Jom Buat Duit
Sunday, 8 April 2012
Fatehah lakar sejarah
RATU pecut negara, Fatehah Mustapa ada sebab untuk berasa gembira meskipun gagal memenangi sebarang pingat dalam acara keirin pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia di Velodrom Hisense Arena, Melbourne semalam.
Biarpun sekadar menamatkan saingan di tempat ke-11, Fatehah masih mampu melakar sejarah apabila menjadi pelumba wanita Malaysia pertama yang layak beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan.
"Nasib saya kurang baik hari ini (semalam). Ada sedikit masalah pada aksi separuh akhir. Saya sepatutnya mengekori pelumba Perancis (Clara Sanchez) tetapi saya tidak melakukannya. Itu adalah kesilapan besar yang saya buat.
"Alhamdulillah, saya dapat juga No. 11 daripada langsung tidak masuk peringkat separuh akhir.
"Saya akan belajar daripada kesilapan dan selepas ini, saya akan baiki kelemahan. Saya akan tengok semula rakaman video perlumbaan-perlumbaan sebelum ini.
"Kini, saya akan fokus untuk Sukan Olimpik pula," kata Fatehah menerusi laman sosial, Facebook miliknya semalam.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, kejayaan Fatehah melayakkan diri ke temasya Olimpik dalam acara keirin wanita adalah sesuatu yang membanggakan.
"Pada perlumbaan hari ini (semalam), Fatehah berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua meskipun diberi tentangan yang hebat daripada beberapa pelumba terbaik dunia.
"Selain sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 tetapi keputusan itu sudah memadai buatnya melayakkan diri ke Sukan Olimpik di London.
"Satu sejarah baharu tercatat apabila Fatehah menjadi pelumba wanita pertama negara yang layak ke temasya itu," kata Naim ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kelmarin, Fatehah berjaya merakamkan masa peribadi terbaik dan memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara pecut 200 meter meskipun gagal melayakkan diri ke pusingan pertama.
Pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu mencatat masa 11.487 saat bagi memadam catatan sebelum ini - 11.5s yang dilakukannya pada Siri Piala Dunia Klasik di London, Februari lalu.
Awal Februari lalu, Fatehah turut mencipta sejarah apabila muncul pelumba wanita pertama memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.
Tumpuan di Velodrom Hisense Arena hari ini pasti terarah kepada dua pelumba sensasi negara - Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng.
Kedua-dua pelumba itu akan turun dalam acara kegemaran mereka - keirin lelaki selepas Malaysia telah mengesahkan telah satu slot ke Sukan Olimpik 2012.
Naim berkata, keputusan kedua-dua pelumba itu akan menjadi 'kayu pengukur' untuk menghadapi temasya di London nanti.
"Sebelum ini, kita telah layak ke Olimpik dalam acara pecut dan keirin.
"Jadi keputusan esok (hari ini) tidak diambil kira bagi menentukan siapa pelumba yang akan menyertai acara pecut dan keirin di London nanti," tambah Naim yang juga pengurus skuad lumba basikal trek negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment