, George Bush) menjalani kehidupan masing-masing," tegasnya.
Bercerita tentang watak Snow ujar Maggie, lelaki itu lebih kelihatan seperti seorang penyangak berbanding wira.
"Dia gemar mencemuh, tidak ikhlas, suka memberi komen-komen berbaur sindiran yang pedas. Namun, saya menyukai Snow. Hubungannya dengan Emilie bagaikan satu transaksi, wujud tekanan antara mereka dan tanpa disangka mereka berupaya membentuk regu yang hebat," tuturnya.
Menerusi filem ini juga, Maggie yang kelihatan cukup feminin dari segi fizikalnya itu perlu melakonkan banyak babak aksi pertarungan. Jadi, bagaimanakah dia merealisasikannya?
"Saya sukakan tenaga maskulin. Ketika membesar, ramai kawan baik saya adalah lelaki dan saya suka dikelilingi lelaki-lelaki yang boleh dipanggil abang," ungkapnya.
Tambah Maggie: "Maka bagi saya, latihan pertarungan sangat menyeronokkan. Saya turut menjalani sedikit latihan partarungan supaya dapat mempamerkan lakonan aksi yang mantap dan hidup untuk Lockout."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment