NADIA OTHMAN mempertaruhkan single perdana yang bertajuk Tragedi nukilan Sharon Paul dan lirik oleh dirinya.
BAKAT gadis berusia 18 tahun ini dihidu dan dikenal pasti oleh
komposer Aidit Alfian sewaktu Nadia mengikuti sebuah pertandingan
nyanyian di Johor Bahru, Johor.
Bertitik tolak daripada pertandingan tersebut, Nadia Amira Othman
atau nama komersialnya Nadia Othman sering bertanya khabar dengan
komposer tersebut di laman Facebook.
"Aidit Alfian beritahu saya, dia memang mencari artis untuk label
Indah Karya. Saya juga waktu itu sedang cuba-cuba menyanyi dan akhirnya
saya bernaung di bawah Indah Karya," ujar Nadia yang masih mengikuti
pengajian di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
"Single perdana saya bertajuk Tragedi adalah nukilan Sharon Paul
manakala lirik adalah nukilan saya sendiri. Saya memang mahu menjadi
penulis lirik. Bila Sharon gambarkan lagu tersebut sedih dan bercerita
tentang gadis yang kematian tunang, saya gambarkan perasaannya dengan
penggunaan secara metafora," kata anak kelahiran Johor itu.
Dia menegaskan bahawa ingin menjadi penyanyi yang juga penulis lirik.
Lagu Tragedi adalah taruhan pertamanya dan selepas Tragedi, dia akan
muncul dengan single nukilan Aidit Alfian pula.
"Saya suka bercerita dan menulis tentang banyak kisah. Salah satu
caranya dengan mengekspresikan dengan penulisan, sebuah inspirasi,"
katanya.
"Lirik Tragedi tidak ada kena mengena dengan hidup saya. Saya cuma
bayangkan kesedihan dan tulis tentang sebuah kehilangan. Mungkin selepas
raya, lagu ini akan berkumandang di radio," ujar Nadia yang bercuti
selama 10 hari sempena hari raya.
No comments:
Post a Comment