Jom Buat Duit

Thursday 5 April 2012

Memey Suhaiza Cuba jadi isteri terbaik


JIKA dilihat semula perjalanan hidup pelakon rupawan ini, ia tidak semudah mata yang memandang. Sekuat kontroversi yang pernah menimpa, ia jelas menterjemahkan kekuatan luar biasa yang ada dalam diri Memey Suhaiza. Dengan bahasa lembut apabila bersuara, tiada siapa dapat menghitung ketabahannya dalam menempuh setiap dugaan.

Mungkin kerana itulah membuatkan Norman Hakim tanpa berfikir panjang menyuntingnya menjadi suri hidup, enam bulan lalu. Kini selepas setengah tahun memegang status isteri, Memey mula berbicara soal masa depan, perancangan dan impiannya yang masih tersembunyi di sanubari.

Menyifatkan perkahwinan bersama Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Nurhakim Zaidon memberikan sejuta kebahagiaan, wanita berusia 24 tahun ini tidak henti mengintai ruang untuk menjadi isteri yang terbaik.

“Selepas enam bulan berkahwin, saya dan Norman mula fikirkan sesuatu. Bukannya tak bahagia, sebaliknya kami rasa ‘kesal’ mengapa tidak mempercepatkan perkahwinan ini dari awal lagi. Mengapa kami mengambil masa begitu lama untuk mendirikan rumah tangga sedangkan kami sedar akan rasa cinta yang ada.


“Setiap saat yang kami lalui bersama memang memberikan saya rasa bahagia. Saya juga menempuh tahap kematangan, tanggungjawab dan erti sebuah ikatan perkahwinan yang sebenar. Setiap hari ada saja pengalaman yang menjadikan saya matang dalam membentuk diri menjadi seorang wanita. Maklumlah saya masih muda dan perlu belajar erti sebuah perkahwinan.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang tidak jemu memimpin dan memberi tunjuk ajar. Dia sudah jauh berpengalaman dan sudah tahu asam garam dalam membentuk sesebuah keluarga. Lantas saya gembira kerana abang sentiasa ada membantu saya terutamanya dalam soal menjaga anak-anak.

“Sekarang saya sudah berani katakan yang saya sudah semakin mahir dalam banyak perkara seperti memasak dan menguruskan rumah tangga. Dulunya kita ada ibu yang membuat semua perkara tetapi sekarang saya kena cuba sendiri,” katanya.

Pemilik nama sebenar Suhaiza Suhaimi yang dilahirkan di Kota Tinggi, Johor ini turut berkongsi keseronokannya dalam membantu Norman membesarkan anak-anaknya.
Meskipun bukan anak sendiri, namun hubungan antaranya dengan tiga anak tiri - Mohd Danish Hakim yang kini berusia sembilan tahun, Marisa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4, begitu akrab. Jelasnya, itulah juga penambah warna dalam perkahwinan mereka berdua.

“Mujur sebelum kahwin lagi, Norman memang selalu membawa anak-anak bertemu saya. Lantas hubungan kami bertambah mesra apabila sudah pun tinggal bersama kini. Anak-anak akan hanya bersama kami pada hari Jumaat hingga Ahad setiap minggu. Itu saja waktu yang ada untuk Norman dan saya bersama mereka.

“Justeru sejak berkahwin lagi, kami sudah pun meletakkan syarat untuk memperuntukkan waktu hujung minggu di rumah. Kalau boleh, kami akan tolak sebarang tawaran atau jadual kerja ketika itu. Kami akan membawa mereka makan bersama, berjalan-jalan dan melakukan pelbagai aktiviti bersama. Saya rasa ia memberikan kami suasana berbeza kerana hari-hari yang lain hanya kami berdua saja setiap hari.

“Bagaimanapun saya dan Norman tidak pernah sunyi walaupun hanya berdua. Ini kerana kami sibuk dengan jadual kerja dan hanya bertemu pada waktu malam saja.
Namun kami akan cuba luangkan masa untuk bersarapan sama dan makan malam berdua walaupun sudah lewat malam. Norman jenis yang suka isterinya masak walaupun ringkas.

“Kebiasaannya kami akan makan malam bersama dan saat itu saja yang ada buat kami berdua bertukar cerita, bersembang panjang dan berkongsi pendapat,” katanya.

Terlanjur seronok bercerita mengenai kerenah tiga anak tirinya itu, Memey yang sebelum ini dikenali menerusi drama Rahsia Sebuah Pengorbanan, Kalau Kasih Masih Ada, Jaringan, Karipap Istimewa dan Pontianak Air Jernih turut meluahkan impiannya untuk merasai pengalaman mengandung.

Tidak merancang, Memey yang turut pernah mengacarakan program Diari Anak Seni Musim 4 dan 5 menyerahkan segala-galanya pada ketentuan dan rezeki.

“Tatkala saya bersedia menjadi isteri, saya juga sudah membayangkan untuk hamil. Memang saya inginkan rasa pengalaman itu. Itu memang menjadi impian saya dan pastinya sebagai seorang wanita, ia adalah angan-angan terindah bersama suami,” katanya.

Menyentuh soal kerjayanya, Memey yang akan muncul bersama suaminya menerusi program Aidilfitri istimewa, Dekorasi Raya tidak lama lagi baru saja selesai penggambaran drama Asmara Beijing bersama Syamsul Yusuf dan Salina Saibi.

“Alhamdulillah rezeki tidak putus sejak berkahwin. Dulu saya sangka tawaran akan kurang selepas berkahwin tapi rupa-rupanya tidak sama sekali. Sebaliknya semakin banyak pihak produksi yang meletak kepercayaan. Saya rasa inilah rezeki berumahtangga,” katanya.

Memey kini menemui peminatnya menerusi drama siri terbaru terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd berjudul Bukan Untukmu. Drama yang turut membariskan pelakon popular lain termasuk Ako Mustafa dan Ana Dahlia ini ditayangkan
di TV9, Isnin dan Selasa jam 8.30 malam.

“Saya memegang watak Nadia dalam drama ini dan menjadi isteri kepada Iskandar lakonan Ako. Hidup kami bahagia namun ditimpa kemelut hingga akhirnya kami membuat keputusan untuk berpisah. Dari situ bermulalah pelbagai masalah lain yang membabitkan Nadia yang membuatkannya tertekan.

“Saya rasa plot cerita Bukan Untukmu yang diarahkan Along Kamaruddin ini begitu berbeza kerana mencerminkan sisi lakonan saya yang lain. Walaupun pembangunan wataknya tidak terlalu besar namun garapan yang disuntik memberikan saya cabaran dalam menghidupkan emosi Nadia yang sukar dijangka.

“Saya hanya mengharapkan peminat tidak ketinggalan dalam menyaksikan drama ini dan menilai sendiri sejauh mana kemampuan saya sebagai seorang pelakon,” katanya.

Trivia Memey

  • Sanggup memasak walaupun pada jam 2 pagi sekali pun kerana suami hanya ingin masakannya sebelum tidur. Menariknya, Memey tidak perlu masak nasi dengan pelbagai jenis lauk kerana Norman seorang yang cukup menjaga kesihatan dengan berdiet.
  • Memey dan suami masih lagi malu-malu apabila ramai yang mengusik mereka ‘Wedding of the Year’ apabila majlis resepsi perkahwinan mereka dianggarkan bernilai RM12 juta tajaan Rafflesia. Memey juga berpeluang menyarungkan busana sentuhan pereka antarabangsa, Vera Wang.
  • Watak Nadia menerusi drama siri terbaru terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd berjudul Bukan Untukmu adalah satu lagi cabaran buatnya.

  • No comments:

    Post a Comment

    Klik Untuk Saya k... :)

    free counters