KARAKTER remaja samseng kelihatan mudah untuk ditangani pemain watak
Botak yang pernah popular dalam siri Juvana itu. Johan As’ari yang
masih kental diingati sebagai budak jahat di sekolah pemulihan akhlak
itu masih berpanjangan sehingga ke layar perak, Januari lalu.
Bukan sebuah lanjutan tapi mungkin juga sebuah naskhah yang lebih
matang pendekatannya, Johan bakal membenamkan imej Botak dalam permainan
terbaharunya menerusi drama Karlos. Nama watak dalam drama itu, Karlos
sendiri kedengaran lebih agresif, lebih dewasa berbanding gengster
kawasan seperti Botak yang menjadikan rakan sekolah sebagai mangsa.
Akui Johan, dia berasa sedikit mencabar untuk melakonkan watak Karlos kerana jalan cerita drama tersebut melalui beberapa fasa.
“Karlos hanya panggilan luaran kepada Irwan Zaid. daripada budak baik
dia akhirnya terlibat dengan dengan jenayah dan kena humban ke dalam
pusat tahanan. Selepas penderitaan di pusat tahanan, dia keluar dan mahu
jadi manusia tapi persekitaran dan takdir sekali lagi menghanyutkan dia
ke lubuk jenayah yang lebih hitam sehingga menjadi orang paling
dikehendaki oleh polis,” cerita Johan yang berdepan rasa cuak akibat
satu adegan liwat dalam drama berkenaan.
Sama ada lebih baik berbanding penghayatannya untuk Botak, sebagai Karlos, Johan merasakan skop wataknya kali ini lebih besar.
“Karlos ada banyak emosi dan melalui momentum dalam perjalanan
hidupnya. Dia ada rasa cinta dan kasih sayang yang menebal. Dalam
hidupnya, dia cuma sayangkan ibu dan kekasihnya yang dikenali sejak
zaman kanak-kanak. Cerita ini beri banyak rasa kepada saya,” katanya
yang turut merasa gentar untuk melalui satu lagi kembara jiwa dalam
hidupnya.
Masih berada di lokasi Karlos sehingga pertengahan Mac ini, Johan
turut meluahkan hasratnya untuk menunaikan umrah menjelang 27 Mac nanti.
Kata Johan, perjalanannya ke Mekah kali ini lebih bermakna kerana ia
atas kehendak dan perbelanjaan sendiri.
“Sebelum ini, saya menunaikan umrah di Mekah atas sebab penggambaran
drama di sana, tapi kali ini berbeza. Dulu ibadah bukan utama sebab
fokus banyak kepada kerja. Dulu teruja lebih sebab pertama kali dan
pergi pun rasa macam main-main. Jadi saya fikir, lebih elok ke sana dulu
sebelum saya berhabis duit untuk bercuti ke tempat lain. Saya mahu cari
balik keseimbangan dalam diri yang mungkin selama ini sudah terlalai
dan banyak buat salah,” katanya naif.
Berbalik kepada drama Karlos, siri 13 episod terbitan Neon Production
itu akan menemui penonton bermula 4 Mac nanti menerusi slot Aksi di TV3
setiap Isnin pukul 9 malam. Barisan pelakon yang turut menjadi tulang
belakang Karlos termasuklah Namron, Sherlie Merlis, Syazwan Zulkifly dan
Azhar Sulaiman. KOSMO
No comments:
Post a Comment