Anak kelahiran Alor Gajah, Melaka ini sebenarnya sudah lama berkecimpung dalam dunia nyanyian cuma belum dikenali ramai kerana sebelum ini lebih aktif dengan persembahan majlis tertutup.
Pemilik nama sebenar Emawati Ali ini juga secara diam muncul dengan tiga album single dan memilih lagu berentak pop rock yang dianggap sebati buat dirinya.
Tidak hairanlah ke mana saja dia pergi, pasti mendapat jolokan sebagai klon Ella kerana wajahnya, selain memiliki suara serak basah seakan artis legenda rock berkenaan.
“Saya tidak menafikan di mana saja membuat persembahan, orang ramai pada mulanya menyangka saya adalah Ella. Walaupun kebanyakan orang di luar mengatakan wajah saya 90 peratus mirip Ella, biarlah peminat mengenali saya sebagai Zetty Mahady yang mempunyai kelainan tersendiri.
“Memang agak mengecewakan apabila sebelum ini ramai yang berlari ke arah saya semata-mata untuk bergambar kerana menganggap saya Ella, namun saya reda menerima hakikat ini apatah lagi ratu rock itu sememangnya begitu berpengaruh.
“Sewaktu pertama kali berjumpa dengan Ella dua tahun lalu, dia pun terkejut dan tak sangka wajah kami seperti pasangan kembar. Bagi saya, mungkin itu adalah salah satu dari persaingan yang perlu ditempuhi, tapi Zetty tak kisah sebab ia menjadi ketentuan Ilahi dan menganggap sebagai persaingan yang sihat,” katanya.
Zetty ketika ditemui RAP baru-baru ini, memberitahu dia pernah menyanyikan semula lagu nyanyian asal kumpulan Sweet September, Hatiku Kau Guris Luka yang digubah semula oleh komposer Eddie Hamid untuk dirakam single pertama pada September 2007.
Penyanyi berusia 26 tahun itu kini mula dikenali menerusi single Semanis Janji dan Risau Denganmu ciptaan sepenuhnya Saari Amri selepas dia dilamar sendiri komposer berkenaan pada pertengahan September 2011.
Populariti lagu Semanis Janji juga dikatakan semakin mendapat tempat di hati peminat apabila kedengaran di seluruh stesen radio kerajaan, selain stesen swasta Hot FM.
Bagi Zetty, walaupun masih kurang dikenali di kalangan wartawan selepas 10 tahun aktif menyanyi, namun dia tidak mahu menyalahkan sesiapa dan mahu terus berusaha mencipta nama sebagai penyanyi menggunakan bakat sendiri.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk berputus asa kerana saya mula aktif memenuhi undangan nyanyian sejak berusia 15 tahun. Saya bersyukur kerana menerima banyak bantuan daripada Eddie Hamid dan Saari Amri untuk mendapatkan persembahan di hotel dan majlis makan malam.
“Alhamdulillah, saya menjadi artis pilihan Saari Amri dan diberi peluang untuk membawa serta merakamkan dua single ciptaan beliau sendiri menerusi lagu Semanis Janji pada Oktober dan Risau Denganmu pada November tahun lalu.
“Insya-Allah, jika tiada halangan dan dimurahkan rezeki, perancangan pada tahun ini ialah menghasilkan album mini dengan lima lagu. Kini tinggal dua lagu sahaja lagi untuk dimuatkan bersama tiga lagu single sebelum ini,” katanya.
Anak kedua daripada enam beradik ini turut memberitahu, beliau lebih dikenali di kalangan artis lama dan pernah membuat persembahan bersama Mus May, Awang Bumiputra Rockers (BPR), Rahmat Mega dan arwah Shamrin Fotograf.
Ketika ditanya mengapa memilih nama Zetty Mahady, beliau menjelaskan ia adalah nama panggilannya serta gabungan nama ahli keluarganya yang selama ini sentiasa memberi galakan untuk melihat dirinya berjaya.
“Nama Zetty Mahady sesuai untuk diri saya kerana menggabungkan nama ibu, Murni Hayati Abd Hamid, 42 dan ayah, Ali Hassan, 47 serta melambangkan satu keluarga saya yang banyak memberi dorongan setiap masa.
“Saya tidak mahu lupa pada asal usul saya yang sememangnya bermula dari bawah. Boleh dikatakan setiap pertandingan karaoke yang ada, saya akan sertai untuk mencuba bakat,” katanya.
Walaupun pada ketika ini dia sedar agak sukar menempa nama dalam industri muzik dek wujudnya persaingan yang semakin sengit di kalangan artis, Zetty yakin dengan bakat yang dimiliki dan pihak yang banyak membantunya dari belakang mampu membawa dirinya ke satu tahap membanggakan serta mampu berada sebaris dengan nama-nama besar lain.
“Dari awal lagi saya sudah tahu bidang ini memang mencabar dan memerlukan kesabaran, tetapi saya percaya dengan bakat saya miliki serta sisi lain yang ada pada diri saya, ia mampu meletakkan nama saya di persada seni suara,” katanya yang tidak pernah menyertai mana-mana program realiti sebelum ini.
Antara kejayaan yang pernah dicapai termasuk Naib Johan Pertandingan Karaoke anjuran GP Joran Berita Harian pada 2007; Naib Johan Pertandingan Karaoke sempena ulang tahun Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) (2007); Naib Johan Pertandingan Karaoke sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) di Langkawi (2007); Naib Johan Pertandingan Karaoke anjuran MPAG (2004); Persembahan dan Vokal Terbaik Festival Band di Pekan Baru, Riau, Indonesia (2001); Naib Johan Pertandingan Lagu Melayu Asli di Dumai, Riau, Indonesia (2000) dan Johan Pertandingan Dangdut di Pulau Rupat, Riau, Indonesia (1999).
Selain sentiasa memenuhi undangan pada majlis makan malam dan majlis korporat, Zetty juga pernah membuat persembahan sebagai artis jemputan pada Konsert Ambang 2012 di Agro Bazaar, Pagoh, Johor dan Konsert Ambang 2006 di Menara Alor Setar, Kedah.
Metro
No comments:
Post a Comment