KETIKA menemui pasangan selebriti suami isteri ini pada majlis
Cabaran Switch For Xtra anjuran Petronas di Kuala Lumpur, baru-baru ini,
Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya kelihatan seperti masih dalam dalam fasa
berbulan madu.
Sedangkan mereka sebenarnya sudah enam bulan bergelar suami isteri sejak 4 Mei tahun lalu.
Tidak gusar dengan keadaan sekeliling yang pernah menuduh mereka
panjang tangan dalam sebuah majlis pembukaan gedung pakaian terkemuka
pada tahun lepas, kedua-dua Awal dan Scha menyatakan perkara itu tidak
sedikit pun menutup periuk nasi mereka.
Malah, mereka bersyukur apabila rezeki masing-masing semakin mencurah-curah sejak berkahwin.
Kata Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, sejak
kontroversi berkenaan melanda mereka berdua, tawaran mengacarakan majlis
tetap banyak diterimanya.
Malah, syarikat pengurusan majlis yang sama dengan gedung pakaian
terkemuka yang telah menyebabkan isu mencuri itu timbul masih menjemput
mereka untuk ke acara tertentu.
"Selepas kontroversi itu berlaku, saya dan Scha masih dijemput oleh
syarikat yang sama tetapi kami tidak pergi sebab sudah berasa jauh
hati," ujarnya yang menyertai Cabaran Switch For Xtra bersama Scha,
Faizal Ismail dan Hanis Zalikha.
Tambahnya, dia yakin dirinya dan Scha berada pada pihak yang benar kerana mereka tidak pernah membuat sebarang kesalahan.
Sehingga sekarang ini, Awal dan Scha masih memikirkan bagaimana kontroversi berkenaan boleh dikaitkan dengan diri mereka.
"Saya bersyukur sangat, selepas berkahwin dan dilanda kontroversi itu, rezeki saya semakin banyak," katanya.
"Kontrak sebagai pengacara program Melodi juga disambung setahun lagi
dan program, Awal Lagi pula akan masuk musim kedua pada bulan April
nanti," ujarnya.
Awal memberitahu, tidak ada mana-mana syarikat atau individu yang
bekerja dengan mereka membatalkan kerjasama yang telah dirancangkan
disebabkan isu mencuri itu, sebaliknya kontroversi berkenaan dijadikan
bahan jenaka.
"Semasa program Melodi, Zizan (Zizan Razak) pernah menegur baju saya
lawa. Saya cakap, saya curi baju berkenaan, kami semua tergelak,"
ujarnya.
Perkara yang sama turut diakui oleh isteri Awal yang juga pengacara
dan pelakon, Scha, 30, apabila isu mencuri turut menjadi bahan jenaka
tatkala dia menghadiri sesuatu majlis.
"Ketika hadir pada satu majlis, teman wartawan ada membuat lawak
suruh saya curi barang di tempat itu. Jadi, setakat ini ia hanya jadi
gurauan dan tidak pernah diambil serius oleh sesiapa pun," ujarnya.
Namun pemilik nama sebenar, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-
Yahya ini menjelaskan, ketika awal kontroversi itu berlaku, dia mengakui
cukup tertekan. Ini kerana melibatkan soal maruah dirinya dan Awal.
"Saya tidak pernah mencuri, demi Allah saya tidak pernah buat benda
itu, saya tidak faham macam mana benda-benda itu boleh dikaitkan dengan
nama kami," katanya yang berharap tahun baharu ini tidak timbul lagi isu
berkenaan.
Mengakui periuk nasinya juga tidak pernah terjejas, Scha bersyukur
kerana masih menerima tawaran berlakon drama dan telemovie yang akan
ditayangkan tidak lama lagi.
Anak
Selesai bercerita mengenai kelangsungan hidup mereka selepas dilanda
kontroversi dituduh mencuri, Awal dan Scha menyatakan jauh di sudut
hati, mereka teringin untuk menimang cahaya mata.
Namun, disebabkan nasihat beberapa temannya supaya tidak terlalu
tertekan dan mengharap untuk mendapatkan anak, Awal dan Scha lebih
memilih pendekatan untuk tidak merancang.
"Kami tidak rancang apa-apa kalau ada rezeki ada, setakat ini saya jaga pemakanan dan gaya hidup sihat," ujar Scha.
Tambahnya, beberapa temannya ada memberikan nasihat agar tidak terlalu mengharap agar kehamilan itu berlaku secara semulajadi.
"Kata mereka, kalau kami tertekan hendak anak sangat nanti tidak jadi
pula akan beri kesan kepada kesuburan kami, jadi kami memilih untuk
bergembira dan menikmati kehidupan kami berdua dulu," jelasnya yang
tidak kisah memiliki badan gemuk apabila mengandung kelak.
Bagi Awal pula, dalam hatinya memang teringin untuk memiliki anak
tetapi selagi belum ada rezeki mereka berdua akan membuat aktiviti yang
disukai mereka.
"Kalau hendak pergi melancong atau ke mana-mana kami akan buat
sekarang, nanti bila sudah ada bayi susah pula hendak buat," ujarnya
yang menganggap Allah sudah menentukan masa yang tepat untuk mereka
mempunyai anak nanti.
Scha pula menambah, walaupun masih dalam fasa pengantin baharu, dia
sentiasa berdoa agar dapat mempunyai anak sendiri seperti rakan artisnya
yang berkahwin pada tahun yang sama dengan mereka seperti pasangan
Diana Danielle dan Farid Kamil.
Berlakon
Bercerita mengenai kerjaya mereka pula, Awal memberitahu, bahawa
dirinya masih lagi mencintai dunia lakonan dan dia tidak pernah berhenti
dalam bidang itu walaupun kini kelibatnya jarang-jarang dilihat dalam
drama atau filem.
"Sebelum ini sibuk dengan persiapan perkahwinan, menjadi pengacara
dan sebagainya, jadi saya banyak tolak tawaran berlakon, saya tidak
pernah lupa bidang itu sebenarnya," jelasnya yang bakal muncul dalam
telemovie baharu, Syurga Seorang Isteri pada 2 Februari nanti.
Kata Awal, tahun ini dia akan cuba untuk mengimbangi kembali kerjaya
pengacaraan dengan lakonan agar tidak disalah anggap bahawa dirinya
sudah melupakan kerjaya berkenaan.
"Ramai yang anggap saya sudah berhenti berlakon, jadi tawaran pun
sudah kurang, tahun ini saya akan bahagikan masa untuk kedua-dua bidang
itu agar ia selari," ujarnya.
Tambahnya, selepas ini dia akan memulakan penggambaran drama bersiri,
24 episod untuk slot Akasia di TV3 dan mengharapkan pengarah dan
penerbit tidak salah anggap bahawa dirinya sudah berhenti berlakon.
Bagi Scha pula, dia sekarang sedang giat mempromosikan filem
terbaharunya, Awan Dania The Movie yang bakal ditayangkan pada bulan Mac
nanti dan bakal memasuki set penggambaran untuk beberapa telemovie dan
drama baharu.
Sumber: www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment