BUTIR tawanya sudah cukup untuk memperkenalkan Sabri Yunus. Dia
lelaki yang berjaya menggeletek rakyat negara ini dengan gaya dan
lenggok berpaksikan negeri kelahirannya.
Bermula dari zaman Santan Berlada, Pi Mai Pi Mai Tang Tu sehinggalah
Salam Pantai Timur dan kini tunjang kepada Karoot Komedia X, Sabri sudah
dianggap sebagai pelawak otai. Uniknya, dia mengekalkan lidahnya untuk
basah dalam dialek yang likat berbau budu. Dialek 'Kelate' sudah lama
bersatu membentuk nama Sabri Yunus.
Seperkara lagi, nakal, bersahaja dan spontan barangkali tiga sifat
hakiki yang menjadikan Sabri seorang seniman rakyat - seniman yang
berjaya mengangkat dikir barat daripada sebuah hiburan kampung menjadi
hiburan kegemaran ramai di sebuah stesen satelit.
"Elemen dikir karut dalam Karoot Komedia dan Karoot Komedia X
sebenarnya sudah jadi versi ketiga yang saya aplikasikan dalam program
televisyen. Kali pertama dalam Satira (TV3), kemudian dalam Salam Pantai
Timur (RTM) dan sekarang Karoot Komedia (Astro). Konsepnya tidak banyak
beza cuma pendekatan sedikit berlainan.
"Dikir barat ada komposisi tertentu, saya cuma ambil bahagian karut
untuk dimasukkan dalam program, jadi saya tidak terikat dengan komposisi
yang harus dihormati dalam dikir barat. Orang Kelantan boleh terima
karut itu terpisah daripada dikir barat," katanya persis sang budayawan,
sedikit terkeluar dari lingkaran Sabri yang selama ini dikenali
menerusi sifat lucunya.
Jiwa Kelantan Sabri masih menebal walaupun sudah berhijrah Kuala Lumpur sejak berusia 21 tahun.
Masuk tahun 2012, dia sebenarnya lebih lama tinggal di KL berbanding di Kelantan.
No comments:
Post a Comment