LAHAD DATU, Kumpulan militan dari selatan Filipina yang
menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam,
tetapi berdasarkan tanda-tanda yang ditemui pada mayat pengganas itu, mereka
menggunakan ilmu kebatinan yang berunsur syirik.
Antara benda-benda berunsur syirik yang ditemui pada mayat pengganas ialah
tangkal yang mereka percayai boleh menjadikan anggota militan kebal dan takwim
bagi meramal hari yang sesuai untuk menyerang pasukan keselamatan.
Menurut sumber pasukan keselamatan, terdapat pengganas yang mati ditembak
memakai tangkal dan mempunyai tatu ayat al-Quran di badan.
"Mereka mungkin kebal dengan peluru tetapi tidak setiap masa. Malah jika
kulit mereka tidak lut namun letupan mortar mampu membunuh mereka," katanya.
Beliau berkata ada satu mayat pengganas yang mempunyai kesan hitam
dipercayai kesan peluru namun kemungkinan kematian pengganas itu disebabkan luka
dalaman akibat bunyi dan letupan mortar.
"Peliknya pengamal ilmu batin ini, mayat pengganas cepat busuk dan dihurungi
ulat dalam tempoh sejam. Jika manusia biasa ulat akan hurungi mayat itu jika
dibiarkan lebih dari dua atau tiga hari," katanya.
Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Sabah Mej Anuar Mat Zin berkata
Islam melarang menggunakan ilmu kebatinan yang boleh menyekutukan Allah dalam
menegakkan sesuatu perjuangan kerana ia lari daripada landasan agama.
Beliau berkata perbuatan itu boleh merosakkan akidah sekaligus menjadikan
perjuangan mereka adalah perbuatan sia-sia.
"Perbuatan memuja sesuatu ilmu seperti untuk kebal adalah salah di sisi
Islam, Islam tidak menerima perjuangan seperti itu biar apapun niat dan
matlamatnya," katanya yang turut terlibat dalam Operasi Daulat dalam membanteras
kumpulan pengganas itu.
Beliau berkata soal ajal dan maut adalah di tangan Allah dan tiada siapa
atau kuasa yang dapat mengubahnya.
Pengganas yang didakwa menggunakan ilmu batin untuk kebal turut memakai
tangkal dan kad meramal hari, iaitu ilmu Kutika yang dipelajari daripada buku
Tajul Muluk dan perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid
Abu Bakar.
"Itu mungkin kepercayaan mereka," katanya selepas ditemui pemberita di
markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini semalam.
Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi pula menyifatkan amalan kebatinan
pengganas tidak melambangkan mereka seorang pejuang jihad seperti yang cuba
digembar-gemburkan pihak tertentu di negara ini.
"Menurut Islam adalah haram bagi mana-mana pihak yang ingin mengganggu-gugat
negara yang berdaulat, iaitu pemimpinnya dipilih oleh rakyat dengan kerelaan
hati mereka.
"Tetapi ia dibenarkan jika kedaulatan negara terancam seperti Palestin
kerana ia demi mempertahankan kedaulatan negara itu yang telah dirampas,"
katanya yang menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan adalah satu jihad
kerana mempertahankan negara berdaulat.
Bernama
No comments:
Post a Comment