SERBA moden dan ringkas tetapi masih diselitkan sedikit adat
perkahwinan Melayu. Itu antara inti pati perkahwinan pelakon Jehan
Miskin bersama wanita warga Korea, Julie Camelia Rhee yang berlangsung
di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur, pada hari Sabtu lalu.
Majlis akad nikah dan seterusnya merenjis diadakan dalam bilik Ledang.
Sebaik sah bergelar suami kepada Julie dengan dua kali lafaz,
pasangan pengantin itu cuma beralih pada pelamin ringkas di dalam bilik
tersebut untuk majlis merenjis pula.
Sememangnya itulah yang menjadi kemahuan pelakon drama bersiri Awan
Dania itu untuk mengadakan majlis perkahwinannya yang serba ringkas.
Disebabkan sikap Jehan yang ringkas itu, dia juga telah memilih
wanita yang ringkas dari segi penampilan dan juga sikap sebagai
isterinya.
Menurut Jehan, Julie adalah seorang yang penyabar.
“Sebelum ini saya pernah berkata pada ibu yang saya tidak akan
berkahwin selagi tidak jumpa wanita yang sesuai. Alhamdulillah akhirnya
saya temui dengan wanita pilihan hati, seorang yang penyabar.
“Malah, saya juga dapat jadi diri sendiri ketika bersamanya. Kami juga saling memahami antara satu sama lain,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai Julie, tutur Jehan, isterinya yang merupakan
pengurus majlis itu juga seorang yang ringkas dan mudah menerima budaya
masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Semua perkara rumit akan menjadi mudah bila bersamanya,” ungkap
Jehan mengenai isterinya yang menyukai laksa, nasi lemak dan kuey tiau
itu.
Sebelum ini Kosmo! telah mengesahkan pertemuan mereka pertama kali
adalah di sebuah gimnasium, dan kini Jehan ditebak pula persoalan di
manakah lokasi dia melamar Julie.
Tanpa berselindung, luah Jehan, dia melamar Julie di Seoul, Korea
pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, tahun lalu ketika bercuti di sana.
Sementara itu, menurut Julie pula mengenai Jehan, dia menyifatkan pelakon yang sering membawa watak romeo itu baik hati.
“Jehan sangat mesra dengan kanak-kanak dan dia juga seorang yang berhati mulia,” ungkap Julie.
Disoal mengenai cahaya mata, pasangan itu tidak merancang dan menyerahkannya kepada Allah.
Jehan dan Julie juga masih belum memilih lokasi bulan madu tetapi
mereka tetapi berharap dapat melaksanakannya penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, percubaan untuk menemu bual ibu Julie untuk bertanya
mengenai perasaannya menemui kegagalan. Ini kerana ibu mertua Jehan itu
tidak pandai berbahasa Inggeris.
Sementara itu menurut ibu Jehan, Mariam Abdullah, dia gembira akhirnya anaknya itu mendirikan rumah tangga.
Mengulas mengenai menantunya itu, kata Mariam, Jehan dan Julie sudah
mengenali antara satu sama lain selama lima tahun dan mereka matang
dalam membuat keputusan.
Mariam juga memuji kejelitaan menantunya dan berharap pasangan itu hidup bahagia.
Kosmo
No comments:
Post a Comment