GAMBAR fail 9 Mei 2002 menunjukkan Tamae Watanabe (kanan)
bersama jurugambar Noriyuki Muraguchi di kaki Gunung Everest di Nepal.
KATHMANDU, Nepal - Seorang pendaki berusia 73 tahun dari Jepun yang
merupakan wanita tertua menakluki Gunung Everest sedekad lalu,
memecahkan rekodnya sendiri semalam, kata pihak penganjur.
Tamae Watanabe bertolak dari ibu kota Nepal, di sini pada awal April
lalu dan memulakan pendakian dari kawasan pergunungan di sebelah Tibet.
Dia diiringi empat ahli pasukan termasuk pendaki gunung dan jurugambar, Noriyuki Muraguchi.
"Pada pukul 7 pagi ini (waktu Nepal) dia sampai ke puncak Everest,"
kata pemandu arah tempatan, Ang Tshering Sherpa daripada agensi Asian
Trekking yang beribu pejabat di sini.
"Dia kini memulakan perjalanan turun," tambahnya.
Watanabe melakar sejarah pada 16 Mei 2002 apabila dia menawan puncak
Everest setinggi 8,848 meter pada usia 65 tahun sekali gus memecahkan
rekod yang dipegang pendaki Poland, Anna Czerwinska.
Sementara itu, lelaki tertua yang berjaya menawan puncak Everest ialah warga Nepal, Min Bahadur Sherchan.
Dia tiba di puncak gunung berkenaan pada 2008 ketika berusia 76 tahun dan 340 hari.
Sekitar 3,000 orang telah mendaki Gunung Everest yang merintangi
negara China dan Nepal sejak puncak tertinggi itu pertama kali ditawan
oleh Edmund Hillary dan Tenzing Norgay pada 1953. - AFP
No comments:
Post a Comment