Jom Buat Duit

Saturday, 18 August 2012

Tragedi balik raya


SEORANG tekong (kiri) dan seorang PATI (dua dari kanan) yang berjaya diselamatkan dalam kejadian bot karam berhampiran Tanjung Pengelih, Kota Tinggi sempadan perairan Singapura semalam.

JOHOR BAHRU - Impian enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk pulang beraya di negera asal tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka maut manakala empat yang lain hilang selepas bot pancung yang dinaiki karam berhampiran Tanjung Pengelih, Kota Tinggi sempadan perairan Singapura kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang tekong warga tempatan berusia 44 tahun dan seorang lagi PATI berusia 26 tahun berjaya diselamatkan.
Katanya, bot pancung yang membawa PATI keluar secara haram dari Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang ke Batam, Indonesia itu dipercayai karam akibat dipukul ombak.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan melalui talian 999 daripada seorang nelayan tempatan kira-kira pukul 8.25 malam kelmarin memaklumkan menemui seorang mangsa bot karam.
"Hasil maklumat tersebut, Maritim Malaysia menggerakkan sebuah kapal dan sebuah bot laju dibantu pasukan Polis Marin dari Pangkalan Polis Marin Stulang dengan kekuatan 30 anggota ke lokasi yang dilaporkan bagi gerakan mencari dan menyelamat.

"Nelayan berkenaan telah menyerahkan mangsa kira-kira pukul 9.30 malam dan dalam operasi mencari, kita berjaya menemui seorang lagi mangsa yang berpaut pada boya dan dia dibawa ke jeti Marina yang terletak kira-kira tiga batu nautika dari tempat kejadian untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Adon berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada mangsa tersebut, empat lagi mangsa termasuk seorang wanita dipercayai hanyut ke perairan Singapura dengan berpaut pada tong-tong kecil.

"Kira-kira pukul 2 pagi tadi (semalam) pihak Polis Pengawal Pantai Singapura memaklumkan penemuan satu mayat lelaki warga Indonesia yang dipercayai salah seorang mangsa bot pancung yang karam itu," katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, hasrat 12 orang PATI untuk pulang beraya di kampung halaman tidak kesampaian apabila mereka ditahan pasukan Polis Marin Wilayah 2 di sebuah kebun dekat Sungai Cemaran, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Rabu lalu.

Timbalan Komander Polis Marin Wilayah 2, Superintendan N. Kalai Chelvan berkata, kesemua mereka yang berusia 20 hingga 46 tahun itu ditahan pada pukul 8 malam di kawasan kebun berkenaan yang merupakan pusat transit sebelum mereka diseludup keluar dari negara ini secara haram melalui laluan laut.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)