YUNA dan Aizat merupakan dua nama besar yang kini sedang meniti di
bibir peminat muzik tempatan. Ditambah pula dengan kejayaan yang diraih
melalui Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27) baru-baru ini, kemanisan
mengharungi kejayaan dalam karier yang dibina lebih bermakna.
Sememangnya sebelum ini, belum pernah Yuna atau nama sebenarnya,
Yunalis Zarai dan Muhammad Aizat Amdan yang lebih mesra disapa sebagai
Aizat berkolaborasi dalam mana-mana lagu mahupun sebarang konsert atau
majlis persembahan mega.
Adakah mungkin kejayaan pada AJL 27 akan menyatukan Yuna dan Aizat kelak untuk suatu kolaborasi?
Ketika ditemui pada majlis kesyukuran Yuna dan Aizat di TAR Villas,
Taman Ampang Jaya, Ampang, Selangor, kelmarin, tutur kedua-dua anak muda
ini, mereka tidak mempunyai masalah untuk berkolaborasi bersama.
Namun, jadual yang padat dan tambahan pula kini Yuna sendiri telah
mempunyai karier yang sibuk di Amerika Syarikat (AS) membuatkan
perancangan tersebut tertangguh.
Memang tidak dinafikan, setelah Aizat membantu Yuna menyampaikan lagu
ciptaan sepenuhnya Yuna, Terukir Di Bintang pada peringkat akhir AJL
27, terserlah keserasian antara mereka dan Aizat dikatakan sesuai
membawa lagu Yuna itu bagi versi lelaki.
"Kami pernah rancangkan perkara ini sudah lama sebenarnya, tetapi
belum punya masa untuk duduk bersama dan berbincang secara serius
mengenainya. Ini kerana, Yuna memang dapat kita lihat, dia kini sedang
sibuk dengan kerjayanya di AS.
"Bagi merealisasikan perkara tersebut buat masa ini, memang agak
sukar. Jadi, saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa untuk melakukannya.
Saya percaya, jika ada rezeki, pasti peluang itu akan hadir kelak," ujar
Aizat.
Aizat cemburukan Yuna
Buat masa ini, tutur Yuna dan Aizat, kedua-dua masing-masing sedang
sibuk untuk membuat persiapan album baharu yang berkemungkinan
dilancarkan tahun ini.
Menurut Aizat yang bernaung di bawah syarikat labelnya sendiri iaitu
Kasi Gegar Entertainment (KGE), dia kini dalam proses menyiapkan album
ketiganya.
"Album ketiga saya itu sudah 10 peratus siap dan kali ini saya ingin
membuat perubahan terhadap muzik. Saya mahu muzik saya kali ini dapat
dinikmati oleh semua golongan peminat ketika membuat persembahan di atas
pentas.
"Saya tidak mahu menjadi penyanyi yang hanya 'layan' lagu sendiri tanpa menghiraukan peminat.
"Jadi kali ini, album saya ada banyak kejutan. Dalam album terbaharu
ini juga, banyak lagu yang saya buat penyusunan muzik sendiri. Jadi,
saya memang teruja untuk nantikan kehadirannya kelak," jelas Aizat yang
banyak belajar daripada kursus yang diikutinya selama dua bulan di
London pada tahun lepas.
Tambah pelantun lagu Pergi ini, sebanyak 12 buah lagu akan diselitkan
dalam album ketiganya itu termasuk yang berbahasa Inggeris.
Katanya lagi, sudah tiba masanya untuk dia berubah dan menyuntik kelainan dalam muziknya.
"Semenjak saya berada lama dalam industri dan boleh dikatakan dewasa,
saya rasakan dahulu saya tulis lirik ikutkan apa yang telinga saya suka
dengar.
"Namun kali ini, saya rasa pelbagai perkara lagi yang boleh dilakukan
sebagai penyanyi. Saya tidak mahu lagi banyak menulis lagu tentang
cinta dan perpisahan. Mungkin saya akan ke arah lain yang berkisar
tentang pelbagai perkara," bicara Aizat.
Selain itu, sebagai penyanyi muda, Aizat juga jujur mengakui bahawa dia cemburu dengan peluang yang diperoleh Yuna.
Dapat bekerjasama dengan komposer dan pemuzik hebat seperti gitaris
dari kumpulan legenda, Incubus iaitu Mike Einziger yang merupakan
idolanya sejak kecil lagi adalah impian setiap pemuzik.
Kolaborasi Yuna, David Foster
Bukan mudah untuk menambat hati komposer atau penulis lirik malah
syarikat label besar antarabangsa bagi mempercayai bakat yang ada pada
diri terutamanya penyanyi dari luar.
Namun, berbekalkan bakat yang wujud dalam diri, segala usaha Yuna
sebagai pemuzik tercapai kerana baru-baru ini, Yuna telah meraih
kepercayaan daripada legenda muzik terkenal, David Foster untuk
menandatangani kontrak dengan label Verve Music Group.
"Alhamdulillah, setelah selesai kontrak bersama The Fader, kini saya
telah pun bernaung di bawah Verve Music Group yang dipengerusikan oleh
David Foster.
"Mereka memang sudah lama mahu bernaung dengan syarikat itu, namun ketika itu saya masih lagi di bawah The Fader.
"Saya bakal muncul dengan sebuah album baharu pada bulan Jun atau Julai tahun ini.
"David sangat menyokong saya dan dia faham arah tuju muzik saya
bagaimana. Sebagai seorang komposer dia memberi kebebasan kepada saya,"
ujar Yuna.
Isu Uji Rashid
Melihat kepada kejayaan yang dicapai Yuna dalam industri muzik di AS,
anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini mengakui label pertama yang
menaungi karier seninya di sana iaitu The Fader sangat membantu dalam
mempromosikan dirinya ketika dalam proses membina nama di situ.
Kini, dia tidak perlu lagi terlalu bertungkus-lumus untuk
memperkenalkan diri walaupun telah berada di bawah label muzik baharu
dan hanya memberi konsentrasi terhadap promosi muzik sahaja.
Menjawab persoalan mengenai kontroversi nama Uji Rashid yang
digugurkan daripada menyampaikan Terukir Di Bintang pada AJL 27
baru-baru ini, beritahu Yuna, dia memohon agar isu ini tidak
dipanjangkan lagi.
Katanya, semua persoalan telah dijawab dan dia menganggap isu tersebut sudah selesai.
"Memang saya yang membuat keputusan untuk memilih Uji Rashid kerana
saya sangat meminati dirinya dan ingin tampilkan kelainan dalam
persembahan.
"Namun, saya juga perlu akur dengan keputusan pihak pengurusan dan mereka yang lebih arif tentang perkara ini.
"Jika mahu penjelasan yang lebih lanjut, boleh merujuk semula kepada
kenyataan yang dibuat oleh pihak pengurusannya dalam program Melodi.
Semuanya ada di situ," jelas Yuna.
KOSMO
No comments:
Post a Comment