Jom Buat Duit

Friday, 31 August 2012

Rita Rudaini Cabar Jue Aziz

“SAYA cabar dia untuk kemukakan bukti apabila dia mendakwa saya menuduhnya mempunyai hubungan dengan suami saya.
“Jika dia tidak dapat membuktikan tuduhannya itu, saya mahu dia membuat permohonan maaf secara terbuka,” kata pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 35, yang terkilan dengan kenyataan Jue Aziz yang mendakwa dirinya menuduh wanita itu mempunyai hubungan dengan suaminya juga pemain skuad bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak.


Rita Rudaini yang menghubungi Rap, Rabu lalu, melahirkan rasa kesal, terkejut dan terkilan selepas membaca kenyataan Jue seperti disiarkan menerusi akhbar ini pada hari yang sama, Jue mendakwa Rita menuduhnya dan Aidil mempunyai hubungan.

Antara petikan kenyataan Jue: “Saya rasa Rita pun tahu yang suaminya ada berkenalan dengan perempuan lain, tetapi kenapa dia perlu kaitkan suaminya dengan saya pula. Adakah sebab saya dikenali ramai maka saya dijadikan mangsa dengan sesuka hati menuduh saya dengan suaminya untuk meraih simpati masyarakat.”

Satu lagi kenyataan Jue: “Jika benar saya ada keluar dengan Aidil, tunjukkan bukti dan di mana. Jangan buat cerita yang kru produksi nampak kami keluar berdua kerana sepanjang masa saya sibuk dengan penggambaran di luar ibu kota.”

Menurut Rita, kenyataan itu dengan jelas menuduh dirinya sebagai penyebar gosip mereka berdua dan kenyataan pelakon itu sememangnya keterlaluan.

“Seperti yang saya jelaskan dalam siaran akhbar ini, Rabu lalu, saya sendiri dimaklumkan gosip mengenai hubungan Aidil dan Jue melalui rakan media yang menghubungi saya untuk mendapatkan komen apabila suami saya dikatakan rapat dengan pelakon itu.

“Pertanyaan itu datang daripada seorang wartawan sebuah majalah sekitar Mac lalu dan sebaik mendengar hal berkenaan, saya terus bertanyakan kepada Aidil, tetapi dia kata langsung tidak mengenali Jue.

“Saya bertanya kepada Aidil pun bukan sebab saya cemburu atau tidak senang dengan hubungan mereka (Aidil dan Jue) berdua seperti dimaklumkan wartawan berkenaan. Sebaliknya berkata kepada Aidil jika mahu mempunyai skandal sekalipun jangan sampai menyusahkan saya. Gosip mereka berdua membuatkan wartawan mencari saya untuk mendapatkan komen.

“Kalau saya jahat sangat sampai ingin menyebarkan hal ini, dari Mac lalu hal ini sudah sampai ke pengetahuan umum. Tetapi kerana saya sudah tidak mahu ambil tahu mengenai apa yang Aidil ingin lakukan, saya biarkan saja gosip itu masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri,” katanya.

Satu lagi kenyataan Jue yang disifatkan tidak berasas oleh Rita apabila wanita itu mendakwa jangan mengada-adakan cerita yang kru produksi pernah melihat Jue dan Aidil keluar berdua.

“Saya nak tanya dia (Jue), dia dengar cerita dari mana dan siapa yang kononnya saya berkata begitu?

“Ini kerana saya tidak pernah berhubung dengan Jue atau meminta penjelasan daripadanya sejak gosip itu berlegar Mac lalu kerana seperti yang saya katakan, saya sudah tidak mahu ambil pusing apapun yang Aidil ingin buat.

“Satu lagi kenyataan melampau Jue apabila dia berkata yang saya boleh minta simpati di luar sana, tetapi bukan dengan orang dalam industri yang kenal siapa diri saya sebenarnya.

“Saya lebih makan garam berbanding dirinya (Jue) dalam bidang seni ini dan Alhamdulillah sampai sekarang saya masih diberi kepercayaan pihak produksi untuk melakonkan watak utama, sekali gus membintangi drama, telefilem serta filem terbitan mereka. Saya bukan mahu takbur atau bangga diri, tapi sila jaga bahasanya itu.

“Kalau saya pernah senyap seketika pun, itu bukan sebab tiada ‘job’ tetapi saya sendiri mengambil keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.

“Sepanjang lebih 10 tahun berlakon, saya jarang terbabit dengan kontroversi melainkan isu ‘kahwin lari’ itupun kerana ingin melakukan perkara baik, sedangkan Jue, apakah dia langsung tidak pernah dihambat kontroversi? Saya tidak mahu sebut kontroversi pernah menghambat dirinya yang pernah saya, umum dan penggiat seni dengar kerana tak mahu membuka aibnya. Lagipun dia tiada kena-mengena dengan hidup saya.

“Cuma, saya berharap dia lebih berhati-hati dengan tutur katanya dan jangan sewenang-wenangnya bercakap hal orang sedangkan dia sendiri bukan seorang artis yang boleh dianggap ‘bersih dan bebas’ kontroversi,” kata Rita.

Berhubung percanggahan pengakuan Aidil yang mengatakan langsung tidak mengenali Jue sedangkan Jue pula mengakui mempunyai nombor pin BBM Aidil dan pemain bola sepak itu, baru-baru ini ada berhubung dengan Jue untuk menyelesaikan kemelut gosip yang mengaitkan mereka berdua, Rita serahkan pada umum untuk menilai.

“Biarlah orang yang membaca kenyataan saya dan Jue sebagai dilaporkan Harian Metro, Rabu lalu menilai sendiri. Saya percaya pembaca bijak menilai.

“Menurut Jue, suami saya ada menghubunginya untuk menyelesaikan gosip yang mengaitkan mereka berdua, tetapi kenapa Aidil tidak berbuat demikian untuk menerangkan hal sebenar kepada saya yang masih lagi isterinya walaupun situasi rumah tangga kami ketika ini ibarat ‘retak menanti belah’.

“Bukan itu saja, kalaulah saya berada di tempat wanita yang dikaitkan dengan suami orang, saya akan menghubungi isteri kepada lelaki berkenaan untuk meminta maaf di atas gosip yang tersebar, sekali gus menafikan jika ia tidak benar. Bukannya kita menuduh dan menghina isteri lelaki itu pada umum,” katanya.

Metro

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters