Tegas Hafiz, sekiranya penganjur konsert itu, OffShore Entertainment Production Sdn Bhd (OEP) tidak berpuas hati dengan Sami, bertindaklah mengikut saluran yang betul dan begitulah sebaliknya jika pihak pengurusan artis itu mendapati ada perkara yang mereka tidak berkenan, ambillah tindakan serupa dan janganlah menyalahkan orang lain.
Isu ini timbul selepas Konsert Salaam yang sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu dibatalkan kerana Sami bertindak ‘menghilangkan diri’. Bagaimanapun konsert sama sempat diadakan di Singapura seminggu sebelumnya iaitu pada 8 Jun.
“Saya tidak menyebelahi sesiapa dan kalau saya ada masalah dengan Sami pun, saya juga akan mengambil tindakan terhadapnya. Saya tak masuk campur langsung mengenai penganjuran konsert itu dan bagi menjelaskan perkara sebenar, saya berjumpa OEP di Singapura kerana mungkin tersilap menuduh saya.
“Yang peliknya, sampaikan Sami keluar makan di Shah Alam tanpa pengetahuan mereka pun, ada yang menuduh saya yang membawanya keluar. Sedangkan pada hari itu saya ada 'show' di Kedah.
“Pada hari yang lain pula, saya ada show di TV AlHijrah. Setiap tuduhan itu saya ada bukti yang saya memang tiada bersamanya. Saya tak tahulah apa puncanya Sami menghilangkan diri.
“Kalau saya ‘berhak’ ke atas Sami pun hanyalah atas nama label yang akan memasarkan albumnya di negara ini, Singapura dan Brunei. Kalau OEP rasa Sami bersalah, gunalah perundangan. Saya takkan masuk campur dalam hal mereka. Lebih baik kita perbetulkan diri sendiri dan bukannya bertindak menyalahkan orang lain. Setiap tuduhan yang dilemparkan kepada saya adalah salah faham,” katanya.
Menurut Hafiz, insya-Allah Arteffects akan membawa Sami ke sini untuk mempromosikan album terbarunya dan kalau tiada aral pada September ini.
“Dengan kedatangannya itu, Sami juga akan mengadakan showcase menghiburkan peminatnya di sini. Saya tidak mempertahankan Sami, tetapi setakat ini hubungan kerja Arteffects dengannya berjalan baik,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa di Royale Bintang The Curve, Damansara, Selasa lalu.
Pada majlis berbuka puasa itu juga diadakan pelancaran album baru terbitan Arteffects dan penyampaian anugerah jualan album Hafiz, Zikir Terapi yang mencecah jualan hampir 50,000 unit.
Turut dilancar ialah album baru Mawi Asmaul Husna, Zikir Terapi Selawat Imam Muda Najdi dan Zikir Terapi Munajat Fitri Haris. Hadir sama Imam Muda Ashraf. Kerjasama mereka terjalin berdasarkan projek khas.
Dia yang bergerak sendiri dalam mengorak langkah yang lebih agresif dalam bidang seni menarik nafas lega kerana album Zikir Terapi yang dialunkan dan diterbitkan sendiri pada penghujung tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.
“Selama setahun saya hanya duduk memikirkan mahu mengeluarkan jenis album. Pejabat sudah disewa dan kakitangan pun sudah diambil, tetapi saya tidak dapat ilham. Saya mahu menghasilkan benda baru, tetapi tak tahu apa.
“Saya terfikir kalau album lain tak boleh dijual, tetapi kenapa album Maher Zain boleh dijual. Apa istimewanya album itu? Selepas dikaji, faktor kejayaan album itu kerana ia adalah produk yang bagus dan pemasaran yang bagus juga.
“Album alunan Zikir Terapi itu saya ilhamkan daripada lagu Insya-Allah. Korus lagu itu ringkas iaitu hanya menyanyikan sebutan ‘InsyaAllah’ berulang kali. Cara itu ia mudah diingati oleh sesiapa saja hatta kanak-kanak sekali pun dan ia cepat meresap di sanubari.
“Alhamdulillah formula itu menjadi dan saya yakin album zikir ini akan mencatat jualan 100,000 unit. Album itu juga mendapat permintaan dari Arab Saudi, tetapi mereka mahu vokal saya saja tanpa muzik. Orang di sana dapat tahu mengenai album ini menerusi Youtube. Saya menggunakan pelbagai media sosial untuk mempromosikan album ini kerana Arteffects belum mampu membeli iklan,” katanya.
Terus bercerita mengenai kehebatan album zikir itu, katanya pada hari pertama dalam bulan Disember album itu berada di pasaran, ada seorang peniaga menghadapi kesusahan dan dengan kuasa Allah SWT dia menjual 500 unit CD. Dengan hasil jualan album itulah dia dapat beli baju sekolah anak-anaknya.
“Album ini memberi manfaat kepada semua pihak. Walaupun album ini ada yang dicetak rompak, tetapi mereka terus mencari CD yang asli,” katanya.
Arteffects akan tampil dengan dua lagi album baru nyanyian Izzat Mahadi yang juga bekas anggota kumpulan Mirwana dan Zikir Terapi Doa Imam Muda Ashraf.
Metro
No comments:
Post a Comment