MAHU mencuba karakter yang lari jauh daripada ciri
sebenar dirinya yang merupakan lelaki normal, Zul kini terpanggil untuk
melakonkan watak mak nyah pula.
DIA sudah berbogel dan beraksi ghairah di layar perak, justeru apakah
lagi yang bakal dilakukan oleh Zul Suphian yang dahulunya dikenali
sebagai Zul Handy Black untuk mengejutkan khalayak menerusi karya-karya
lakonannya pada masa akan datang?
Selepas berbogel dalam filem Mantra dan beraksi ghairah untuk filem
Keramat, Zul Suphian nyata mahukan kelainan dalam filem-filem
lakonannya seterusnya.
Pernah mencipta nama sebagai vokalis kumpulan Handy Black, Zul
tidak malu untuk mengakui bahawa dia kini ‘mengidam’ untuk membawa
watak mak nyah atau pondan pula jika diberi peluang.
Dia yang kini sedang dalam rangka promosi filem terbaharunya, Halim
Munan bersama Fizo Omar dan Intan Ladyana yang bakal ditayangkan pada 13
September ini, berharap dapat memberi pelbagai dimensi watak sepanjang
bekerja sebagai anak seni.
“Saya tahu muka saya kelihatan ganas tetapi jika pelakon Ahmad
Tarmimi Serigar boleh membawa watak pondan dalam drama Wali dengan
berkesan sekali, jadi saya yakin boleh lakukan perkara yang sama,”
jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama karyawan
Halim Munan di Restoran Al-Andalus, Jalan Delima, Kuala Lumpur baru-baru
ini.
Tambahnya, watak antagonis dan lucu adalah watak realiti bagi lelaki
normal dan ia berbeza dengan watak pondan kerana ia adalah sesuatu yang
tiada pada lelaki normal.
“Saya tidak kisah untuk pegang watak pondan menerusi cerita komedi
atau serius, saya yakin dapat lakukan dan ia untuk juga untuk mencabar
diri sendiri,” ujar pelakon berusia 38 tahun itu.
Tambah Zul atau nama sebenarnya, Nurzul Suphia'an Sa'ban, dia tidak
mahu terikat dengan watak antagonis sahaja memandangkan wajah yang
dibawanya itu agak ganas.
“Kalau berlakon komedi pula, saya mesti bawa watak sebagai kaki buli
atau watak jahat contohnya untuk filem Halim Munan walaupun ia sekadar
watak komedi,” jelasnya.
Tidak pernah berkubur
Sungguhpun begitu, dia menghargai setiap watak yang diberikan dan dia
sebenarnya suka melakonkan watak komedi kerana ia adalah seperti kisah
sebenar dirinya yang suka membuat lawak.
“Watak komedi sebenarnya dekat dengan diri saya sebab di luar lakonan
juga saya suka membuat lawak. Jadi watak sebegitu tidak sukar dan
senang dihayati,” ujarnya yang bakal sibuk dengan penggambaran drama
bersiri Bini-Biniku Perkasa di samping Intan Ladyana.
Bercerita mengenai rezekinya sebagai pelakon yang tidak pernah putus,
Zul turut menyatakan kumpulan Handy Black tidak pernah berkubur
walaupun dia sibuk dengan karier lakonan.
Dia dan ahli Handy Black yang lain masih membuat jemputan persembahan
tetapi lebih banyak menerima tawaran untuk persembahan majlis tertutup
untuk syarikat korporat.
“Kalau ada program bersama Handy Black, saya masih akan ikut serta.
Setiap anggota kumpulan ini tidak pernah dihalang untuk mencari rezeki
masing-masing. Apa yang penting, asalnya ia mampu mendatangkan sumber
pendapatan, kami bebas untuk bergerak,” jelasnya.
Mengenai persiapan Aidilfitri pula, Zul dan isterinya, Fyza akan
pulang ke Alor Setar, Kedah di sebelah keluarga Fyza selama seminggu.
“Setiap tahun persiapan hari raya kami sederhana sahaja, kami tidak
suka pembaziran,” ujarnya yang bertuah kerana tahun ini isterinya
membuat sendiri kuih-kuih raya.
Kosmo
No comments:
Post a Comment