BERKETINGGIAN 174 sentimeter, fizikal anak muda dari Johor Bahru (JB)
itu masih dalam fasa mencari pengaruh seni. Dua tahun menerokai bidang
lakonan secara serius, Talha Harith kini bersayap untuk terbang lebih
tinggi, lebih berkeyakinan menggapai cita-cita.
“Saya anggap diri saya sebagai pelakon yang serius apabila tamatnya
pengajian saya di Aswara (Akademi Seni Warisan dan Budaya Kebangsaan).
Secara peribadi, rasanya saya mula dikenali menerusi siri Tudung Ekspres
tapi ramai yang mengingati saya menerusi Juvana. Dalam drama bersiri
Juvana, saya cuma muncul dalam dua episod sahaja, tapi bila orang ingat
saya dengan siri itu, saya gembira,” katanya menyimpul senyum.
Sambil merendah diri menyedari rupa parasnya tidak meletakkan dirinya
dalam kategori jejaka tampan, namun berdasarkan cerita dari mulut
jejaka berusia 22 tahun itu, dia kelihatan tidak perlu berwajah jambu
untuk diminati.
“Asalnya saya mahu jadi pensyarah. Saya sendiri pernah mengajar asas
lakonan, tapi minat untuk berlakon tak boleh dipendam. Setakat ini saya
boleh berbangga kerana dikenali dengan titik peluh sendiri. Saya pegang
nasihat pelakon senior seperti Namron, Beto dan Bront Palarae. Kata
mereka, pelakon bukan artis. Nasihat itu saya akan pegang sampai
bila-bila,” katanya,
Tambah Talha: “Saya baru berlakon untuk dua tahun dan saya sudah
sampai ke tahap ini. Setidak-tidaknya, saya dapat watak utama untuk
lebih 10 buah drama termasuklah di RTM, Astro dan TV3, sedangkan ramai
lagi kawan saya di luar sana yang belum berpeluang. Tanah Kubur menjadi
rekod drama paling panjang setakat ini dan akan bersambung lagi ke musim
kelima selepas ini.”
Dalam Tanah Kubur, Talha memegang peranan sebagai Izal, pemuda
kampung yang tiada arah hidup tetapi menjadi orang kepercayaan Tok Adi,
lakonan Nasir Bilal Khan.
“Asalnya saya anak yatim piatu tapi setelah ditangkap kerana mencuri
batu nisan, Tok Adi tidak mahu saya diserahkan kepada polis, dia mahu
saya diberi peluang dan dididik. Berlakon dengan abang Nasir juga satu
peluang besar buat saya,” katanya.
Talha mula bercuti dua hari lebih awal untuk menyambut hari raya di
JB bersama keluarga. Dia akan kembali semula ke ibu kota pada 24 Ogos
untuk menyambung penggambaran di lokasi drama bersiri Darjat bersama Ika
Nabila dan Syazwan Zulkifly.
“Penonton mungkin akan bencikan saya dalam drama itu, saya harap itu
sebuah lagi drama yang akan meninggalkan impak untuk semua,” katanya.
Untuk siaran sepanjang musim raya, tahun 2012 mencipta rekod peribadi
buat Talha apabila diberi kepercayaan untuk muncul dalam tiga buah
drama raya.
“Saya akan muncul dalam Mencari Lailatul Qadar di Oasis, Nur Fitri (TV9) dan Fiksi Fixie (Astro).
No comments:
Post a Comment