Jom Buat Duit

Saturday, 14 April 2012

Juri Versus tak takut dibenci


Pertembungan lima buah kumpulan muzik tempatan hebat iaitu Hujan, Black Parallax (Black dan Meet Uncle Hussin), 6ixth Sense, Sofazr dan Go Gerila! (Aizat Amdan dan kumpulannya serta Amir Jahari) telah bermula malam semalam menerusi program realiti yang dikenali sebagai Versus.
Menerusi Versus, mereka tidak bertanding menerusi tiket mendendangkan lagu-lagu sendiri, sebaliknya harus memberi sentuhan baharu dan meluahkan kreativiti untuk mengubah semula lagu-lagu lama menjadi lebih terkini.

Program kolaborasi TV9 dan stesen radio Hot FM yang disiarkan setiap Jumaat pada pukul 9.30 malam itu menawarkan hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM200,000.
Selain mereka yang bertanding, turut merasai bahang pertempuran ini adalah dua juri tetap Versus iaitu Jennifer Thompson dan Khairil Ridzwan Anuar atau lebih dikenali sebagai Loque. Adakah Jennifer dan Loque benar-benar sudah bersedia? Kepada Kosmo! mereka luahkan perasaan itu.


Kosmo!: Apakah perasaan anda dipilih sebagai juri tetap program realiti TV9, Versus? Sudah bersedia memikul tugas berat ini?
JENNIFER (J): Bila saya meneliti format program ini yang tiada penyingkiran, saya begitu tertarik. Sudah terlalu klise kebanyakan program ada penyingkiran. Disebabkan itu, saya terima untuk menjadi juri tetap Versus. Buat pertama kali saya menjadi juri untuk program sebegini. Sebelum ini, saya tidak pernah jadi juri untuk mana-mana program yang memerlukan saya tampil di hadapan kamera.
LOQUE (L): Saya nampak kelainan pada program ini kerana ia memfokuskan kepada kreativiti sesebuah kumpulan itu memberi nafas baharu terhadap lagu-lagu lama. Itu tarikan utama yang menjadikan saya teruja untuk menerima tugas sebagai juri Versus.

Adakah anda telus dalam memberi komen? Ramai sedia maklum, Loque, mungkin anda sukar untuk memberi komen kepada kumpulan-kumpulan yang bertanding atas dasar mereka adalah kawan. Sama-sama naik dalam industri. Bagi Jennifer pula, adakah anda akan memberi komen-komen pedas dan menghentam kepada mereka nanti?
J: Dari segi komen sudah tentu saya tidak akan menghentam sesuka hati. Saya akan memberi kritikan yang membina.
L: Saya akan bersikap profesional dalam memberi komen walaupun mereka semua adalah kawan saya. Dari awal lagi bila diberi tugasan sebagai juri Versus saya sudah sedia maklum mereka adalah kumpulan-kumpulan yang popular. Jadi saya perlu bersikap profesional.

Adakah anda berdua akan serasi dalam memberi komen?
J: Program ini mengetengahkan kreativiti setiap kumpulan dalam memberi nafas baharu kepada lagu-lagu lama, jadi pandangan kami nanti lebih bersifat peribadi. Mungkin saya akan tengok dari segi persembahan manakala Loque dari sudut berbeza.
L: Sudah semestinya komen kami nanti tidak akan serasi. Pendapat kami inilah yang akan menjadi pemangkin kepada pengundi untuk membuat penilaian.

Apakah pandangan anda mengenai program realiti Versus?
J: Kalau mahu industri muzik terus mekar perlu ada pendekatan sebegini. Saya percaya kumpulan-kumpulan yang bertanding mampu memberi perubahan yang besar kepada industri.
L: Lagu-lagu lama memang tinggi nilainya. Stesen-stesen radio juga jarang memutarkan lagu-lagu lama. Program realiti Versus secara tidak langsung mengangkat lagu-lagu lama untuk diperdengarkan kepada muda mudi. Ia mementingkan kreativiti dalam muzik. Bukan menilai dari segi rupa atau imej. Kalau ikutkan peratusan program ini juga, sebanyak 60 peratus adalah kreativiti dan selebihnya adalah persembahan dan jalinan komunikasi dalam kumpulan tersebut.

Apakah pandangan anda pula mengenai kumpulan-kumpulan yang bertanding?
J: Setiap kumpulan ada kekuatan tersendiri. Lima kumpulan tersebut ada sesuatu yang akan dikongsikan kepada peminat muzik.
L: Kumpulan-kumpulan yang bertanding sudah ada nama besar. Selepas ini mereka akan lebih popular. Mungkin sebelum ini ada yang tak minat dengan kumpulan Hujan akan minat dengan Hujan selepas menonton program Versus.

Adakah anda takut jika ada pencipta lagu lama atau peminat yang marah dengan perubahan lagu yang dilakukan lima kumpulan itu nanti?
J: Saya nak buat macam mana kalau ada yang suka dan tidak suka bila lagu-lagu lama diberi nafas baharu. Saya cuma terima sahaja.
L: Tak perlu takut kalau pencipta tak suka. Bukan tujuan kita untuk rosakkan lagu-lagu lama tetapi cuma nak cipta kelainan dan kreativiti. Saya rasa semua orang patut berfikiran terbuka. Zaman sudah berubah. Kami menghormati orang lama. Tapi berilah peluang untuk lagu-lagu tersebut diberi nafas baharu. Bukan hendak buang yang lama. Cuma tujuannya di sini, kami mahu orang muda lebih kenal siapa penyanyi seperti DJ Dave misalnya dan lagu yang pernah didendangkannya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters