PENJAGA gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menyifatkan
kehadiran cahaya mata sulung melonjakkan lagi semangatnya untuk terus
beraksi cemerlang, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Khairul Fahmi atau Apek berkata, dia akan terus bekerja lebih keras
selepas ini bagi memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap
terbaik.
"Selain memberikan semangat, kehadiran cahaya mata ini juga akan
lebih mendisiplinkan saya terutama dari segi pengurusan masta antara
kerjaya dan keluarga," kata Apek di rumah ibu mentuanya di Pasir Pekan
dekat Kota Bharu semalam.
Apek bergelar bapa kelmarin apabila dikurniakan cahaya mata sulung di Hospital Pakar Perdana dekat Kota Bharu.
Isterinya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 23, atau Leuniey selamat
melahirkan bayi perempuan seberat 2.75 kilogram secara normal kira-kira
pukul 3 petang.
Apek memberitahu, kehadiran cahaya mata itu memberikan pengalaman
baharu buatnya terutama dalam menjalankan tugas sebagai bapa dan suami.
"Saya masih banyak yang perlu dipelajari, bagaimanapun saya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut," ujarnya.
Apek turut memberitahu, dia masih belum memutuskan nama yang akan diberikan kepada anak sulungnya itu.
"Buat masa ini, saya sedang mencari dan memikirkan nama yang sesuai untuk diberikan kepada anak saya," jelasnya. Kosmo
No comments:
Post a Comment