Jom Buat Duit

Tuesday, 21 August 2012

Misha serbu rumah saudara

HARI ini sudah tiga Syawal dilalui. Namun, Misha Omar masih sakan beraya di kampungnya, Kelantan, bersama seisi keluarga dan sanak saudara tercinta.

Tahun ini, katanya, dia mahu pusing satu kampung dan tidak ketinggalan menziarah kediaman sanak saudara. Sejak awal Ramadan, dia sudah menyenaraikan rumah saudara mana yang akan diserbu dahulu dan seterusnya, selain menu raya yang perlu mereka masak untuk menyambut kehadirannya.
Dia belum punya rencana untuk beraya bersama tunang tersayang, Firoz Ezzwan Rossly. Sedangkan, ini tahun pertama dan tahun terakhir mereka terikat dengan ikatan tersebut sebelum merancang berkahwin sekitar pertengahan tahun depan.

Katanya, dia dan Firoz sengaja berbuat demikian. Bukan tak mahu merasai raya bersama sebagai tunangan tetapi mereka memilih untuk meraikan raya terakhir sebagai wanita solo dan lelaki bujang sebelum menjadi pasukan kelak.

“Saya juga tidak datang beraya ke Kelantan kerana raya keempat telah mula bekerja. Lagipun kami telah sepakat untuk menikmati raya solo terakhir dengan keluarga,” ujar Firoz ringkas.
Tambah Firoz, kesuntukan waktu antara sebab membuat dia tidak akan menziarah keluarga Misha di Kelantan, bagaimanapun tetap mahu membawa keluarganya bertemu keluarga Misha pada hari raya.
“Barangkali, pertemuan hari raya ini akan diatur di Kuala Lumpur sahaja,” ujar Firoz yang masih kekok untuk beraksi di hadapan lensa kamera bersama Misha.
Misha kemudian menambah: “Tapi saya akan tetap berhari raya dan menziarah keluarga Firoz bersama seluruh keluarga saya.

“Sebenarnya, sejak kami bercinta dulu pun, sudah macam menjadi satu tradisi untuk saya membawa keluarga menziarah keluarga Firoz. Jadi tahun ini ia akan diteruskan, cuma mungkin ikatan pertunangan itu membawa makna yang lebih sedikit berbanding sebelum ini.”
Selain tidak meraikan raya secara berdua sebagai tunangan, Misha dan Firoz juga tidak menyarung baju raya warna sedondon seperti kebanyakan pasangan lain.

Sekali lagi, alasan pasangan yang cukup bersederhana dalam banyak segi ini mengatakan, semua perkara tersebut akan dilakukan apabila mereka berkahwin tahun hadapan.
“Jadi, sebelum saya dan Firoz jadi satu pasukan boria dengan baju sedondon bila sudah kahwin, tahun ini kami pilih untuk ikut suka hati nak pakai baju raya warna apa,” tambah Misha sambil tergelak.

Penyanyi yang juga kini cukup aktif sebagai pelakon itu turut memberitahu, walaupun tidak memakai pakaian sedondon dengan Firoz, dia berasa cukup bahagia kerana ibunya tidak pernah ketinggalan membeli kain untuk semua anak perempuannya dan mereka akan berpakaian sedondon adik-beradik.
Berbanding persiapan raya yang meriah untuk diri sendiri, Firoz dan Misha tetap mengutamakan anak angkat mereka, Adam Emir, 6. Segala keperluan raya Adam dipenuhi dengan sebaik mungkin. Bagi mereka, cukup sepasang pakaian tradisional digayakan pada pagi raya nan mulia.

“Saya kira, hari raya memang selalu lebih seronok diraikan oleh kanak-kanak. Sebab itu, anak selalu menjadi keutamaan setiap kali raya. Untuk orang dewasa, selalunya raya jadi lebih bermakna melalui pengertian, bukannya pakaian baharu,” tambah Misha.
Biarpun sedang menghabiskan cuti panjang di kampung halaman, wajah Misha dapat ditonton peminat pada Aidilfitri ini.

Dua telefilem raya iaitu Bonus Raya dan Untung Atas Angin yang ditayangkan di TV1 akan membuat peminat bintang berusia 30 tahun ini tidak kering gusi dengan keletah lucunya.
Dalam masa yang sama, Misha akan mempamerkan kredibilitinya sebagai penyanyi hebat bersama Dayang Nurfaizah dan Alyah yang juga bukan calang-calang menerusi program nyanyian raya Pesona Aidilfitri yang ditayangkan pada raya keempat di TV1 pukul 9 malam.

Ulasnya: “Saya jarang terbabit dengan program raya, namun sesekali rindu juga untuk menyanyi. Jadi Pesona Aidilfitri menjadi pengubat rindu buat peminat kerana selain mendendangkan lagu-lagu raya, kami bertiga turut menyanyikan lagu hits masing-masing.
“Untuk telemovie raya pula, saya terima kerana ia bersifat komedi dan memberi saya peluang untuk bekerjasama dengan banyak pelakon sebenar yang hebat-hebat.”

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters