NAIROBI - Hampir 260,000 rakyat Somalia dengan separuh terdiri
daripada kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati akibat kebuluran dari
tahun 2010 hingga 2012, menurut satu laporan rasmi semalam.
"Kebuluran dan kekurangan makanan di Somalia meragut sekitar 258,000
nyawa antara Oktober 2010 hingga April 2012. Ini termasuklah 133,000
orang kanak-kanak berusia bawah lima tahun," kata laporan bersama
Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Sistem Rangkaian Amaran Awal
Kebuluran (FEWS NET).
Mengulas laporan FAO/FEWS NET, Koordinator Kemanusiaan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Somalia, Philippe Lazzarini berkata,
badan dunia itu sepatutnya menggandakan usaha bagi mengelakkan kematian
besar-besaran tersebut.
"Beberapa amaran sebelum permulaan kemarau panjang di Somalia pada
2010 gagal mencetuskan tindakan awal," katanya dalam satu kenyataan.
Somalia merupakan negara Afrika paling teruk terjejas selepas benua
itu dilanda kemarau pada 2011 dengan lebih 13 juta orang terjejas.
PBB mengisytiharkan kemarau tersebut tamat pada Februari 2012. - AFP
No comments:
Post a Comment