BIARPUN drama fenomena Filipina Pangako Sayo sudah 13 tahun
berlalu, tetapi gelagat lakonan dan wajah kacak heronya iaitu Jericho
Rosales masih lagi diingati peminat-peminatnya sehingga kini.
Gandingannya bersama aktres cantik, Kristine Hermosa dalam drama tersebut dan juga dalam drama Sana'y Wala Nang Wakas
begitu mantap sehingga mereka diberi jolokan Pasangan Paling Ideal
ASEAN, malah peminat juga berharap mereka digandingkan semula dalam
drama-drama terbaharu.
Disuarakan persoalan itu kepada Jericho atau lebih mesra disapa Echo
itu, dia mengakui perkara tersebut (gandingan bersama Kristine semula)
tidak mustahil. Namun, dia berharap agar gandingannya bersama Kristine
nanti nampak berbeza dan lebih kelihatan matang.
"Sejujurnya, saya sudah tidak begitu rapat dengannya. Dia (Kristine)
sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Berlakon bersama
semula? Tidak mustahil. Cuma, saya berharap agar gandingan kami dalam
drama kelak nampak lebih berbeza. Saya dan Kristine sudah banyak
berlakon bersama. Jadi, saya mahu peminat tengok gandingan yang berbeza
serta jalan cerita yang lebih matang," jelasnya.
Jika Kristine sudah berumah tangga, Jericho pula tanpa berselindung
memberitahu hatinya telah dimiliki oleh seorang wanita kelahiran
Australia bernama Kim Jones.
Merupakan seorang pengacara televisyen, kongsi Jericho mengenai
kekasihnya itu, dia mengenali Kim menerusi seorang teman dalam sebuah
majlis dan mula menyukai gadis tinggi lampai itu kerana sikap ramah dan
pertuturannya.
Begitupun, dedah Jericho, perkenalan yang baru berlangsung lebih setahun lalu itu belum mahu memasuki fasa alam perkahwinan.
"Hubungan kami sangat baik dan indah. Dia seorang pengacara TV yang sangat baik, merendah diri dan peramah.
"Ada satu perkara lucu yang membuatkan saya lebih jatuh cinta
kepadanya adalah loghat Australia dia yang terlalu pekat ketika
bercakap. Kadang-kadang saya tidak faham apa yang dia tuturkan dan hanya
pura-pura faham. Tetapi, kami masih dalam proses mengenali dan belum
terfikir untuk berkahwin," lontarnya sambil ketawa mengenai kekasihnya
yang mempunyai darah kacukan Australia, Cina dan Filipina itu.
Mengurung diri
Ditebak kenapa dia kelihatan sangat kurus, ujar Jericho, mungkin
disebabkan faktor umurnya yang semakin meningkat iaitu 34 tahun.
"Dahulu peminat Malaysia mengenali saya menerusi lakonan dalam drama Pangako Sayo.
Ketika itu, usia saya baru 21 tahun dan memang kelihatan berisi. Kini
saya sudah berusia 34 tahun," ujarnya yang mengakui kesibukannya dalam
berlakon, menyanyi dan menulis lagu juga menjadi punca dia kelihatan
kurus.
Mengulas mengenai kariernya sebagai penyanyi, dedah Jericho, dia
sangat meminati bidang nyanyian, sebaliknya peminat-peminatnya tidak
suka dan memintanya terus berlakon.
Bercelaru dan kecewa, Jericho akhirnya bertindak mengurungkan diri selama setahun.
"Satu pengalaman yang saya tidak akan lupakan. Ia berlaku kira-kira
lapan tahun lalu. Masa itu, saya ambil keputusan untuk berhenti berlakon
seketika dan beralih pada bidang nyanyian. Bagaimanapun, hasrat saya
itu ditentang oleh peminat. Mereka marah dan tidak suka saya berhenti
berlakon.
"Saya tertekan dan akhirnya bertindak mengurungkan diri dalam rumah.
Masa saya banyak dihabiskan dengan tidur dan menulis lagu buat
peminat-peminat. Selama setahun saya berkurung, tetapi, apabila saya
mula keluar dan perdengarkan lagu saya kepada peminat, mereka mula
menyukai dan kembali memberi sokongan kepada saya. Saya mula menyanyi
dan dalam masa yang sama kembali pada dunia lakonan," jelasnya.
Disoal bidang mana yang paling disukainya, ujar Jericho, dia sukar
membuat pilihan kerana menyukai kedua-dua bidang tersebut (menyanyi dan
berlakon) dan menganggapnya seperti darah dagingnya.
Bagaimanapun, seandainya dia terpaksa memilih, dia akan memilih untuk
berlakon dalam drama muzikal yang mana memerlukan dia berlakon dan juga
menyanyi.
Sementara itu, kehadiran lelaki tersebut ke Malaysia baru-baru ini
juga tidak hanya bagi mempromosikan drama-dramanya menerusi Astro Bella
(saluran 133), sebaliknya dia bakal berlakon dalam sebuah produksi
bersama seorang pelakon lelaki paling popular Malaysia.
Quentin Tarantino
Mengulas mengenai perkara itu, dengan berseloroh Jericho memberitahu:
"Mungkin saya akan dipecat jika saya mendedahkan perkara tersebut".
Begitupun, selepas dirayu, ungkap Jericho, dia ada menerima tawaran
daripada pihak Astro untuk menjalani penggambaran drama bersiri. Dia
juga difahamkan bakal berlakon dengan pelakon popular, tetapi tidak
mengetahui nama pelakon tersebut.
"Saya tidak tahu nama dia (pelakon gandingannya). Mungkin projek itu akan bermula pada sekitar penghujung tahun ini.
"Lagipun saya perlu menyelesaikan beberapa projek di bawah produksi
saya sendiri Ten Again Production dan juga penggambaran drama bersiri di
Manila," ujarnya yang mengimpikan untuk berlakon di Hollywood.
Bukan kerana ingin popular, jelas Jericho, sebelum ini dia ada melibatkan diri dengan projek indie d Hollywood.
Justeru, dia teringin pula bekerja dengan pengarah-pengarah hebat Hollywood seperti Quentin Tarantino.
Mengakui ingin merasai pengalaman bekerja di bawah produksi besar, ulas Jericho, dia juga teringin berlakon dalam filem seperti Pirates Of Carribbien.
"Jika saya dapat, kiranya itu adalah kejayaan saya paling tinggi.
Saya tidak kisah berlakon di samping siapa dan genre apa asalkan ia
filem yang besar dan hebat," jelasnya.
Sumbar
No comments:
Post a Comment