Jom Buat Duit

Friday, 10 August 2012

Perancangan Akhil Hayy, Waheeda

TIDAK dinafikan sebelum pengacara rancangan keagamaan, Akhil Hayy, 43, diijabkabulkan dengan pelakon dan penyanyi Waheeda, 33, pelbagai kontroversi yang pernah melanda mereka.
Namun, semua kontroversi yang membabitkan pasangan tersebut terus lenyap sama sekali sebaik sahaja mereka mendirikan rumah tangga Ogos 2008. Pada waktu itu, Akhil baru sahaja sebulan bergelar duda.

Malah, sejak bergelar isteri, ternyata Waheeda mengambil keputusan drastik untuk mengundur diri daripada bidang seni, manakala Akhil pula sudah acap kali terbabit dengan pelbagai program keagamaan di saluran Astro Oasis.

Waheeda yang ditemui sewaktu sidang media episod kemuncak program Imam Muda 3 yang diadakan di Bukit Jalil baru-baru ini meluahkan dia sangat merindui dunia hiburan tempatan.
"Boleh dikatakan sudah tiga tahun saya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti hiburan sama ada berlakon atau menyanyi. Bagaimanapun, perasaan rindu sewaktu bergelar artis dahulu masih tetap dirasai.

"Lagipun sehingga sekarang saya masih lagi berhubung dengan beberapa orang rakan artis dan saya tumpang gembira dengan kejayaan mereka dalam kerjaya masing-masing," ujarnya yang popular menerusi lagu Wassini itu.

Walaupun mengambil keputusan untuk mengundurkan diri kerana mahu memberi fokus kepada kehidupan berumah tangga, Waheeda menjelaskan ia tidak bermakna dia melupakan terus segala aktiviti seni.

Ujarnya, buat masa ini dia sedang membantu suaminya, Akhil dalam proses untuk menerbitkan album baharu. Malah, dalam album tersebut dia bertindak sebagai komposer dengan menyumbang dua buah lagu.
"Sebelum bersara dahulu, saya sudah 10 tahun terbabit dalam bidang seni. Kini saya masih boleh memberi sumbangan dalam bidang muzik menerusi penciptaan lagu, meskipun sudah tidak menyanyi lagi," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kehidupan sehariannya sekarang bersama suami tercinta, Waheeda memberitahu dia lebih banyak memberi tumpuan kepada rumah tangga dan perniagaan abaya yang dilakukan secara dalam talian.

WAHEEDA kini membantu Akhil menyiapkan album baharu.


Berkenaan dengan soal anak pula, penyanyi yang pernah berlakon sebanyak enam buah filem itu memberi fokus untuk membesarkan dua orang anak tirinya, namun berharap dapat dikurniakan cahaya mata sendiri pada tahun hadapan.

"Pada awal tempoh perkahwinan saya dan suami, saya memang banyak menguruskan rumah tangga dan kedua-dua anak tiri iaitu Siti Nur Maisarah dan Mohd. Syarif Idayatullah.

"Kini kedua-dua anak tiri saya sudah bersekolah di sebuah Maahad Tahfiz di Ipoh, Perak dan boleh dikatakan sekarang ini merupakan tempoh bulan madu saya dan suami termasuk berusaha untuk mendapatkan anak sendiri," ujarnya.
Menurutnya, biarpun selama ini dia sekadar membesarkan kedua-dua anak tirinya, namun dia tetap menganggap mereka seperti anak kandung dan sentiasa memastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik.

"Sebagai ibu, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membesarkan anak-anak dan melihat mereka berjaya. Sekurang-kurangnya berpeluang menjaga anak tiri dapat memberi pengalaman buat saya untuk membesarkan anak sendiri nanti," jelasnya.
Hijrah artis

Melihat kepada perkembangan dunia hiburan tempatan sekarang, semakin ramai artis wanita yang mengambil keputusan untuk berhijrah, terutamanya tampil dengan imej yang lebih Muslimah dan menutup aurat.

Mengulas mengenai keadaan yang berlaku itu, Waheeda memuji tindakan rakan-rakan artis tersebut. Bagaimanapun, dia menjelaskan istilah 'hijrah' itu kurang sesuai, sebaliknya ia lebih kepada kembali kepada fitrah kerana hasrat mereka yang kini berpegang kepada hukum Allah.
"Sudah tentu saya gembira kerana semakin ramai artis yang sudah berubah ke arah yang lebih baik, malah ada yang berusaha untuk menyebarkan dakwah kepada orang lain.

"Bagi saya mereka bukannya tidak boleh berdakwah langsung, namun buat peringkat awal mereka perlu memantapkan lagi pegangan agama terlebih dahulu sebelum berdakwah. Namun, tidak salah kalau hendak berkongsi pengalaman yang pernah dilalui agar ia boleh memberikan pengajaran," ujarnya.

Waheeda bagaimanapun melahirkan rasa kurang setuju dengan tindakan artis yang baru berhijrah naik ke pentas politik dan lebih banyak memberi ceramah berunsur politik berbanding agama.
Tegasnya, sebagai individu yang baru sahaja mendekatkan diri dengan agama, mereka seharusnya memantapkan ilmu agama terlebih dahulu, termasuk memahami dan mendalami al-Quran dan hadis.
"Tidak salah kalau mereka hendak menyampaikan ceramah di mana-mana sekalipun, tetapi paling penting jangan menghentam orang lain. Kalau keadaan ini terus berlaku ia bukan sahaja memberi impak kepada artis tersebut, malah kepada Islam itu sendiri," tegasnya.
Album baharu

AKHIL HAYY dan Waheeda telah bernikah pada bulan Ogos 2008. Selepas tiga tahun berkahwin, mereka kini berusaha untuk mendapatkan zuriat.


Sementara itu, Akhil yang baru menamatkan tugasannya sebagai pengacara Imam Muda 3 pada 3 Ogos lalu memberitahu dia sedang dalam proses untuk menghasilkan album baharu.

Menurutnya, ia merupakan album yang kelima dan mengandungi 10 buah lagu. Setakat ini tujuh buah lagu sudah siap dirakamkan termasuk dua buah lagu yang dicipta oleh isterinya iaitu Ighfir Zdunubi (Ampunkan Aku) dan Subhanaka.

"Sebenarnya proses untuk menghasilkan album ini sudah bermula sejak awal tahun 2010, tetapi ia terpaksa mengambil masa yang agak lama kerana saya perlu mencari lagu-lagu yang sesuai.
"Kini, saya akan kembali fokus semula untuk album baharu ini dan saya berharap supaya ia dapat diterbitkan pada tahun ini," ujarnya yang pernah melahirkan empat buah album iaitu Nasyid Legenda, Di Bawah Satu Cahaya, Kembara Sufi dan Nasyid Legenda 2.

Selain dalam proses menerbitkan album baharu, Akhil menjelaskan dia juga berhasrat untuk menganjurkan sebuah konsert yang menampilkan otai-otai rock terkenal tanah air.

Namun begitu, konsert yang mahu dianjurkannya itu lebih berbentuk islamik apabila penyanyi yang diundang akan mempersembahkan lagu-lagu yang berbentuk ketuhanan.

"Saya memang mengimpikan untuk menganjurkan konsert yang sebegitu, termasuk dengan penataan cahaya dan bunyi yang baik dan mampu memberikan hiburan yang bermakna kepada peminat," ujarnya yang pernah menganggotai kumpulan rock D'Riyadh pada awal 90-an.

Pada masa yang sama, Akhil juga memberitahu dia mempunyai perancangan untuk menerbitkan filem atau telefilem yang berunsur keagamaan dan kini sedang mencari penulis skrip yang sesuai.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters