DIANA DANIELLE bakal membuat
persembahan nyanyian pada esok, Sabtu sempena Festival Pengantin
Malaysia Ke-11 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Artis kacukan Melayu-Inggeris Diana Danielle sememangnya dikenali
sebagai pelakon, namun Diana juga sempat bergelar seorang penyanyi
apabila dia muncul dengan lagu single berjudul Tak Pernah Ada.
Selain itu, kekasih kepada aktor Farid Kamil ini juga pernah
berkolaborasi bersama Mawi menerusi lagu Penyembuh Rindu dan lagu Radio
duet bersama Imran Ajmain serta pelawak terkenal, Nabil.
Disebabkan bakat yang ada pada Diana atau nama sebenarnya, Diana
Danielle Danny Beeson, 20, dia menjadi pilihan pihak penganjur, Dirich
Vision Sdn. Bhd. untuk menjayakan persembahan sempena Festival Pengantin
Malaysia ke-11 yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 April ini di Dewan
Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Selain Diana, festival yang bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam itu
turut mengundang penyanyi lain seperti Alif Satar, Ila Damia dan
Altimet. Diana dan Alif dijangka menghiburkan bakal pengantin pada hari
Sabtu iaitu 7 April, pada pukul 2 petang.
Penyanyi rap Altimet dan Ila Damia pula akan berkongsi pentas
menghiburkan ribuan pengunjung pada keesokannya (Ahad), pada pukul 3
petang.
Diana berkata, inilah kali pertama dia menerima undangan Festival
Pengantin Malaysia dengan kunjungan lebih 15,000 orang pengunjung setiap
kali diadakan sekitar Lembah Klang.
“Mungkin saya lebih dikenali sebagai pelakon, tetapi saya juga
meminati bidang nyanyian. Saya sudah memiliki dua lagu single, Penyembuh
Rindu dan Radio. Menerusi dua lagu berkenaan, saya kerap menerima
undangan pentas nyanyian.
“Saya juga pernah diundang sebagai artis pembuka tirai konsert peniup
saksofon antarabangsa, Kenny G, tahun lalu. Alhamdulillah, rezeki
nyanyian semakin terbuka luas,” ujarnya.
Diana mengakui cukup terharu apabila diundang sebagai salah seorang
penyanyi pada Festival Pengantin Malaysia. Undangan itu sebagai bukti
bakat nyanyian diakui oleh pihak penganjur.
“Saya terharu diundang ke festival pengantin. Bagi saya, festival
pengantin ini memudahkan bakal pengantin membuat pilihan dalam merancang
majlis bersejarah mereka.
“Festival khas untuk mempelai itu juga akan menampilkan pakar dalam
bidang perkahwinan bersatu di bawah bumbung yang sama untuk menyediakan
perkhidmatan kepada bakal pengantin, sekali gus memudahkan mereka untuk
merancang persediaan majlis yang bakal berlangsung secara gemilang
kelak.
“Apa yang menarik, mereka boleh mendapat tawaran harga yang
istimewa sepanjang festival pengantin ini berlangsung, yang tidak boleh
dinikmati pada hari-hari biasa. Ini adalah peluang keemasan untuk mereka
merancang perkahwinan mereka serta boleh berjimat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Dirich Vision Sdn Bhd, Nor Sharlina Abdul
Rashid, berkata Festival Pengantin Malaysia, salah satu platform untuk
usahawan yang terbabit dalam industri perkahwinan untuk menyertainya.
Dalam festival berkenaan, pihak penganjur menyediakan ruang pameran
yang lengkap bagi pengusaha mempamerkan hasil reka cipta secara terus
kepada bakal pengantin.
“Antara perkhidmatan disediakan ialah andaman pengantin, perancang
perkahwinan, fotografi dan videografi, kad kahwin, cenderamata,
perhiasan, aksesori, dewan majlis perkahwinan, ejen perancang industri
perkahwinan, pusat penjagaan kecantikan dan perkhidmatan katering.
“Selain itu, penganjuran festival ini dapat dijadikan platform untuk
usahawan tempatan mengembangkan lagi perniagaan mereka, yang mana
pengusaha butik perkahwinan dapat memberikan khidmat nasihat di gerai
pameran masing-masing, sekali gus menambah bilangan pelanggan.
Bagi keterangan lanjut, mereka yang berminat boleh layari laman sosial Facebook Festival Pengantin Malaysia.
No comments:
Post a Comment