PADA Anugerah Nasyeed.Com yang julung kali diadakan pada 13 April ini di Dewan Muktamar Pusat Islam Kuala Lumpur, kumpulan nasyid popular, Rabbani menerima sembilan pencalonan dalam pelbagai kategori anugerah yang dipertandingkan.
Azadan Abdul Aziz mewakili anggota Rabbani berkata, apabila tahun ini tiada pencalonan kumpulan nasyid pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) yang dimenangi mereka selama 10 tahun berturut-turut, sekurang-kurangnya dengan adanya Anugerah Nasyeed.Com, ia menyediakan platfom baru untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penggiat irama nasyid tanah air.
Bagaimanapun, kata Azadan ramai yang belum tahu atau mungkin juga mereka tidak menyedari kategori Artis Nasyid Paling Popular tiada lagi dalam ABPBH2011 kerana masih ada yang mengucapkan tahniah kerana mereka menyangka Rabbani tercalon lagi.
“Sudah 10 tahun nama Rabbani tidak ketinggalan dalam ABPBH jadi tahun ini pun mereka ingat Rabbani tersenarai lagi. Apa pun kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur kerana dengan adanya anugerah itu ia membuatkan nama Rabbani terus melekat di hati dan minda peminat. Kami akan tetap terus menyokong ABPBH dan mendoakan majlis itu berjalan dengan lancar pada 8 April ini.
“Bagi kami nasyid terus ada malah seperti mana hebatnya kemunculan muzik dan penyanyi dalam irama ‘mainstream’ dunia hiburan tanah air, begitulah juga dengan genre nasyid yang setiap masa ada saja kehadiran kumpulan baru yang tampil dengan album nasyid.
“Mana-mana pertandingan lagu nasyid diadakan, ada wajah baru yang diundang menjadi juri. Irama nasyid terus mewarnai dunia seni kita sebagai medium dakwah kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada Nasyeed.Com yang mengambil inisiatif menganjurkan majlis anugerah ini dan mereka adalah penggiat baru dalam industri seni. Rabbani terkejut kerana sembilan lagu nyanyian kami dicalonkan dalam anugerah ini yang mana empat daripada lagu itu dimuatkan dalam album Mahabbah iaitu album pertama yang kami hasilkan selepas pemergian Ustaz Asri Ibrahim,” katanya.
Antara pencalonan yang diterima Rabbani adalah dalam kategori Nasyeed Amar (Syahadah), Nasyeed Munajat (Mahabbah), Nasyeed Perjuangan (Inikah Petanda), Lagu Terbaik (Bicara Hijrah), Susunan Muzik Terbaik (Mahabbah), Vokal Terbaik (Mahabbah, Nurul Iman, Inikah Petanda ), Lirik Terbaik (Mahabbah).
Dalam perkembangan lain, Rabbani terbabit dalam Karnival Sukan Malaysia ke-15 (Sukma 15) yang akan diadakan di Pahang, mulai 7 - 15 Julai ini.
Semua yang terbabit akan menjelajah ke setiap daerah berikut, Bentong (5 - 8 April), Raub (12 - 15 April), Cameron Highlands (19 - 22 April), Kuala Lipis (3 - 6 Mei), Jerantut (10 - 13 Mei), Maran (17 - 20 Mei), Temerloh (31 Mei - 3 Jun), Bera (7 - 10 Jun), Kuala Rompin (14 - 17 Jun), Pekan (21 - 24 Jun) dan Kuantan (27 Jun - 1 Julai).
Antara aktiviti jelajah itu sukan rakyat, boling padang, lontar peluru, futsal, karaoke, sewaan gerai, forum perdana, persembahan artis dan pertandingan mewarna.
No comments:
Post a Comment