Jom Buat Duit

Sunday, 26 August 2012

Gambit hendak bersih nama


LAGAK Gambit (kanan) dan Safee Sali serta Khairul Fahmi dalam program Nusantara Jaya Safee Sali.


GAMBIT SAIFULLAH tidak malu mengakui bahawa namanya dikenali melalui cerita yang kurang enak.
Bermula daripada cerita sikap keras kepalanya hinggalah kontroversi klip video Prema Yin arahannya bertajuk Menarilah, semua itu memberi imej negatif terhadap Gambit.
Ralatnya dia, semua cerita itu tersebar daripada mulut ke mulut. Walhal menurutnya, ada penyampai cerita yang tidak mengenalinya sama sekali. Malah gelaran poyo secara semberono dipalitkan kepada dirinya.

Bertemu Gambit, dia berkata, dia seorang yang peramah namun bukan dengan semua orang. Gambit turut menyatakan dia seorang yang gemar bercakap, malah bertegas bahawa dia bukan manusia hipokrit.

"Banyak orang yang tidak memahami saya tetapi senang-senang melemparkan tuduhan. Saya harap orang dapat melihat sisi positif saya.
"Saya peramah tapi pada masa yang sama memiliki sifat pemalu. Sifat itulah yang dianggap sombong selama ini. Apa yang penting bagi saya ialah sikap jujur, itu yang sentiasa saya pamerkan," hujahnya.
Pada satu sisi, dia melihat skil komunikasinya perlu diperbaiki. Malah lebih daripada itu, dia memilih Lina Merican yang merupakan pengurus Awal Ashaari untuk mengendalikan kerjayanya yang sememangnya memerlukan komunikasi berterusan dengan pelbagai pihak.
"Perjalanan kerjaya saya bagus cuma saya inginkan sebuah pasukan yang boleh melancarkan lagi pergerakan saya.

"Saya juga hendak membersihkan diri daripada segala kata-kata orang terhadap saya.
"Saya tidak pernah berhenti berlakon tetapi sekarang lebih menumpukan kepada kerja-kerja produksi," katanya yang muncul dengan program Nusantara Raya Safee Sali yang ditayangkan pada hari raya kedua lalu.

Menerajui produksi Eightball Productions, selepas muncul dengan projek terbaharu berbentuk travel log yang mempamerkan sisi lain Safee Sali bersama kelab bola sepak Pelita Jaya dari Indonesia, Gambit merancang untuk menghasilkan lebih banyak program sebegitu.
"Saya banyak mengembara, jadi saya mahu fokus terhadap program yang berbentuk kembara.
"Selepas ini, produksi saya akan muncul dengan program yang berbentuk sama namun belum ditentukan siapakah selebriti atau tokoh sukan yang terlibat," ujarnya.
Sebagai penerbit, kata Gambit, dia ingin produknya berbentuk mentah dan real tetapi ada nilai komersial.

"Sebagai seorang hos pula, saya mahu khalayak melihat saya sebagai pengembara dan merasai penjelajahan saya," ujar Gambit jujur.
"Tujuan utama saya keluar dengan program sebegini adalah untuk membuahkan inspirasi sebagaimana saya mendapat inspirasi dengan menonton program sebegitu.
"Ia juga sebuah pencarian jiwa untuk saya. Penonton juga dapat mengenali diri saya yang sebenar.
"Paling penting, saya dapat memberikan sesuatu kepada masyarakat. Saya juga mencari kepuasan sebagai pelakon, pengacara, produser dan melalui apa yang saya lakukan," luahnya.
"Tanggapan umum tidak menjatuhkan saya. Ia pernah membuatkan saya lebih kuat secara negatif. Sekarang saya mahu bangkit," akhiri ceritanya.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters