"DUDUK di bawah mana-mana produksi pun perlu usaha. Sama juga apabila
bernaung di bawah Metrowealth (Metrowealth Movies Production), jika
tidak berusaha, tiada juga tawaran yang akan diberikan.
Bak kata David Teo, usaha tangga kejayaan," itulah jawapan yang
terpacul daripada mulut Mohd. Iznan Ibrahim atau nama komersialnya,
Pekin ini apabila diajukan soalan tentang keputusannya untuk bernaung di
bawah Metrowealth.
Tutur aktor yang berusia 31 tahun ini, dia menyertai dengan matlamat
untuk menonjolkan kelainan dan ingin memberi perspektif baharu terhadap
produk syarikat itu sendiri.
Selain itu sebagai aktor yang telah banyak memperoleh pengalaman, dia
juga tidak mahu lokek dan ingin berkongsi ilmu bersama pelakon yang
lain.
Lebih kurang tiga bulan berada di bawah MetroweaIth, Pekin telah
mengorak langkah dengan pantas. Dia telah menerima satu tawaran filem
berjudul Kita yang juga merupakan hasil garapan rakan baiknya, Pierre
Andre.
"Saya suka dengan jalan ceritanya yang mudah. Ada juga tawaran lain
tapi saya tidak gemar dengan skrip yang ditawarkan. Filem ini dengar
saja judulnya, ia sangat ringkas dan perjalanan cerita juga menarik.
"Sementelah di bawah pengarahan Pierre, tidak ada masalah kerana kami
sudah lama saling mengenali. Jadi senang bekerja dengan orang yang kita
kenal kerana Pierre tahu apa yang saya mahukan dan saya juga tahu apa
yang Pierre mahukan," jelas Pekin serius tentang pemilihan tawaran yang
diberikan kepadanya.
Menceritakan tentang wataknya di dalam Kita, Pekin memegang watak
sebagai Kamal yang merupakan seorang pemuda yang pemalu dan sopan. Kamal
sangat menyukai rakannya, Ika (Yana Samsuddin) yang juga merupakan
jirannya selama tiga tahun. Namun Kamal mendapati sangat sukar untuk
meluahkan perasaannya terhadap Ika.
PEKIN IBRAHIM mula mengembangkan kariernya daripada seorang pelakon kepada penyanyi dan bakal pengarah pada masa akan datang.
Justeru setiap apa yang dilakukannya, dia akan mencari peluang untuk
mendekatkan diri bersama Ika sehingga melakukan banyak perkara romantik
untuk Ika.
Namun, Ika tidak pernah perasan akan layanan istimewa Kamal terhadap
dirinya. Katanya lagi, Kamal merupakan watak remaja biasa namun akan
diolah dengan caranya tersendiri bagi menghidupkan watak tersebut.
Pelakon perlu kreatif
Bicara anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, jika ingin memberikan
hasil lakonan yang berkualiti, seseorang pelakon itu perlu bijak
mengkaji dan mencipta karakter melalui watak yang diberi.
"Jadi apabila lakonan disokong oleh karakter yang kuat, maka pelakon
tidak perlu terlalu 'berlakon' untuk memperlihatkan watak tersebut untuk
dihayati dan difahami oleh penonton.
"Itu yang saya lakukan di dalam Kita. Saya mengambil pendekatan yang
realistik dengan tidak mahu terlalu berlakon. Itulah sebenarnya lakonan
karakter yang kuat juga perlu disokong oleh emosi yang baik," ujar
Pekin.
Tambahnya, sebagai seorang pelakon, kita bukan hanya bersandarkan
kepada skrip dan membiarkan produksi memilih semata-mata. Sebaliknya
seseorang pelakon itu juga perlu bijak dan kreatif untuk mengolah
karakter supaya lakonan menjadi lebih berkualiti.
Mengarah
Sebagai seorang yang berjiwa seni dan sentiasa tegas dengan pendirian
diri, Pekin tidak mahu sewenang-wenangnya menaburkan bakat kepada skrip
yang dirasakan tidak bagus. Ia jelas terbukti melalui filem terbaharu
lakonannya, Bunohan yang dimainkan dengan pelakon-pelakon hebat seperti
Zahiril Adzim, Faizal Hussein, Bront Palarae, Wan Hanafi Su dan Sofi
Jikan.
YANA dan Pekin berkolaborasi buat pertama kali untuk filem Kita.
Baginya, penggarap Bunohan, Dain Said bijak menampilkan kekuatan
karakter yang kreatif untuk setiap watak yang diciptanya dalam filem
ini. Tentang kejayaan yang diraih filem tersebut, sememangnya mereka
tidak sangka akan diiktiraf sehingga tahap antarabangsa.
Kini merasakan dia lama mengabadikan diri terhadap bidang lakonan,
akui Pekin, dia sudah tidak sabar ingin mengarah dan bakal mengusulkan
sebuah konsep filem yang mungkin lain daripada apa yang pernah
dikeluarkan oleh pihak Metrowealth tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment