Jom Buat Duit

Wednesday 4 April 2012

Transformasi Mania


FORMAT perebutan penyanyi oleh komposer secara terbuka yang dilakukan pada konsert ketiga juga minggu terakhir pilihan produser program Mania malam Sabtu lalu jelas mengundang tekanan.
Kebiasaannya menerusi dua persembahan dalam minggu terdahulu, Datuk M Nasir, Aubrey Suwito dan Ahmad Dhani diberi ruang tertutup sebelum konsert bagi membuat pilihan penyanyi yang mereka inginkan.


Bagaimanapun untuk persembahan minggu terakhir yang menampilkan lima lagi penyanyi termasuk seorang dari kategori ‘hot seat’, pemilihan dan sesi merebut penyanyi dilakukan secara langsung di depan penonton.

Menurut M Nasir yang ditemui di majlis sidang media sejurus konsert menyifatkan format yang diperkenalkan itu sesuatu yang relevan namun penuh tekanan.


“Kebiasaannya kami bertiga akan berdebat dan berebut untuk memilih peserta di ruang lain secara tertutup. Dapat kami membuat keputusan sebaiknya kerana diberi masa untuk meneliti profil seseorang penyanyi. Namun kali ini kami perlu membuat keputusan secara langsung di depan penonton.

“Sudah pasti ia memberikan tekanan kerana faktor masa yang singkat dan tidak berpeluang untuk berfikir panjang. Namun saya rasa ia sesuatu yang menarik dan harap-harap saya tidak tersalah percaturan,” katanya yang memilih Shila Amzah dan Hazama pada konsert ketiga.

Malam itu juga memperlihatkan kehebatan Jaclyn Victor yang membuka tirai dengan lagu Pilihlah Aku sebelum Hazama menerusi lagu Nur Nilam Sari, Shila Amzah (Set Fire To The Rain), Awi Rafael (Hadapi Dengan Senyuman) dan seorang peserta ‘hot seat’, Aril dengan lagu Hampa.

Setiap komposer punya lima kuota termasuk satu kerusi akan diisikan oleh peserta ‘hot seat’ yang diberikan pihak produksi.

Memandangkan kuota Ahmad Dhani sudah penuh dengan empat penyanyi pilihannya sebelum ini termasuk Atilia, Estranged dan Akim pada minggu pertama serta Hafiz pada minggu kedua, persembahan minggu ketiga ini hanya dijadikan medan mencuci mata buatnya.

M Nasir yang sebelum ini sudah memilih Stacy serta diberikan Ebi Kornelis (‘hot seat’) pada minggu pertama, kemudian mengambil kumpulan Kristal minggu lalu, kuotanya masih berbaki dua tempat yang sudah pun diisi oleh Shila dan Hazama.

Manakala Aubrey yang langsung tidak memilih sesiapa pada minggu pertama masih mempunyai tiga tempat selepas Alyah dan Adira pada minggu kedua.

Lantas untuk lima persembahan malam Sabtu lalu adalah gelanggang buat M Nasir dan Aubrey mengisi kuota mereka. Aubrey mengisikan tiga tempat kosongnya dengan memilih Jaclyn Victor, Awi Rafael dan Chaq yang diberikan pihak Astro sebagai cabaran peserta ‘hot seat’.

Jelas Aubrey lagi yang banyak mengalah memberi laluan kepada M Nasir dalam membuat pilihan malam itu menyifatkan Jaclyn dan Awi Rafael sebagai penyanyi berbakat besar dan perlukan lebih dorongan dalam membentuk muzik yang berkualiti.

“Saya bukan mengalah atau sengaja membuka laluan kepada M Nasir sebaliknya kami punya profesionalisme dalam membuat pilihan. Walaupun ini satu pertandingan, saya masih hormat dan tidak perlu berebut-rebut memilih penyanyi kerana kesemuanya hebat.

“Minggu ketiga di Mania ini saya sifatkan sebagai yang terbaik kerana kesemua lima penyanyi termasuk Aril sendiri yang berdiri sebagai peserta ‘hot seat’ memberikan persembahan yang hebat hingga membuatkan saya dan M Nasir sukar membuat pilihan.

“Bagaimanapun saya seronok dan tidak sabar untuk membentuk kesemua lima penyanyi di bawah empayar saya. Tiada janji atau sebarang kejutan yang saya pegang, sebalik�nya saya ingin memastikan kesemua mereka membuat persembahan yang baik dan berkualiti,” katanya.

Ahmad Dhani turut me�ngakui minggu ketiga ini adalah pentas terbaik di Mania kerana kesemua pesertanya hebat dan berbeza.

“Jujurnya saya sedikit bimbang dengan kesemua peserta kerana mereka punya kelainan dan keistimewaan tersendiri. Namun saya tidak dapat memilih seorang pun dari mereka kerana kuota sudah habis.

“Persembahan Awi Rafael umpamanya begitu menarik dan unik selain Shila yang jelas menarik perhatian saya. Mereka berbakat dan pastinya akan memberi saingan kerana kelima-lima anak didik di bawah empayar saya nanti,” katanya yang kebetulan memiliki ketiga-tiga finalis AF7 - Hafiz, Akim dan Aril di bawah empayarnya.

15 bintang, tiga produser terkenal dan satu gelanggang pertarungan. Seperti mana yang sering kali ditekankan pengacaranya, Aznil Nawawi, bahang pentas Mania sudah mula dirasai selepas kesemua penyanyi sudah pun mengetahui empayar mana yang akan diwakili bagi merebut gelaran juara.

Pentas pertaruhan Mania bermula malam Sabtu ini jam 9 malam di Astro Ria, saluran 104 yang dipancarkan secara langsung dari Dewan Seri Putra, Bukit Jalil.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters