Jom Buat Duit

Sunday, 15 April 2012

Kilafairy tolak label gedik


NAMA Kilafairy tumbuh bersama sensasi. Satu demi satu terpalit dengan cerita yang menjengkelkan, pemilik nama penuh Syakila Nisha Jangir Khan, membidik pertanyaan ramai. Siapa Kilafairy, apa kerjanya dan kenapa dia begitu mendadak mendapat publisiti?
Semua itu dilayan anak sang penyanyi, Rohana Jalil itu penuh tenang. Dia baru berusia 19 tahun ketika bertubi-tubi ditembak peluru kontroversi. Ketika itu, dia masih terlalu rapuh dan hijau dengan permainan dunia hiburan. Mujurlah, ibunya seorang bintang, mungkin dari situ, dia mendapat pedoman untuk tidak pernah berasa patah semangat.

Hasilnya, Kilafairy sudah tidak lagi dihambat cerita hangat. Tiada lagi yang galak mengapi-apikan cerita suntikan botox pada wajah, bibir serta tubuhnya sehingga dia kelihatan seksi seperti hari ini.
"Ya, dahulu macam-macam orang tuduh saya. Lepas cerita botox dan pembedahan plastik, ada pula kata saya berimej matang, seksi tak padan usia, wajah nampak tua dan macam-macam.
"Saya sudah dianugerahkan bentuk rupa yang begini, apa boleh saya buat. Saya cuma mampu untuk mengelak daripada bersolek terlalu tebal. Sebab itulah saya akan guna khidmat jurusolek peribadi, Jepun setiap kali ada fotografi atau apa sahaja acara. Dia sudah enam tahun dengan saya dan mama, jadi dia faham macam-mana hendak beri sentuhan kepada saya untuk tidak kelihatan keterlaluan," katanya yang mengakui kepanasannya kini tidak sehebat setahun lalu.

Menyepi sedikit tidak mengapa, kerana baginya, suhu seperti hari ini memberikan banyak ruang untuk dia mengemaskini diri. Sekadar dibahasakan Kila, dia sedang berdikit mahu mengubah skeptikal ramai yang selama ini banyak melihat dirinya dari sudut kurang menyenangkan.
"Sekarang saya mahu bertegas dalam soal tawaran. Kalau boleh saya mahu tolak tawaran watak gedik, watak penggoda atau watak wanita yang kurang baik. Sudahlah selama ini, ramai yang bencikan lakonan saya yang selalu bawa watak gedik, saya tidak mahu skeptikal itu melekat dan mengekori saya sampai ke luar bidang kerja.
"Mama saya ada nasihatkan, supaya jangan terlalu memilih, ambil sahajalah tapi saya fikir, kalau bukan sekarang, bila lagi saya mahu ubah pandangan orang terhadap saya," katanya yang mencuri perhatian dengan watak gadis mengada-ngada dalam filem Karak dan drama bersiri, Hotel Mania.

Perasan cantik
Dalam hendak membuang watak mengada-ngada, manja dan geletis, akan datang dia bakal muncul dengan filem terbaharunya, Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin yang bakal ditayangkan 24 Mei nanti. Ironinya, dalam filem berkenaan, Kila masih tampil dengan imej yang hampir sama dengan pandangan sesetengah orang terhadap dirinya.
"Dalam Hoore! Hoore!, saya bawa watak Rita, konon-kononnya gadis paling cantik dan paling popular di sekolah yang menaruh hati dengan Johari (Akim AF), tapi Akim pula menaruh hati dengan gadis lain sangat sederhana. Rita tak jahat, cuma kuat cemburu.
"Saya berlakon cerita itu pun sebab Teong Hin, dia sutradara yang pernah arahkan filem Puteri Gunung Ledang dulu. Lagipun ramai juga nama besar seperti Fauziah Nawi, Adibah Noor dan Harun Salim Bachik terlibat dalam filem berkenaan. Sebenarnya, itu lakonan saya yang terakhir setakat ini," katanya yang mahu kembali fokus kepada karier selepas berjaya menjadi graduan Diploma Lanjutan dalam bidang Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles Ampang, dua minggu lalu.
Tambah Kila: "Saya baru sahaja selesai majlis konvokesyen. Jadi sekarang, saya tak perlu fikirkan soal jadual kuliah tapi itu tak bermakna saya goyang kaki. Saya kena uruskan bisnes saya juga, selain sibuk dengan perancangan promosi untuk single sulung tidak lama lagi."

Single sulung
Kila kini meletakkan dirinya sebagai pelakon dan penyanyi sepenuh masa.
"Orang sudah tahu saya pelakon, tapi bukanlah pelakon yang boleh digelar pelakon sebenar selagi tidak ada filem atau drama yang benar-benar angkat bakat saya. Saya mahu juga mahu berguru atau ambil kelas lakonan satu masa nanti. Dalam masa yang sama, saya juga mahu dikenali sebagai penyanyi. Alhamdulillah, single pertama saya kini sedang tunggu masa untuk dilancarkan. Judulnya masih belum diputuskan, setakat ini judulnya Pasti. Lagu itu berentak R&B," ujarnya yang percayakan sentuhan Amelia AF sebagai komposer serta penulis lirik single berkenaan.

Sanggup berhabis duit sendiri untuk menghantar single berkenaan untuk menjalani proses mixing di Australia, Kila mahu membuktikan bakat nyanyiannya bukan sekadar suka-suka.
"Kalau tidak berlakon, sekarang pun saya selalu dapat tawaran menyanyi untuk acara korporat. Rezeki saya dalam nyanyian pun ada. Jadi saya ada dua pilihan," katanya yang mampu menyanyikan lagu-lagu Bollywood sejak di sekolah rendah lagi.
Pernah digosipkan dengan Yusry KRU yang kini bergelar suami kepada Lisa Surihani, selepas itu Kila tidak dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Entah dari mana angin bertiup, Kila tiba-tiba dikatakan ada hubungan istimewa dengan seorang pemuda dari seberang, Hardy Hartono.

Jejaka seberang
Ketawa saat menafikan gosip yang sengaja diperbesar-besarkan itu, kata Kila, hubungannya dengan Hardy tidak lebih sebagai kawan.
"Saya kenal Hardy ketika dia datang ke Kuala Lumpur berlakon drama Kitab Cinta arahan Erma Fatima. Kami sekadar berkenalan dan hubungan itu hanyalah seperti kawan biasa sahaja. Sudah tentulah bila Hardy sudah kembali ke Jakarta kami ada berhubungan menerusi Twitter, tapi sekadar bertanya khabar sahaja," katanya berderai tawa.
Belum masa untuk memikirkan soal berkasih, kata Kila, perjalanannya sebagai seorang pelakon begitu juga dengan nyanyian masih terlalu baru. Masih terlalu banyak selok-belok yang harus dipelajari.
"Saya tidak boleh takbur bercakap tentang mana-mana lelaki sebab jodoh itu kerja Tuhan," katanya menutup perbualan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters