Jom Buat Duit

Sunday, 12 August 2012

Warna raya silih berganti

LANGIT Ramadan semakin mengecil dan menghilang tanpa mampu disekat, namun ia bukanlah penamat. Ia sebaliknya ia membenihkan sebuah lagi rahmat untuk dinikmati tanpa mengira, usia ataupun darjat.
Ketika setiap daripada kita sedang menyahut panggilan mahu beraya, tiga jiwa popular dari tiga jalan kehidupan berbeza, Misha Omar, Lisa Surihani dan Sharifah Aleya turut berkongsi cerita. Setiap tahun Aidilfitri akan tiba tanpa gagal, namun 1 Syawal tahun ini tetap membenihkan pelbagai rasa.

Raya solo terakhir
Bergelar tunangan Firos Ezzwan Rossly, 30, sejak Februari lalu, pelantun Cinta Adam & Hawa itu sedang melewati saat-saat penuh kebahagiaan. Dalam tempoh 'darah manis' yang mengundang bermacam perasaan dan debar sebelum bertukar ke status suami isteri hujung tahun nanti, kata Misha: "Tahun ini saya mahu beraya sakan. Ini tahun terakhir untuk saya beraya sebagai wanita solo."
Awal-awal lagi dia merancang perjalanan agar tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya untuk balik ke Kota Bharu. Misha juga sudah berkira-kira membuat rangka 'jelajahnya' ke rumah saudara-mara di Kelantan. Itu tidak termasuk sesi barbeku yang menjadi acara wajib semasa berhimpun bersama sanak-saudara terutama sepupu yang lama tidak ditemui.

"Raya pertama pun belum lagi, sekarang ini saya sudah fikir apa agenda kami sekeluarga untuk hari raya kedua pula. Saya juga sudah terfikir tentang raya tahun depan, pasti raya itu akan jadi raya yang berlainan. Sambut raya di rumah keluarga mertua dan mungkin tidak berpeluang cium tangan ibu kandung di pagi raya," katanya.

Tambah Misha: "Raya tahun ini kami buat keputusan untuk sama-sama menikmati saat terakhir menjadi orang bujang, kami buat acara bebas tapi mungkin akan ada sesi ziarah juga ke rumah keluarga bakal mertua. Walaupun belum berkahwin tetapi persaudaraan itu sudah luas."
Alang-alang berada dalam emosi raya, soal berbelanja sakan demi kemeriahan sambut raya antara isu yang turut dibualkan. Untuk diri dan keluarga sendiri, memang sudah menjadi pegangan Misha sejak daripada awal bergelar selebriti, dia langsung bukan jenis yang gemar berbelanja besar untuk Aidilfitri.

"Saya bukan jenis yang berbelanja lebih-lebih untuk raya sebab selepas raya pun nak hidup juga. Berbelanja boleh tapi harus bijak menguruskan komitmen.

SAMA cantik sama popular. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Misha (dari kiri), Lisa dan Leya mempunyai tiga warna berbeza menjelang Aidilfitri pada Ahad depan.


"Untuk saya, rasanya baju untuk saya ke majlis kenduri kahwin lebih meriah berbanding baju raya. Baju raya kenalah cari yang selesa supaya senang nak ke dapur. Baju untuk anak saya, Adam Emir, lain cerita, sebab dia tengah lasak. Selain baju Melayu, beberapa pasang baju kasual itu wajib," kata Misha yang mengamalkan perkongsian bersama adik-beradik untuk bajet perayaan di rumah ibunya.

Kenal Yusry
Masuk ke Ramadan pertama suami isteri sebagai Lisa dan Yusry, jiwa dan naluri isteri serta Hawa seorang Lisa Surihani banyak tersentuh. Katanya banyak hal yang mengharukan.
Sedikit sedih dan ralat tidak dapat bersolat tarawih dengan suami pada tahun ini lantaran kesibukan kerja, Lisa sudah merangka rancangan untuk tahun hadapan.

"Untuk tahun hadapan, saya buat keputusan untuk tidak terlibat dengan penggambaran pada bulan puasa," ujarnya.

Pertama kali menjalani ibadah puasa bersama dan menyelusuri nikmat dan berkat Ramadan, Lisa semakin banyak mengenali Yusry.
"Saya jenis sahur lambat tetapi Yusry jenis tidur lewat dan dia cuma sahur air. Saya akan sentiasa pastikan dia bersahur. Saya juga sediakan dia air kopi sebab dia akan migrain jika tidak minum kopi sewaktu sahur," ujar Lisa.
Beberapa hari lagi menjelang Syawal, Lisa berdoa semoga rumah baharu mereka akan cepat siap dan dapat berhari aya di rumah yang dibeli berdekatan dengan rumah keluarga Yusry.

"Lisa cakap dengan mama, semoga kami dapat sama-sama masak di dapur baharu pada malam raya nanti. Kalau boleh kami semua akan berkumpul di rumah tersebut pada raya pertama," keterujaan Lisa terhadap rumah baharu bertema Inggeris dapat dihidu dengan semangatnya bercerita.
"Kata Yusry, dia sudah sediakan rumah buat saya. Jadi tugas saya untuk menjadikan a house to become a home," tambahnya tentang istana yang bakal dihinggapi mereka secepat mungkin.
Melepasi topik rumah baharu, Lisa sempat berkongsi cerita dan rasa sebagai sebuah pesanan untuk ingatan bersama.

"Selain sama-sama menjalani Ramadan, saya rasa satu perkara yang patut dilakukan untuk makanan jiwa adalah 'memberi balik'," luah Lisa tentang 'sedekah' dalam caranya.
"Pelbagai cara untuk kita memberi semula kepada masyarakat. Mungkin dalam bentuk kewangan, perhatian atau kasih sayang. Tetapi saya galakkan jika seseorang mahu berbuat amal, pergi kepada organisasi atau badan yang dekat dengan diri mereka. Contohnya saya pergi kepada Yayasan Kanser kerana arwah ayah saya meninggal dunia kerana kanser," ujarnya yang kini juga turut belajar tentang kanak-kanak autisme.

MERAKAMKAN ucapan selamat hari raya buat semua peminat, pesan tiga selebriti popular ini, bajet raya harus dirancang dengan teliti.


Tradisi ringkas Leya
Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid atau mesra disapa Leya pula masih bersisa sifat gila-gilanya biarpun sudah bertudung litup. Hijrah kehidupan yang dilaluinya juga, daripada seorang anak dara kepada isteri, ibu dan kini beralih status kembali kepada kehidupan solo, Leya masih wanita yang ceria, periang dan bersahaja sebagai mana yang boleh didengar menerusi corong radio HotFM.

Begitu juga dengan tradisi sambutan hari raya yang bakal disambut minggu depan, Leya seorang yang ringkas dan tidak rigid terhadap suasana raya.
"Setakat ini, tradisi raya saya tidak banyak yang berubah. Jika hari raya jatuh pada hari Ahad, peluang untuk saya bercuti raya itu ada sebab hari Ahad saya memang tidak bertugas. Tapi, saya sudah kena masuk konti pada Isnin, 20 Ogos. Pekerjaan yang saya lakukan menjadikan saya seorang yang tidak terlalu sensitif soal itu," katanya yang baru kali pertama beraya sebagai janda setelah rumah tangga yang dibina bersama seorang pemuzik, Muhammad Ashraf Aasimudin hanya mampu bertahan selama tiga tahun.

Melepaskan puteri kembarnya, Aza Ameena dan Asha Ameena untuk beraya di rumah bekas suami, Leya juga tidak mahu terlalu syahdu memikirkan hal berkenaan.

"Satu hal yang akan membuatkan saya berasa sayu ialah setiap kali mengingatkan nenek saya yang sudah tiada. Tak lengkap raya tanpa beliau. Dalam soal-soal lain, saya banyak kali menjadi tukang angguk dan tak banyak cakap, apa sahaja, saya mudah ikut keadaan," katanya.
Meninggalkan sedikit pandangan sosial sempena hari raya, kata Leya: "Kita boleh beria-ia buat persiapan sambutan raya jika hanya berbelanja besar untuk satu atau dua tahun tahun sekali. Tapi, jika ada yang setiap masa berbelanja sebegitu rupa, saya akan pelik."

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters