JOHOR BAHRU - Kegembiraan sebuah keluarga seramai 12 orang yang
berkelah di Tanjung Balau, Kota Tinggi sempena cuti Tahun Baharu Cina
bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman berkata,
kejadian berlaku apabila mangsa J. Krisna Kumar, 31 dari Permas Jaya dan
R. Ghanapathy, 32 dari Taman Ungku Tun Aminah, hanyut dibawa arus
semasa berenang di pantai itu.
"Arus deras telah menarik kedua-dua sepupu itu ke kawasan yang dalam
sebelum mereka menjerit meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian tersebut
kira-kira 6.25 petang dan terus mengadakan operasi dan menyelamat
mangsa.
Rahmat berkata, anggota Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan
Awam menjumpai mayat mangsa pada 7.30 malam tidak jauh dari lokasi kali
terakhir mereka dilihat.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat
dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - Bernama
No comments:
Post a Comment