Jom Buat Duit

Monday, 13 August 2012

Bolt tiada tolok bandingnya


DARI kiri, Blake, Bolt, Carter dan Frater memperbaharui rekod dunia dalam acara 4x100m lelaki di Stadium Olimpik awal pagi semalam. 
 

LONDON - Pelari pecut Jamaica, Usain Bolt menamatkan kempen Sukan Olimpik 2012 dengan penuh bergaya di Stadium Olimpik awal pagi semalam.
Selain memenangi pingat emas ketiga, pelari terpantas dunia itu turut mencipta rekod dunia ketika membantu kuartet Jamaica yang terdiri daripada Yohan Blake, Nesta Carter dan Michael Frater menjuarai acara 4x100 meter (m) lelaki.

Bolt, 25, yang berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara 100m dan 200m yang dimenangi pada temasya di Beijing empat tahun lalu, membantu rakan sepasukan mencatat masa terpantas 36.84 saat, 0.2s lebih pantas daripada rekod dunia yang dicipta mereka pada kejohanan dunia di Daegu, Korea Selatan tahun lalu.

Pingat perak dalam acara tersebut menjadi milik Amerika Syarikat yang mencatat masa 37.04s manakala Trinidad & Tobago di tempat ketiga dengan catatan masa 38.12s.
"Bagi saya, ia sesuatu yang menakjubkan kerana kami mengakhiri saingan dengan cemerlang, ia sesuatu yang bermakna buat saya.
"Saya tahu, kami mampu melakukannya kerana kami sudah cukup bersedia. Kami memberikan tumpuan sepenuhnya.

"Tahun lalu kami melakukannya pada kejohanan dunia (di Daegu, Korea Selatan), tahun ini kami lakukannya sekali lagi. Bagi saya, ia sesuatu yang sukar untuk digambarkan," kata Bolt.
Bagaimanapun, Bolt mengakui dia mungkin tidak dapat mengulangi kejayaan di Beijing dan London pada temasya 2006 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Kalau usia saya sudah mencecah 30 tahun, pasti sukar untuk saya melakukannya lagi tetapi saya akan menikmati apa yang telah saya capai ketika ini.
"Saya berjaya melakukan apa yang saya rancang di sini (London), jadi ia sudah cukup untuk mengembirakan saya," katanya.

Sementara itu, Bolt berkata, dia akan terus beraksi dalam acara 100m, 200m dan 4x100m pada temasya di Rio de Janeiro 2016 tetapi mungkin tidak mampu untuk ketiga-tiga pingat emas itu.
Setakat ini, Bolt sudah meraih tujuh gelaran juara daripada lapan acara individu yang disertainya sejak Sukan Olimpik 2008.

Satu-satunya kegagalan Bolt adalah ketika penyertaannya dibatalkan setelah melakukan kesilapan di permulaan acara final 100m pada kejohanan dunia 2011. - AFP

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters